in

POPCORN & WEDNESDAY Demam Malam Rabu

POPCORN & WEDNESDAY
“Demam Malam Rabu” Kembali Lagi di 8TV!

Slot popular Popcorn N’ Wednesday di 8TV kembali secara eksklusif, membawakan kepada anda barisan filem menarik sepanjang September ini disamping lakonan mantap oleh pelakon-pelokan hebat. Jangan lupa untuk menyaksikan para bintang handalan di dalam kisah benar yang pasti meruntun jiwa.

DRIVEN
Tarikh siaran: 1 September 2010
Masa: 10.00 pm

Mengisahkan seorang pelumba kereta berbakat, Jimmy Bly yang mula hilang tumpuan dan semakin tersisih di dalam kedudukan perlumbaan, akibat tekanan hebat yang diberikan oleh abangnya yang juga merangkap penganjur, serta terbabit dalam hubungan romantis dengan kekasih musuhnya, Sophia. Disebabkan oleh rasa tanggungjawab, pemilik kereta, Carl Henry telah membawa bekas bintang pelumba, Joe Tanto membantu Bly bangkit semula untuk sampai ke tahap teratas. Namun, Tanto harus menangani kenangan pahitnya di masa lampau apabila beliau pernah terlibat dalam satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya dan turut memusnahkan perkahwinannya dengan isteri beliau, Cathy. Sebuah cerita yang diadaptasikan daripada kisah benar tentang lagenda Formula One, Ayrton Senna. Bersiap sedia untuk menyaksikan perlumbaan terhebat yang pasti membuatkan anda tidak lekang dari kaca TV!
Dibintangi oleh: Sylvester Stallone, Burt Reynolds

SAVING MILLY
Tarikh siaran: 8 September 2010
Masa: 10.00 pm

Diadaptasikan daripada novel terlaris mengenai perjalanan hidup sebenar seorang wartawan politik, Mort Kondracke dan isterinya, Milly Martinez, yang dikatakan memiliki segalanya yang diidamkan wanita. Kehidupan yang sempurna, berjaya dalam karier, suami penyayang, dua anak yang hebat dan rumah yang cantik! Namun segalanya berubah dengan drastik apabila Milly merasai perubahan di dalam tulisannya dan jari jemarinya yang terasa kebas. Selepas beberapa siri ujian yang dilakukan, akhirnya dia disahkan menghidap penyakit Parkinson. Berpegangkan kepada janji ‘akan tetap bersama dalam suka dan duka’, Mort bertukar haluan dari menjadi seorang yang berkarier, kepada penjaga yang setia. Apabila penyakit Milly semakin teruk, hidupnya kini komited untuk menyelamatkan nyawa isterinya. Pelakon Michael J. Fox yang merupakan pesakit Parkinson turut membuat penampilan khas dalam filem ini. Sebuah kisah percintaan yang bakal merungkai makna sebenar cinta sejati.
Dibintangi oleh: Bruce Greenwood, Madeleine Stowe

GET CARTER
Tarikh siaran: 15 September 2010
Masa: 10.00 pm

Selepas menghabiskan masa sepanjang hidupnya dengan mengutip hutang dan pembalasan dendam untuk orang lain, gangster paling kejam di London, Jack Carter akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya di Newcastle untuk menghadiri majlis pengebumian abangnya. Carter menolak laporan polis yang mengatakan punca kematian disebabkan bunuh diri lalu keluar mencari rakan-rakan serta para pengikut abangnya untuk menyoal mereka, namun tidak berjaya mendapat sebarang jawapan. Dia mula meragui kematian abangnya bukanlah berpunca dari sebarang kemalangan. Apabila dia diarahkan oleh ketua gangster untuk meninggalkan bandar tersebut sangkaannya semakin tepat, dan dia memulakan dendamnya secara ganas. Memahami ini satu-satunya peluang bagi menebus perkara masa lalu, dia bersatu dengan isteri abangnya, Gloria serta anak perempuannya Doreen dan keluar mengikuti laluan penuh tipu daya dunia kongsi gelap Newcastle dengan harapan akan membawanya kepada pembunuh sebenar abangnya. Dicalonkan untuk Anugerah Filem BAFTA, saksikan pelbagai aksi dan drama secara eksklusif di 8TV!
Dibintangi oleh: Sylvester Stallone, Michael Caine, Rachael Leigh Cook

AMBULANCE GIRL
Tarikh siaran: 22 September 2010
Masa: 10.00 pm

Ambulance Girl adalah sebuah kisah benar tentang bagaimana dan mengapa Jane, seorang yang mengalami tekanan perasaan dan mempunyai agorafobia menjadi ahli teknikal perubatan kecemasan. Beliau berumur 52 tahun merupakan penulis makanan dan telah berkahwin selama 33 tahun. Jane menyedari bahawa beliau sentiasa mengalami gangguan emosi. Perkahwinannya berada di ambang keruntuhan dan beliau banyak menghabiskan masa dengan mundar-mandir di dalam rumah serta merana akibat serangan panik. Sesi bersama terapi juga tidak dapat membantunya. Beliau kemudian bersungguh-sungguh ingin mengubah kehidupannya dan berdepan dengan ketakutan yang dialami. Akhirnya, beliau mengambil bahagian dalam latihan Emergency Medical Technicians (EMT) oleh Sukarelawan Jabatan Bomba Grafton, dengan sokongan suaminya, Michael. Keadaan menjadi tegang apabila rakan-rakan sejawatan mulai komen dan berasa pelik tentang bagaimana seorang wanita yang emosinya sering terganggu dan selalu takut menerima pekerjaan tersebut. Kisah benar yang kelakar dan mengharukan, menceritakan bagaimana seorang wanita bangkit dari masalah kemurungan, diterima oleh ahli bomba di Georgetown serta rakan-rakan EMT yang lain. Ianya menunjukkan bagaimana seorang wanita yang berani berdepan dengan ketakukannya selama ini berjaya melalui apa sahaja rintangan.
Dibintangi oleh: Kathy Bates, Robin Thomas

BRAVE NEW GIRL
Tarikh siaran: 29 September 2010
Masa: 10.00 pm

Holly merupakan gadis remaja Texas kelas pertengahan yang dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal. Dikurniakan dengan suara yang merdu, sebuah impian dan dedikasi, beliau mempunyai segalanya untuk menjadi seorang bintang dan keluar dari belenggu kehidupannya di Texas. Ibunya Wanda, telah menghantar pita rakaman ujibakat yang membuatkan Holly berjaya memenangi biasiswa ke sekolah seni dan muzik yang berprestij yang terletak di pantai timur. Namun, perjalanan ke puncak bukanlah mudah. Holly harus berdepan dengan sikap sombong serta saingan rakan sekelasnya dan merebut gelaran bintang dengan Angela yang bongkak. Beliau bertuah kerana dengan sokongan daripada ibu dan rakan sebiliknya, Ditz. Beliau menyedari untuk menjadi seorang bintang, kemasyuran bukanlah segalanya tetapi kepercayaan, keluarga, dan rakan-rakannya adalah lebih penting – kerana sebelum kesemua carta hits dan para peminat, apa yang dimiliki sebelumnya hanyalah sebuah impian. Inspirasi daripada buku bertajuk “A Mother’s Gift” oleh Britney & Lynne Spears, saksikan sebuah kisah yang benar-benar menceritakan tentang makna menjadi seorang bintang.
Dibintangi oleh: Lindsey Haun, Virginia Madsen

“Kami di 8TV telah memilih filem-filem yang menakjubkan bagi memastikan malam Rabu anda tidak lagi membosankan!” ujar Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim. Tambah beliau, “Bulan ini, kami akan menghidangkan kepada anda barisan pelakon handalan dengan cerita yang hebat berkisarkan kisah benar tentang kehidupan. Segalanya mengenai cinta, kesusahan, dan inspirasi.”

Kesemua ini boleh didapati secara eksklusif di 8TV. 8TV juga terdapat di saluran Astro 708. Anda juga boleh menonton program-program menarik di 8TV dengan melayari mobile.8tv.com.my hanya dengan menggunakan telefon bimbit anda atau layari laman sesawang rasmi 8TV www.8tv.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trivia Album Raya Paling Mahal di Dunia

Sinopsis Drama Asmara Lakonan Faezah Ilai & Shaz Jaszle