in

PELARIAN NEBULA DRAMA ANIMASI TEMPATAN

PELARIAN NEBULA, SIRI ANIMASI TEMPATAN TERBAHARU MENGISI SLOT SMART KIDS ON 2 DI RTM2

Meskipun lambakan siri animasi luar disiarkan kepada penonton namun produksi tempatan juga sebenarnya turut sama menyumbang karya genre sama yang dapat dihadiahkan kepada penonton. Justeru buktinya mulai 7 November 2008 ini, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM)  menerusi slot Smart Kids On 2 menyiarkan siri animasi Pelarian Nebula, setiap Jumaat, jam 9.30 pagi di RTM2 terbitan Keris Motion Sdn Bhd.

Pelarian Nebula menarik tontonan penonton menghayati kisah watak Jai, seorang anggota polis yang hebat planet Nebula. Dia adalah seorang yang jujur lagi cekal. Oleh kerana sifat-sifatnya ini maka suatu hari dia telah dianiayai oleh rakan sekerjanya menyebabkan dia ditangkap dan dipenjarakan.

Kerana ingin membersihkan namanya Jai suatu hari telah melarikan diri dari penjara. Pihak berkuasa lantas mengarahkan Koja, ketua polis rahsia Nebula untuk menjejaki Jai. Koja merupakan seorang anggota polis yang cekap lagi taat setia dan belum pernah gagal di dalam tugasannya.

Pada masa yang sama, Duka, rakan Jai yang menganiayanya, telah mengupah seorang pemburu upahan dari Planet Dre yang bergelar Bota untuk menangkap Jai. Bota adalah seorang pemburu upahan yang terkenal dengan kecekapan serta kezalimannya. Bota sanggup berbuat apa-apa sahaja demi wang.

Maka berlakulah adegan kejar-mengejar di angkasa lepas yang membawa mereka ke tempat-tempat yang belum pernah diterokai dengan masing-masing bertekad untuk menjayakan misi masing-masing.

Di dalam persengketaan tiga penjuru yang menyaksikan masing-masing mempunyai kekuatan serta kelebihan masing-masing, Jai beberapa kali telah hampir ditangkap samada oleh Koja mahupun Bota, cuma nasib menyebelahinya apabila dia terlepas ataupun dilepaskan oleh orang-orang yang ditemunya yang terpanggil untuk membantunya kerana percayakan dirinya tidak bersalah.

Suatu hari Jai telah terhempas di bumi dan pesawatnya telah rosak teruk. Ketika melarikan diri serta bersembunyi, Jai telah bertemu dengan seorang budak bernama Amir yang telah membantunya dari ditangkap. Amir juga akhirnya telah berjaya menolong Jai untuk membaiki pesawatnya dan melarikan diri dari bumi.

Jangan ketinggalan berhibur dengan siri animasi 13 episod yang mengetengahkan suara wataknya dibawakan pelakon terkenal Hairie Othman, Irwan Safary, Haslinda, Hafidz Ramly, Shafimie @ Fimie Saedon, Azlan Sani @ Lando dan Lisdawati ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Puteri Salju Lakonan Puteri Fateen, Fizzow Omar

Senarai Top 20 Peraduan Big Idea Primeworks Studio