in

Persembahan Datuk Ramli Ibrahim di Orkestra Filharmonik Malaysia

Musim konsert 2013/14 bakal melabuhkan tirai dengan sebuah persembahan menarik yang menampilkan kolaborasi terunggul gabungan Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) dan maestro tari tersohor Datuk Ramli Ibrahim di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Bertemakan Quintessence: Ramli Ibrahim and the MPO, konsert-konsert ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 21 Jun 2014 jam 8.30 malam dan Ahad, 22 Jun 2014 jam 3.00 petang, dan bakal meletakkan taraf seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi. Semua konsert bakal dipimpin oleh konduktor kelahiran Brazil, Fabio Mechetti, antara konduktor yang dihormati di Amerika Syarikat.

Datuk Ramli Ibrahim

Datuk Ramli menjejaki senarai artis-artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ M Nasir, Dato’ Siti Nurhaliza, Tengku Ahmad Irfan, Bobby Chen, Foo Mei Yi, Dato’ Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro dan Aishah.

Konsert ini akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik; dari klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari. Bakal meraikan ulangtahun ke 16, MPO, yang ditubuhkan pada tahun 1998, terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton menerusi lebih kurang 100 buah konsert setiap musim di DFP. MPO juga telah melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun, Vietnam dan Australia.

Seorang legenda dalam kelasnya yang tersendiri, Ramli telah memberikan sumbangan yang besar dalam lapangan seni tari tempatan. Sebagai seorang penari negara yang terulung, baik dalam seni tarian odisi, bharatanatyam, makyong dan moden, beliau telah mengambil inisiatif memberikan pengenalan kepada audiens beliau terhadap kehalusan seni tari ini, baik di Malaysia ataupun di luar negara.

Mempunyai latar belakang dalam tarian ballet klasikal, moden dan tarian klasikal India, Ramli menganggap kerjaya seni beliau sebagai ‘sebuah perjalanan yang menyusuri kebahagiaan’ dan perjalanan itu telah memberikan beberapa penganugerahan yang berprestij termasuk Anugerah Sangeet Natak Akademi di India dan gelaran ‘Datuk’ dari Kerajaan Pusat Malaysia.

Datuk Ramli Ibrahim

Tahun ini memberikan pelbagai erti dalam karier beliau; kolaborasi perdana bersama MPO dan juga produksi besar berjudul Krishna, Love Reinvented (Odissi) yang dipersembahkan di Kuala Lumpur, diikuti dengan siri jelajah di 8 bandar serata Malaysia, seterusnya siri jelajah di India dan Amerika Syarikat pada bulan September ini. Sebelum itu, Ramli dan kumpulan tariannya, Sutra Foundation pernah membuat persembahan di Carnegie Hall (New York) dan Wall Street.

Melalui Sutra Foundation (sebuah badan kesenian tradisional dan kontemporari), Ramli memupuk sebuah generasi baru penari tempatan yang cemerlang. Badan itu membawa visi beliau dan bertekad untuk memupuk budaya seni tempatan dengan lebih mendalam melalui semangat berbilang kaum Malaysia dengan lebih kreatif.

Untuk konsertnya bersama MPO, Ramli dan penari-penari dari Sutra Foundation bakal menari mengiringi tiga karya agung; Prelude to the Afternoon of a Faun (karya Debussy), The Firebird Suite (Stravinsky) dan Shéhérazade (Ravel, yang bakal menampilkan artis soprano YiLiang Chaing).

Karya-karya ini mewakili jalinan romantika dan pertemuan elemen eksotik dalam kedua-dua nuansa tarian dan muzik. Koreografi bakal diinspirasikan oleh tarian-tarian Asia yang akan membawa khalayak menyusuri perjalanan seni di mana warna dan lenggok tarian moden Asia digabungkan dengan muzik indah ciptaan komposer klasikal tersohor.

Busana yang indah menawan untuk konsert ini bakal direka oleh Dato’ Bernard Chandran dan Melinda Looi.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan istimewa ini, hanya di DFP!

Maklumat Konsert

Tarikh
Sabtu, 21 Jun 2014 jam 8.30 malam dan Ahad, 22 Jun 2014 jam 3.00 petang

Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS
Menara Berkembar PETRONAS

Orkestra / Konduktor / Solois
Malaysian Philharmonic Orchestra
Fabio Mechetti konduktor
Datuk Ramli Ibrahim penari/koreografer/pengarah artistik
Sutra Foundation

Harga Tiket
Premium: RM250, Kategori A: RM180, Kategori B: RM130 dan Kategori C: RM60

Box Office
Selasa hingga Sabtu:10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam pada hari konsert

Ahad:12.00 tengahari hingga waktu konsert

Tutup hari Isnin dan Cuti Am (kecuali jika ada konsert berjadual)

Tempahan Telefon: 03-20517007 Faksimili: 03-20517077

Tempahan Email: [email protected]

MPO website: www.mpo.com.my

Facebook: fb.mpo.com.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Pemenang Anugerah Stail EH! 2014

Kejutan Konsert Mega Final Kilauan Emas 4