in

Peserta Sejuta Impian TV3 Bakal Diumumkan

PENGEMBARAAN RM SEJUTA KINI BERMULA !
Peluang Terakhir Sabtu Lalu Saksi Semangat Waja Rakyat Malaysia

Sesi ujibakat SEJUTA IMPIAN terakhir pada 19 Mac 2011, Sabtu lalu di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya menandakan tamatnya pencarian impian dan peluang bagi mereka yang ingin tampil dengan satu harapan dan niat murni masing-masing. Ujibakat yang telah berlangsung bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang itu telah menerima sebanyak lebih kurang 120 penyertaan dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya, ujibakat program realiti terbaru TV3 ini berjaya menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, dengan jumlah penyertaan sebanyak 400 orang melalui kaunter pendaftaran di lokasi di seluruh negara, 300 penyertaan melalui pos serta hampir 300 penyertaan melalui pendaftaran secara online. Menurut pemerhatian yang dijalankan di sekitar lokasi ujibakat, majoriti peserta tampil begitu bersedia tanpa sebarang masalah di hadapan kamera dan para pemerhati, kru Sejuta Impian dan pengunjung yang lain. Malah, ada di antara mereka yang hadir dengan beraneka jenis ilustrasi, papan cogankata, lukisan, persembahan, gimik menarik, kostum dan ucapan yang sungguh bertenaga dan bersemangat.

Sejuta Impian

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad “Sambutan yang diterima di sepanjang sesi ujibakat Sejuta Impian yang telah berlangsung di serta tanah air sangat memberangsangkan, di mana kami telah menerima dan menyaksikan pelbagai suara lantang dan hasrat tinggi para peserta untuk menjadikan negara ini sebuah kediaman yang lebih baik, makmur dan maju.

Kami juga telah menerima sejumlah penyertaan dari wakil syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin merealisasikan hasrat CSR, merangkumi kebajikan dan pembaikpulihan di peringkat sosial, khususnya para usahawan dan penggiat industri. Lebih pasti, Sejuta Impian telah berjaya menarik minat rakyat Malaysia dari seluruh jenis bangsa dan peringkat umur, dan ini merupakan sesuatu yang patut dibanggakan kerana kita tergolong di dalam negara yang mempunyai rakyat yang sangat prihatin, peka dan berilmu.”

Antara individu menarik yang hadir pada sesi ujibakat Sejuta Impian Sabtu lalu adalah seperti:

Nadiah Farehan Bt Ahmad Zikri – 21 tahun, Pelajar, Johor Bahru
Beliau hadir untuk mewakili satu NGO yang dikenali sebagai CLAPAM (Cleft Lips and Palate Association of Malaysia) yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor. Pertubuhan ini diwujudkan khas untuk membantu individu yang mengalami kecacatan pada bibir dan lelangit mulut, atau juga diketahui umum sebagai sumbing, sejak lahir. Dengan bantuan doktor, kaunselor dan tenaga sukarelawan, pusat ini berfungsi sebagai rumah penjagaan dan bimbingan bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan ini, yang rata-rata menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan masyarakat sekeliling, apatah lagi untuk tampil di hadapan khalayak ramai.

Nadiah menyampaikan impiannya untuk mengumpul dana pusat bagi menyara kos pembedahan, disamping sebagai sumber bantuan kewangan di saat-saat diperlukan. Bantuan ini sangat penting untuk memulihkan keyakinan mereaka untuk menyertai masyarakat di peringkat sosial, seterusnya menaiktaraf pembangunan insan di peringkat kanak-kanak dan remaja.

Christina Mei Mei Ng – 23 tahun, Ahli Farmaseutikal, wakil perubatan dan Pereka kasut wanita, Petaling Jaya.
Tampil dengan satu harapan besar, jitu dan progresif, Christina yang merupakan peneraju dan pereka syarikat kasut wanita khas yang pertama di Malaysia, Christy Ng Shoes, beliau telah hadir menyatakan hasratnya untuk mengembangkan label dan jenama syarikatnya, disamping membantu wanita golongan sederhana untuk merealisasikan impian mereka untuk memiliki kasut rekaan khas berkualiti tinggi, setaraf dengan rekaan pengumpul (collectors’ designs) di peringkat antarabangsa, dengan harga yang jauh lebih murah dan sangat menarik.

Apa yang lebih penting, beliau memandang Sejuta Impian sebagai satu sumber inspirasi dan sebagai sebuah platform untuk memenuhi cita-cita seorang wanita tempatan yang ingin berkongsi kejayaan dan pencapaiannya sebagai seorang usahawan muda. Christina juga berhasrat untuk menyumbang kepada kemajuan industri fesyen tanah air, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan fesyen, melalui tema yang diperkenalkan oleh Christina “Malaysia: Shoe-shopping destination”.

Muhammad Nazir Bin Fadzil (BooJae) – 29 tahun, Artis kumpulan tari urban Floor Fever (Street Dance), Kuala Lumpur.
Menjadi harapan bagi penari profesional, Muhammad Nazir atau dengan nama popularnya BooJae bercita-cita untuk meneroka genre baru iaitu “Urban Dance”, untuk diperkenalkan di dalam bidang tarian di Malaysia. BooJae menjadikan Sejuta Impian sebagai satu pilihan utama untuk menjana dana, dalam merealisasikan impian beliau untuk menghadiri satu acara khas “Urban Dance Camp” di Lorrach, Jerman. Justeru itu, tujuan beliau tidak lain dan tidak bukan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat, khususnya golongan muda yang pada masa kini kurang di beri perhatian dan tidak mempunyai ruang dan peluang yang cukup untuk melahirkan ekspresi baru serta berkarya.

Rashidi Ishak – Pelakon, Kuala Lumpur
Turut hadir memberi kejutan, Rashidi Ishak tampil dengan keinginan untuk memulakan sebuah portal khas untuk golongan belia. Diberi nama ‘Apakah!’, portal ini berfungsi sebagai medan perkongsian ilmu, pengalaman, idea dan terutama sekali nasihat dan bimbingan berguna di antara pelayar, khususnya golongan muda. Menurut beliau “Objektif disebalik Apakah! adalah untuk menunjukkan kepada golongan belia yang ‘it’s cool and hip to be good’. Masalah dengan belia-belia adalah persepsi jika mereka hendak menjadi ‘cool’, ia perlu dalam cara yang negatif. Tidak salah untuk menjadi belia yang ‘outstanding’, tiada perlunya untuk menjadi seorang ‘rebel’.”

“Mesej ini perlu ditekankan dari awal. Sebagai ibubapa, kita semestinya ingin melindungi anak-anak kita. Saya bimbang apa yang bakal dihadapi mereka di masa depan sebab kita tak boleh mengawal dengan siapa mereka berkawan,” tambah beliau.

Kru produksi SEJUTA IMPIAN telah memulakan misi pencarian peserta di seluruh negara, melalui lokasi uji bakat seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kota Bharu (Kelantan), Kuantan (Perak), Melaka, Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak), bermula pada 5 Mac lalu, dan berakhir pada 19 Mac di Sri Pentas TV3 (Central), Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

SEJUTA IMPIAN ialah program realiti televisyen yang akan membantu anda merealisasikan impian anda. Tidak kira kecil atau besar, SEJUTA IMPIAN menawarkan insentif bernilai RM1 juta kepada rakyat Malaysia dari segenap pelusuk tanahair yang berjaya memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Pemberian dana tersebut juga berperanan untuk mencetus semangat dan titik permulaan bagi golongan belia sama ada individu atau pun secara berkumpulan untuk merealisasikan impian dan hasrat murni mereka demi kebaikan bersama.

SEJUTA IMPIAN bakal ditayangkan di TV3 sebanyak 20 episod dan akan bersiaran selama setengah jam bermula 15 Mei 2011, setiap hari Ahad jam 7.30 petang. Program realiti ini ditaja khas oleh Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1 Malaysia (DB1M) sebagai penyalur penaja dana.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini boleh melayari laman web rasmi di www.tv3.com.my/sejutaimpian.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bunkface Wakil Malaysia di Asian Music Festival 2011 Hong Kong

Tonton Dapat Anugerah Rakyat Untuk Portal Hiburan Pilihan