in

Program Islamik Primeworks Studios Menarik Perhatian Rangkaian TV Serantau

Musim 20 siri dokumentari keislaman Jejak Rasul terbitan Primeworks Studios telah diperolehi Kompas TV. Musim terbaru siri Jejak Rasul ini, bertajuk Rihlah 2 Daie, dijadualkan untuk bersiaran di rangkaian televisyen Indonesia pada bulan Ramadhan tahun depan.

Rihlah 2 Daie memecah tradisi Jejak Rasul dengan memaparkan dokumentari dari perspektif dua penonton siri tersebut. Ustaz Jalal dan Cikgu Erin, yang kini menjadi pendakwah setelah insaf dengan kesilapan lalu mereka, mengikuti hos Jejak Rasul Zainal Ariffin Ismail dalam penerokaan keislaman sekitar Jordan dan Palestin.

Stesyen penyiaran Indonesia Trans TV turut memperoleh Musim 12 dan Musim 13 siri Jejak Rasul pada bulan Mei yang lalu. Kedua-dua musim bakal bersiaran di TransTV lewat tahun ini. Jejak Rasul merupakan siri dokumentari tetap dalam barisan rancangan Ramadhan Primeworks Studios sejak tahun 1995. Bermula dengan pengembaraan untuk menjejaki dan memaparkan kisah hidup 25 Rasul dalam musim pertamanya, siri dokumentari ini kini memaparkan pelbagai topik berkaitan agama Islam seperti sejarah, kesenian dan kemasyarakatan.

Kandungan keislaman Primeworks Studios juga telah diperolehi Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thai. Siri dokumentari Journey into Islamic Russia telah disiarkan di Thailand di saluran Channel 5 bermula 10 Julai 2014, sebahagian daripada barisan rancangan bulan Ramadhan saluran itu. Pemerolehan ini merupakan yang pertama untuk Primeworks Studios oleh saluran televisyen negara Thai itu sejak tahun 2011. Journey into Islamic Russia memberi pengisian tentang cara hidup Islam yang masih diwarisi di sesetengah kawasan di Rusia seperti di Moscow, St Petersburg.

Jejak Rasul juga mula diterima di Brunei apabila Musim 19 siri ini telah diperolehi Radio Televisyen Brunei (RTB), menandakan pemerolehan pertama kandungan Primeworks Studios oleh stesen penyiaran tersebut sejak tahun 2006. Selain kandungan keislaman, pemerolehan oleh RTB itu juga termasuk dua siri drama terbitan Primeworks Studios, Dalam Setiap Sujud dan Teduhan Kasih, yang telah bersiaran di saluran RTB2 bermula 13 Mei dan 26 Jun.

Siri-siri dokumentari yang diperoleh rangkaian-rangkaian serantau ini merupakan sebahagian daripada kategori ‘Islamic Asia’, sebuah seksyen di dalam katalog kandungan Primeworks Studios yang merangkumi barisan rancangan berunsur keislaman. Pemerolehan-pemerolehan ini adalah sejajar dengan langkah Primeworks Studios dalam beberapa tahun ini untuk memasarkan kandungannya kepada badan-badan penyiaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, berkata, “Demi mencapai objektif kami untuk menembusi pasaran global dalam beberapa tahun ini, kami telah berusaha untuk memastikan produksi-produksi kami memiliki kualiti bertaraf antarabangsa. Mencipta cerita-cerita Asia untuk dunia kekal sebagai identiti penjenamaan kami, dan kami menyokong penjenamaan ini dengan menghasilkan karya-karya yang mempunyai ciri-ciri Asia yang unik tetapi pada masa yang sama mempunyai nilai universal yang membuatkannya mudah difahami oleh penonton-penonton seluruh dunia.”

Jejak Rasul 20: Rihlah 2 Daie
15 episod x 30 minit
Dua penonton Jejak Rasul, yang kini bergelar pendakwah setelah mendapat keinsafan, dijemput untuk mengembara Jordan dan Palestin bersama hos Zainal Ariffin Ismail selama 40 hari.

Jejak Rasul 12: Nabi Muhammad
30 episod x 30 minit
Siri khas tentang Nabi Muhammad s.a.w. ini memaparkan kisah hidup Rasulullah berdasarkan ‘Sirah Nabawiyah’ yang ditulis dan dihimpunkan oleh Ibnu Hisham.

Jejak Rasul 13: Sahabat
30 episod x 30 minit
Siri ini menjejaki semula riwayat hidup empat khalifah Khulafa Ar-Rasyidin yang telah mewarisi kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. selepas kewafatan baginda, iaitu Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Usman Bin Affan and Ali Bin Abi Talib.

Journey into Islamic Russia
13 episod x 30 minit
Kenali cara hidup Islam yang masih diwarisi di Moscow, St Petersburg, Tatarstan, Dagestan dan Chechnya.

Jejak Rasul 19: Three Holy Lands
29 episod x 30 minit
Kru Jejak Rasul menikmati pengalaman Ramadhan di Saudi Arabia, Jordan, dan Palestin, antaranya bersahur di Tanah Haram, Makkah, menunaikan tarawih di Masjid Sahabat, Jordan, dan qiamullail di Gua Hira’.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nicki Minaj To Host The 20th Anniversary MTV EMA In Glasgow

U Mobile Sasar 2 Juta Pelanggan Baru Menjelang 2015