in

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 FFM29

Tahniah buat filem Adiwiraku arahan Eric Ong yang telah dijulang sebagai filem terbaik pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam Sabtu.

Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi, karya arahan Eric Ong yang mengangkat kisah kekentalan jiwa seorang guru Bahasa Inggeris itu menyaksikan pelakon utamanya, Sangeeta Krishnasamy, dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, selain membawa pulang trofi Cerita Asal Terbaik yang dimenangi penerbit eksekutifnya, Jason Chong.

FFM 29Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 FFM29

Trofi disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang turut merasmikan malam kemuncak festival terbabit.

Seperti dijangka, lakonan hebat Namron dalam filem Redha melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Sebelum ini, bintang berpengalaman berkenaan diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik kategori filem pada Anugerah Skrin 2016, menerusi filem sama.

Shaheizy Sam yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam Interchange pula dipilih juri sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala Diana Danielle daripada filem Hanyut diumum sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 FFM29

Trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Harapan pula masing-masing menjadi milik John Tan (You Mean The World To Me) dan June Lojong (Redha).

Lakonan pelakon cilik, Harith Haziq, yang meninggalkan kesan dalam filem berkisar pada dunia kanak-kanak autistik, Redha, melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, manakala sutradaranya, Tunku Mona Riza, dipilih sebagai Pengarah Harapan.

Adiwiraku turut meraih trofi Cerita Asal Terbaik yang dimenangi oleh Jason Chong dan Sangeetha Krishnasamy pula berjaya memenangi Pelakon Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, Filem Redha pula merangkul empat anugerah iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Namron), Pelakon Wanita Harapan (June Lojong), Pengarah Harapan Terbaik (Tunku Mona Riza) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Harith Haziq).

Para pemenang menerima trofi bersalut emas sumbangan penganjur iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

Sebanyak 24 anugerah disampaikan pada malam kemuncak FFM29 ini.

Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman pula diberi kepada Datuk Yusof Haslam.

FFM29 dihoskan oleh Zizan Razak serta hos bersama Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Turut hadir ialah, Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abd Talib dan Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Salamiah Hassan, Atilia, Dualiti, Ameerais, Fina Jebat, Mirwana, UNIC, dan Shiha Zikir.

Berbeza untuk penganjuran Festival Filem Malaysia tahun ini apabila lima terbaik diumumkan pada malam kemuncak selain pemansuhan Filem Terbaik Kebangsaan dan Filem Terbaik Malaysia yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bertindak sebagai rakan promosi dalam penganjuran anugerah ini.

Berikut ini senarai 24 pemenang FFM29:

1. Filem Terbaik : Adiwiraku

2. Pengarah Terbaik : Dain Said – Interchange

3. Pelakon Lelaki Terbaik : Namron – Redha

4. Pelakon Wanita Terbaik : Sangeetha Krishnasamy – Adiwiraku

5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik : Shaheizy Sam – Interchange

6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik : Diana Danielle – Hanyut

7. Pelakon Lelaki Harapan : John Tan – You Mean The World To Me

8. Pelakon Wanita Harapan : June Lojong – Redha

9. Pengarah Harapan : Tunku Mona Riza – Redha

10. Lakon Layar Terbaik : Saw Teong Hin – You Mean The World To Me

11. Cerita Asal Terbaik : Jason Chong – Adiwiraku

12. Pelakon Kanak Kanak Terbaik : Harith Haziq – Redha

13. Sinematografi Terbaik : Jordan Chiam – Interchange

14. Penyunting Terbaik : Nazim Shah – J Revolusi

15. Filem Box Office : Abang Long Fadhil 2

16. Karyawan Sepanjang Zaman : Datuk Yusof Haslam

17. Anugerah Khas Juri 1 : Desolasi

18. Anugerah Khas Juri 2 : Shuttle Life

19. Anugerah Khas Juri 3 : Pekak

20. Penggiat Belakang Tabir: Johan Ibrahim

21. Penataan Bunyi Terbaik: Daniel – Hanyut

22. Penataan Seni terbaik: Zaharah Nakibullah – Interchange

23. Rekaan Kostum Terbaik: Akma Suryati Awang – Hanyut

24. Skor Muzik Terbaik: Koon Wei Gee – You Mean The World To Me

Mengangkat tema Transformasi Citra Karya, FFM29 menyaksikan 53 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD.

Ia menyaksikan artis serba boleh, Zizan Razak, bertindak sebagai hos utama, bergandingan dengan Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Penuh David Beckham di Sidang Media AIA Healthy Living Tour Malaysia

Zizan Razak Dikecam Netizen Gara-Gara Gurauan Kasar di Festival Filem Malaysia ke-29