in

Pelancaran Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara

Persatuan Tatihseni Malaysia bersama Persatuan Belia Kota Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan program “Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015” yang bermula dari 20 Mei hingga 21 September 2014. Siri Jelajah pertama akan diadakan sempena Festival Belia Putrajaya pada 22 hingga 24 Mei 2014 dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Program ini melibatkan 6 Zon (12 wilayah) mengikut format rakaman dalam penerbitan 13 episod dokumentari dan realiti televisyen pertandingan ‘battle’ Zapin berdurasi 60 minit menerusi 13 tajuk Zapin pilihan seluruh Malaysia. Program ini akan diterbitkan dalam susun atur acara mengikut format dokumentari travelog “Zapin Mania” dan kesimpulan daripada hasil kupasan ini akan dapat dilihat menerusi realiti televisyen pertandingan “Akar Kita Zapin”.

Misi dan visi penganjuran program ini adalah sebagai penambahbaikan terhadap produk pelancongan yang akan menjadi satu ”trade marks” bagi Malaysia menerusi Zapin kepada sebuah program modal insan secara komprehensif sebagai tarikan pelancong untuk datang ke Malaysia menerusi acara tahunan, bermula tahun 2014.

Acara kemuncak akan melibatkan penyertaan peserta perlawanan persahabatan daripada 4 buah negara ASEAN iaitu Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah bersempena ‘Tahun Melawat Malaysia 2014’ dan sambutan ‘Year Of Festival 2015”. Acara utamanya ialah Pertandingan Akar Kita Zapin Peringkat Negeri, Kebangsaan dan perlawanan persahabatan Nusantara yang akan dirakamkan mengikut kesesuaian siaran televisyen. Majlis penutup siri jelajah ini merupakan Konsert Diraja Akar Kita Zapin ~ Masyhur 1Malaysia yang menjadi acara kemuncak tahunan.

Pertandingan Akar Kita Zapin menawarkan hadiah lumayan kepada bakal pemenang. Peserta yang bertanding di peringkat Nusantara akan merebut hadiah Piala Perlawanan Persahabatan Nusantara. Manakala di peringkat Kebangsaan pula, peserta bertanding untuk merebut Piala Juara Kebangsaan dan wang tunai bernilai RM8,000.00. Naib Juara bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.00, dan pemenang tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai RM3,000.00.

Selain itu, turut dipertandingkan dalam pertandingan Akar Kita Zapin ini ialah Piala Ikon Terbaik beserta wang tunai RM1,500.00. Lima pemenang saguhati juga akan dipilih untuk menerima Piala Iringan, sijil serta wang tunai RM1,000.00.

Minggu ini akan menyaksikan peringkat saringan untuk memilih 4 kumpulan terbaik ke peringkat separuh akhir pertama pada bulan Jun dan separuh akhir kedua pada bulan September nanti. Pertandingan Akar Kita Zapin peringkat saringan minggu ini akan diadakan di Dewan Serbaguna Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, pada 24 Mei 2014, jam 2.00 petang.

Kepada yang ingin mengambil bahagian sebagai peserta sila hubungi talian sekretariat kami di 0162918066 atau layari akarkitazapin2014.blogspot.com. Setiap aktiviti kami dan maklumat terkini boleh diikuti di laman sesawang kami.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang memberi laluan kepada penganjuran episod pertama siri jelajah ini untuk slot saringan Akar Kita Zapin dan Dokumentari Travelog Zapin sempena dengan Festival Belia di Putrajaya.

Dalam pada itu, Kempen Inspirasi Gagasan Anak Merdeka sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang akan turut mengisi slot Siri Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara ini di seluruh negara. Acara yang dipertandingkan mensasarkan golongan kanak-kanak, khususnya pelajar iaitu Pertandingan Mewarna, Deklamasi Sajak, Pidato Kanak-kanak dan Menulis Esei.

Program ini menerima kerjasama baik daripada pelbagai pihak, yang menjadi penaja dan juga rakan strategik program. Antaranya, AEON Co. (M) Bhd telah bersetuju untuk menjadikan AEON Mall sebagai lokasi rasmi pelancaran pertandingan dan promotour peringkat Zon di seluruh Malaysia. Lokasi rasmi ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan bagi memperkenalkan Zapin dalam pelbagai aspek. Karnival usahawan turut dibuka di AEON Mall kepada usahawan belia yang berminat untuk mengambil bahagian dalam 3 hari acara jelajah di Zon mengikut jadual.

Turut memberi sokongan ialah Shaftsbury Square Cyberjaya, Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (PE-ZAPIN), Persatuan Melayu Bugis Selangor, PakNgah Production, Empire Scram Club, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) , Perbadanan Labuan, Sarawak Cultural Village, Prestige Media Sdn Bhd, Puspanita KBS, Kopstar.FM, MACP, Persatuan Penggiat Pidato, Biasderu Studio, Penerangan Wanita UMNO Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Lancar Galaxy S5 Warna Gold & Electric Blue

Akhdan Tampil Dengan Album Ketuhanan