in

Program 4 PENJURU Kupas Isu Pelaburan Emas, Gores & Menang

Diperdaya Sindiket Penipuan, Pelaburan Emas, Gores dan Menang, Antara Isu Dalam Program “4 Penjuru” Di TV1. Realitinya kisah yang dipaparkan dalam setiap episod program terbaharu yang sedang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “4 Penjuru” sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian kita dan disiarkan menerusi media sosial dan akhbar.

Antaranya isu seperti aktiviti penyeludupan haiwan eksotik, penjualan kopi yang ditambah dengan sildenafil (viagra), penyeludupan rokok haram, pemerdagangan manusia, penipuan pelaburan emas, gores dan menang, cara penyembelihan halal, kecurian tenaga elektrik, penjualan bahan kosmetik yang mengandungi kimia dan sindiket penipuan cinta untuk mendapatkan wang.

Peka dengan hasrat menyedarkan orang ramai tentang bahaya dan kemungkinan besar dapat mengelakkan kesilapan sama berulang, RTM menyiarkan program 26 episod, “4 Penjuru” yang menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.30 malam di TV1.

Berkongsi mengetengahkan isu dan pelakon yang berlainan dalam setiap episod, program ini antaranya menampilkan pelakon Fauzi Nawawi, Farisha Irwayu, Kazar dan Airis Yasmin.

Ikuti episod “Salah Langkah” mengisahkan Hamdi dan isterinya mempunyai masalah kewangan. Hamdi tidak mahu melakukan tugas-tugas kasar seperti bouncer lalu dipujuk dan ditawarkan tugas menyeludup rokok haram. Malang nasib Hamdi pada tugasan pertamanya dia telah diberkas pihak berkuasa.

Menerusi tajuk “Jutawan Emas” pula kisah Edwin yang telah mendapat keuntungan dari pelaburan emas Swiss Gold telah berusaha menyakinkan keluarganya untuk turut melabur. Adik Edwin tidak bersetuju dan cuba menasihatkan keluarganya namun tiada siapa mengendahkannya. Pada satu hari Bank Negara telah membekukan aset syarikat pelaburan emas tersebut menyebabkan sekeluarga kerugian sehingga Edwin menyembunyikan diri kerana malu di kutuk keluarga dan sanak saudara.

Tidak ketinggalan pengajaran dalam episod “Sembelih”, kisah Jefri yang menganggur akhirnya pasrah menerima kerja di kilang ayam yang membekalkan ayam-ayam ke supermarket. Satu hari dia pulang ke kampung dan mendengar syarahan ustaz tentang sembelihan yang betul dan dia menyedari bahawa tempat kerjanya telah sekian lama tidak melakukan sembelihan yang betul yang bermakna ayam yang dibekalkan adalah haram walaupun mereka menggunakan sijil JAKIM.

Bila Jefri membuat teguran kepada para pekerja mereka tidak mengendahkannya dan apabila diadu pada majikan dia telah diberhenti kerja. Jefri membuat aduan dan pihak JAKIM datang membuat siasatan secara rahsia mendapati memang proses sembelihan adalah tidak mengikut proses halal lalu mereka ditangkap dan disaman serta lesen ditarik.

Masa kini ramai kalangan remaja mengambil risiko menggunakan kad kreadit. Ini yang terjadi kepada Rashid yang sanggup berhutang semata-mata mahu menampakkan kemewahan hidupnya hingga turut mengabaikan anaknya.

Sindiket penipuan cinta untuk mendapatkan wang juga semakin menjadi-jadi ketika ini. Ia memaparkan watak dalam episod “Cinta Hitam”, menyorot kisah Laila, seorang isteri yang sering diketepikan oleh suami terjerat dalam perangkap cinta dengan kenalan Facebook. Kekasih yang disangka jejaka Eropah rupanya hanyalah seorang lelaki kulit hitam yang menjalankan sindikit penipuan melalui cinta untuk mendapatkan wang.

Satu lagi kisah yang popular di media mengenai penjualan barangan mewah gred AAA ditonjolkan dalam episod “Hanya Yang Ori”. Kak Molly adalah penjual barangan mewah gred AAA. Pelanggannya dari pelbagai golongan dari orang biasa hinggalah ke artis dan VIP.

Kak Molly sangat suka bergaya dan mempunyai keyakinan yang sangat tinggi. Bagaimanapun, keyakinannya membuatkan dia tertangkap bila dia memakai beg mewah yang tidak ori (palsu) ke majlis yang dianjurkan oleh pengeluar beg asli. Pihak berkuasa akhirnya menjejaki kegiatannya dan membuat tangkapan.

Ikuti lebih banyak lagi kisah-kisah realiti penuh pengajaran ini hanya di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cara Terbaik Untuk Melembapkan & Mencantikkan Kulit

Telemovie AKU BUKAN DIA Lakonan Rusdi Ramli