in

Program DOIT Dimensi Berorientasi Inovasi Teknologi

Sedang bersiaran menemui penonton TV1, “DOIT” merupakan rancangan bisnes di RTM yang membawa penonton kepada Dimensi semasa ekonomi yang berOrientasikan Inovasi dan Teknologi. Ia merupakan program bermaklumat yang melangkau semua aspek ekonomi dan perniagaan serta lebih bersifat “human interest”.

Untitled

“DOIT”, Dimensi Berorientasi Inovasi Teknologi, Rancangan Bisnes Terbitan RTM di TV1

[dropcap]N[/dropcap]ama akronim program DOIT tercetus daripada bunyi perkataan “duit” yang begitu sinonim dalam hampir semua aspek kehidupan seharian pada masa ini. Jika disebut pantas akronim “DOIT” akan berbunyi seperti “duit” dan perkataan ini jualah menggambarkan bagaimana kejayaan inovasi dan teknologi sebenarnya dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan seterusnya dapat diterjemah kepada nilai wang ringgit.

Selain itu, DOIT juga diinspirasikan daripada semangat syarikat pengeluar kasut Nike dengan “trademark” mereka Just Do It yang jika diterjemahkan bermaksud lakukan sahaja. Semangat ini jugalah yang mencetus kepada banyak penemuan baharu teknologi dan inovasi dalam kehidupan kita pada hari ini dan cukup sinonim bagi mereka yang berkecimpung terutamanya dalam bidang keusahawanan. Sehubungan itulah, akronim “DOIT” ini dianggap tepat dalam menzahirkan kandungan isi program.

DOIT bersiaran pada setiap hari Isnin, pukul 7.30 malam di TV1 sebanyak 36 episod sepanjang 2015. Biarpun ia merupakan akronim, logo DOIT turut diletakkan tanda sengkang di tengah seperti /DO-IT/ bagi memudahkan orang ramai menyebutnya. Ia merupakan program 30 minit terbitan Seksyen Ehwal Semasa RTM. Terdapat empat segmen dalam program ini.

Segmen pertama D-LAB – mengetengahkan kejayaan Malaysia dalam menggalakkan transformasi perniagaan menerusi inovasi melibatkan penggunaan teknologi hijau dalam penghasilan produk, perkhidmatan atau teknologi penyelesaian industri serta berkaitan masalah sejagat. Segmen ini juga mengetengahkan pencapaian penyelidik tempatan dalam menghasilkan penemuan atau ciptaan baharu yang mempunyai daya pengkomersilan yang tinggi. Antara yang pernah ditampilkan dalam segmen ini adalah berkaitan dengan produk bioteknologi, genome, kit kesan penyakit barah, sistem binaan IBS, kamazuhome bagi mangsa banjir, pengurusan sisa pepejal dan sistem tahan gempa.

Untitled

Segmen kedua menampilkan usahawan tempatan yang berdaya saing dengan perniagaan berinovasi terutama yang melibatkan mereka yang di peringkat “start- up” dan juga secara dalam talian. Antara yang pernah ditampilkan adalah perniagaan unik majalah digital online wanita yang pertama di Malaysia iaitu Ramarama.my, Ramlees Barber Sportsclub yang memaparkan kejayaan anak orang asli yang memberi kelainan dalam memberi khidmat gunting rambut serta inovasi perniagaan dengan impak tinggi bagi pelbagai perniagaan penghantaran seperti jeruk buah potong, Foodpand dan pek makanan diet sihat. Tidak kurang juga galakan serta tips bagi wanita memulakan kerjaya dari rumah menerusi women4project.com serta perniagaan online seperti si pemberi kejutan dan barangan berasaskan bayi, kanak-kanak dan wanita.

Segmen ketiga “D-TEK” memfokus kepada penggunaan ICT dalam gajet, apps atau perisian dalam perniagaan serta kehidupan kita seharian. Paparan aplikasi oleh Google seperti view trekker, dan Chromecast antara yang pernah mendapat perhatian. Teknologi dalam drone juga ditampilkan dalam menyingkap penggunaannya sama ada sebagai aktiviti riadah, dokumentasi visual oleh pihak korporat mahu pun ketika negara berdepan dengan masalah banjir. Selain itu, penggunaan teknologi cip keselamatan dan pembangunan kandungan industri animasi kreatif tempatan turut pernah dimuatkan dalam segmen ini.

Segmen keempat “D-ISU” – menampilkan kupasan isu semasa oleh pihak berkuasa berkaitan serta analisis yang melibatkan topik perbincangan hangat dalam negara. Antara topik yang pernah mendapat perhatian adalah mengenai isu peningkatan kos sara hidup, pembentukan komuniti Asean (AEC), penyusutan ringgit, Bajet 2016, GST, TPPA dan hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan negara-negara ekonomi besar dunia.

Turut dipaparkan adalah info DOIT yang mengandungi maklumat semasa yang diselitkan antara segmen. Antaranya adalah maklumat berkaitan dasar ekonomi semasa, fakta Asean, pelaksanaan undang-undang yang memberi kesan kepada semua isi rumah dan statistik penting ekonomi negara.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Untitled

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wak Doyok Menang Anugerah Top Influencer Asia 2015

Sedapnya Dundee Fruit Cake di THE COFFEE BEAN