in

Pendaftaran Larian Amal Feel Good Run 2013

Pendaftaran larian amal Feel Good Run 2013 ditutup dalam hanya 7.5 hari!

Sejarah terukir lagi tahun ini apabila pendaftaran bagi larian amal Feel Good Run ditutup dalam hanya 9.5 hari apabila seramai 5,000 pelari telah berjaya mendaftarkan diri mereka berbanding empat minggu pada tahun sebelumnya.

Ribuan pelari mendaftarkan diri mereka sejak hari pertama pendaftaran dibuka justeru membuktikan larian amal Feel Good Run yang memasuki tahun ketiganya diterima positif oleh rata-rata masyarakat yang inginkan gaya hidup sihat.

Celebrities @ Feel Good Run 2013 PC-001

Kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV:

“Ini merupakan suatu permulaan baik sempena sambutan ulang tahun ke-15 ntv7! Pencapaian yang membanggakan seperti ini memberi gambaran bahawa acara Feel Good Run semakin bertambah baik tahun demi tahun. Walaupun sebelum waktu pendaftaran diumumkan, telah ramai yang bertanyakan tentang larian amal ini. Ini merupakan berita yang menggembirakan buat kami.”

Pendaftaran bermula sejak 1 April lalu dan memecahkan rekod tahun lepas di mana pendaftaran ditutup dalam hanya empat minggu walaupun tarikh rasmi penutupan pendaftaran adalah pada 31 Mei.

“Kami amat berterima kasih dengan sokongan dan sambutan oleh orang ramai dan amat menghargai kesemua pihak yang terlibat di dalam acara ini. Kepada mereka yang terlepas peluang pada tahun ini, pastikan anda menyertainya pada tahun 2014 akan datang,” tambah Airin.

Menurut Airin, acara larian amal Feel Good Run 2013 akan lebih menarik berbanding sebelum ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-15 stesen ntv7.

“Tahun 2013 bermula hebat buat saluran itu apabila ntv7 menganjurkan rancangan anugerah wanita pertama Malaysia – Bella Awards – pada awal bulan Mac. Larian amal Feel Good Run 2013 juga bakal menjadi acara terpenting di dalam kalendar kami bagi meraikan 15 tahun usia ntv7. Kami berharap untuk berkongsi kegembiraan bersama para penonton dan orang ramai menerusi aktviti-aktiviti menarik yang telah kami sediakan,” kongsi Airin.

Feel Good Run akan diadakan pada 7 Julai tahun ini di mana garisan mulanya adalah di Sri Pentas, Bandar Utama, manakala Central Park, One Utama akan menjadi garisan penamat acara larian itu. Pelbagai aktiviti menarik akan disediakan di Central Park di mana setiap pelari dan keluarga serta rakan mereka digalakkan untuk turut serta.

Terdapat tiga kategori pada tahun ini iaitu 15KM (untuk peserta 16 tahun dan ke atas), 7KM (untuk pelari berusia 13 tahun dan ke atas) dan 2.3KM (bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun).

Kesemua kutipan larian itu akan disumbangkan secara sama rata kepada empat organisasi terpilih – Hospis Malaysia, Malaysian Rare Disorders Society, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, dan SPCA Selangor.

Jawatankuasa acara itu juga telah memilih bulan Mei sebagai bulan bagi inisiatif kerja amal dengan pelbagai lawatan dan aktiviti yang bermanfaat telah diperuntukkan kepada benefisiari Feel Good Run 2013 tahun ini.

Seperti tahun lepas, Feel Good Run akan terus menyampaikan mesej murninya “Do Good Feel Good” dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk melakukan kebaikan sambil menyertai acara larian sihat tersebut.

Tahun lalu, acara itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM142,800 daripada 5,000 orang pelari berdaftar serta penyertaan lebih 80 orang selebriti dan menjadikan Feel Good Run sebagai antara acara larian terbesar di Bandar Utama. *Senarai selebriti yang turut serta pada tahun ini akan diberitahu kemudian.

Untuk maklumat lanjut mengenai Feel Good Run 2013 layari www.ntv7.com.my/feelgoodrun atau ikuti perkembangan ntv7 menerusi Facebook (www.facebook.com/ntv7.feelgood) dan Twitter (www.twitter.com/ntv7).

Pengguna Twitter digalakkan menggunakan hashtag khas ntv7 – #ntv7fgr and #dogoodfeelgood – bagi memeriahkan lagi acara larian amal Feel Good Run.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Life Centre Kini Berwajah Baru

Kiawayan Dance Club Juara Lantai Cilik Musim Pertama