PERTANDINGAN BINTANG KLASIK NASIONAL 2008 ZON TENGAH

PERTANDINGAN BINTANG KLASIK NASIONAL 2008 ZON TENGAH

Pertandingan Bintang Klasik Nasional merupakan usaha murni RTM dalam memartabatkan irama klasik dan malar segar terutama sekali dikalangan para belia agar warisan ini tidak luput ditelan zaman. Tahun 2007 menyaksikan Muhaizam Ahmad dan Anis Salwa Alauddin telah dianugerahkan sebagai Bintang Klasik Nasional kategori lelaki dan wanita.

Kesinambungan penganjuran Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 selepas sambutan yang menggalakkan pada 2007, kini menjadi kenyataan. Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 dimulakan dengan pemilihan wakil Zon Tengah yang melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan pada 7 Jun 2008, pukul 3.00 petang bertempat di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri.

Menurut Pengarah Siaran Radio RTM, Haji Keliwon Pajhar,

“Berbanding tahun 2007, sesi ujibakat yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bermula 12 April lalu telah mendapat sambutan yang cukup menggalakan.”

Hal ini disokong dengan rekod yang menunjukan sesi ujibakat yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur telah mengumpulkan seramai 180 orang peserta berbanding tahun lalu seramai 98 orang sahaja. Manakala ujibakat yang dilangsungkan di Tanjung Rabok Bay, Jalan Kebun, Klang, Selangor telah menggamit seramai 62 orang peserta berbanding 48 orang tahun lalu. Sementara itu, ujibakat yang telah diadakan di Time Out Zone, Putra Nilai, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan telah mengumpulkan seramai 40 orang peserta berbanding 28 orang sahaja tahun lalu.

Daripada jumlah keseluruhan seramai 282 orang peserta yang telah diujibakat, 14 orang yang terbaik telah dipilih ke Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 (Zon Tengah). 7 orang peserta lelaki iaitu Zainol Roslan, Anas Farhan (Selangor), Muhammad Alif, Afzal Nazeri, Mohd. Saharuddin (Kuala Lumpur), Mohd Zaini dan Fazli Awang (Negeri Sembilan) bakal berentap untuk merebut hadiah utama kategori lelaki bernilai RM 2,000.00, sijil dan hamper.

Sementara itu 7 orang peserta wanita iaitu Mawarherdawaty, Nurfarhana (Selangor), Sabihah, Nur Erni Shahirah, Norzarina (Kuala Lumpur), Rohaida dan Norfazlina Awang (Negeri Sembilan) turut bakal berentap untuk merebut hadiah utama kategori wanita bernilai RM 2,000.00, sijil dan hamper.

Menurut Pengawal Radio KLfm, Puan Fee Lin Chew,

“Menerusi Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2008 (Zon Tengah) ini, Johan kategori lelaki dan wanita akan mewakili Zon Tengah ke Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional 2008 yang dijadualkan sekitar Ogos 2008.”

Lagu-lagu yang bakal didendangkan oleh finalis Bintang Klasik Nasional 2008 (Zon Tengah) adalah Disudut Bibirmu (Muhammad Alif), Jelingan Manja (Afzal Nazeri), Cemburu (Mohd. Saharuddin), Hidup Ibarat Mimpi (Sabihah), Airmata (Nur Erni Shahirah), Senyum Tak Berbalas (Norzarina), Hasrat Hati (Zainol), Hujan Turun (Anas Farhan), Hilang Terang Timbul Gelap (Mawar), Si Dia (Nurfarhana), Gelombang (Rohaida), Cinta Ku Satu (Norfazlina), Harapan Hanya Bayangan (Mohd. Zaini) serta Bimbang Dan Ragu (Fazli Awang).

Justeru pastikan anda memenuhi Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri pada 7 Jun 2008, pukul 3.00 petang bagi menyaksikan saingan hebat para finalis yang bakal berentap merebut tempat selaku wakil Zon Tengah dalam Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional 2008.

[tags]bintang klasik nasional, zon tengah, rtm klasik, isu harga minyak, price, petrol, gelombang[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pensil – Penuh Dengan Pengajaran Dan Nilai Agama

Gambar Maya Karin @ Tag Heuer Event