in ,

Pelancaran Inspirasi Lebaran Tv3 & Riang Ria Raya TV9

KEMERIAHAN AIDILFITRI MENERUSI INSPIRASI LEBARAN TV3 & RIANG RIA RAYA

Pada 8 September lalu, tepat jam 12 tengahari, Budiey ada pergi ke 1Utama untuk melihat secara LIVE Pelancaran Program Raya TV3 dan TV9. Pergh~ Ramai betul pelakon drama yang hadir. Pendek kata, tak menang tangan la nak ambik gambar sorang-sorang. Bukan setakat tu aje, personaliti TV3 dan peserta Gadis Melayu pun ada. Memang meriah, beb~!

Kira-kira dekat 50 orang personaliti yang sudi hadir walaupun puasa. Dah la kat luar panas terik. Memang diorang tak serik… nak juga berposing sakan. Tapi yang penting, semua memang ceria dan berpakaian tema raya sakan. Tengok lah baju masing-masing, memang menghelip-ngelip~ Glamor~!

Kalau ada pembaca yang perasan, slot Wanita Hari Ini yang diacarakan oleh Norish Karman dan Azizah Ariffin pada hari itu diadakan serentak. Tajuk perbincangan pada hari itu ialah KEMAAFAN. Kira ada 2 agenda dalam satu masa. Lepas aje WHI bersiaran, terus je berlangsung pelancaran.

Hos WHI bersama dengan dua tetamu undangan. Kemaafan~ sempena Aidilfitri~

NK dan Azizah memang pakar jadi hos. Sebenarnya tak berapa nak dengar diorang ni cakap apa sebab gema kat ruang legar Centre Court New Wings 1Utama ni memang kuat sangat.

Tu dia orang kuat TV3 dan TV9, Datuk Farid dan Encik Bukhari pun terjun padang untuk merasmikan program raya di stesen masing-masing.

Budiey suka tengok dekorasi di Centre Court 1Utama ni… real macam kampung Nelayan pada hari raya. Tak caya, korang pergi tengok sendiri. Siap ada titian dan perahu sekali. Pelita pun ada diorang letak… memang sure real punya.

Dua orang personaliti TV3 terkenal, Sasha Bashir dan Nor Azlina Redzuan- pengacara Majalah 3.

Kira dah nak hampir sebulan kita berpuasa, dah pasti ramai yang sedang menyusun pelbagai agenda bersama sanak saudara dan sahabat handai untuk pulang berhari raya di kampung di samping sibuk menyediakan persiapan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Geng Gadis Melayu… semua cun-cun… dan banyak kisah kontroversi mereka dibocori di internet. Kesian…

ady putra

Ady Putra pun ada. Jangan lupa tonton drama Salam Terakhir lakonan Adi Putra pada malam menjelang Raya, 9.30malam.

Mmmm… Ako Mustapha pun ada.

TV3 & TV9 tidak terkecuali dengan kesibukan ini dengan mengatur pelbagai acara istimewa dan program Aidilfitri yang menarik sempena menyambut kemeriahan lebaran untuk diraikan bersama penonton. Bertemakan ‘Inspirasi Lebaran TV3 & Riang Ria Raya TV9’, stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad ini tidak pernah menghampakan penonton setiap kali menjelangnya  musim perayaan.

Sejurus selepas pelancaran, Datuk Farid memukul gendang sebagai gimik pelancaran~

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Tagline Inspirasi Lebaran TV3 dipilih bersempena dengan ulang tahun TV3 yang ke-25 di mana kami menggunakan tagline ‘Inspirasi Hidupku’ sepanjang sambutan Jubli Perak ini. Penonton memberikan inspirasi kepada TV3 untuk program-program Aidilfitri yang disusun dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi menyambut kedatangan lebaran seperti pemberian duit raya kepada anak yatim, pengagihan sampul raya kepada orang ramai dan pemberian sumbangan dan baju raya kepada golongan sasar yang memerlukan.

“Setiap tahun kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan, jadi sudah menjadi amalan TV3 untuk sentiasa merencanakan pelbagai agenda untuk diraikan bersama bagi memastikan sambutan Aidilfitri menjadi lebih meriah dan bermakna. Sepanjang Ramadan, TV3 menganjurkan “Majlis Berbuka Puasa” bersama anak-anak yatim di beberapa negeri seperti Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor dengan menghulurkan sumbangan duit raya kepada mereka. Istimewa lagi tahun ini, krew kami melawat penduduk di Acheh dengan menghulurkan sumbangan duit raya dari Tabung TV3 dan juga baju raya kepada anak yatim dan fikir miskin di sana.

“Pastikan TV3 menjadi pilihan sepanjang Syawal kerana kami menyediakan program-program muzikal, hiburan, dokumentari dan drama istimewa menarik seperti Akustika Raya, Mentor Raya 3, Kasih Siti, Raya di Tanah Tinggi, Raya Terapung, Rumah Kecil Tiang Seribu, Landasan Raya dan lain-lain lagi. TV3 turut menayangkan filem-filem unggul, Movie Blockbuster seperti Jangan Tegur, Duyung, Sifu & Tongga, Evolusi KL Drift dan banyak lagi.”

Kemeriahan sambutan Aidilfitri turut dirasai terutama kepada pemandu-pemandu yang ingin pulang menyambut Hari Raya di kampung. Untuk tahun kedua, team My TV3 berkerjasama dengan Caltex akan berada di perhentian tol sekitar Lembah Klang selama empat hari berturut-turut untuk mengagihkan 20,000 goodie bag yang mengandungi ‘Angpau Raya’, kurma serta barangan Caltex kepada pengguna lebuhraya yang melalui tol tersebut.

Setiap yang hadir diberikan cenderamata berbekas kaca ini sebagai tanda kenangan. Kat dalam tu ada dodol dan kuih bahulu. Best~

Antara perhentian tol yang terlibat termasuklah Plaza Tol Jalan Duta (12 Sept) dan Plaza Tol Sungei Besi (13 Sept), Plaza Tol Damansara (14 Sept) dan Plaza Tol Gombak (15 Sept). Pastikan pengguna lebuhraya tidakl ketinggalan mendapatkan barangan istimewa ini dengan melalui plaza tol terpilih ketika waktu pengedaran iaitu dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang. Selain dari krew MyTV3 yang bertugas, seramai 20 ahli MyTV3 akan turut serta membantu mengagihkan barangan tersebut.

Sementara itu, TV9 juga tidak ketinggalan untuk menghiburkan penonton setianya sepanjang bulan Syawal ini. Bulan Syawal bulan kemeriahan ini perlu disambut oleh semua golongan masyarakat tidak mengira pangkat dan darjat bersesuaian dengan tagline Riang Ria Raya TV9.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9 Encik Bukhari Che Muda, “Kedatangan bulan Syawal ini perlulah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana meraikan kemenangan kita berperang dengan nafsu kita di bulan Ramadhan. Namun begitu, di dalam menyambut Syawal dengan penuh keriangan, kita juga seharusnya tidak lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik yang tidak dapat menyambut Syawal pada kali ini semeriah kita.”

“Ini dapat dilihat menerusi program-program terbitan kami sepanjang bulan Syawal ini seperti program Ketupat Rendang Kopi O yang akan meraikan ibu-ibu tunggal sekitar Kuala Lumpur dan memberi duit raya kepada anak-anak yatim dan banyak lagi program-program yang telah disusun. Selain daripada itu juga, TV9 dengan kerjasama LG telah menyediakan 15 buah bas bagi 15 lokasi untuk kemudahan orang ramai terutamanya penonton setia TV9 untuk balik ke kampung mereka seperti Sungai Petani, Alor Setar, Georgetown, Butterworth, Kangar, Ipoh, Taiping, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Bandar Hilir, Seremban, Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.”

Sambil bergembira di samping orang tersayang dan menikmati juadah raya, jangan ketinggalan untuk menghiburkan dengan sajian-sajian menarik khusus untuk penonton-penonton setia TV3 & TV9 sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telemovie dan program-program hiburan dan jenaka. Program-program yang bakal dipertontonkan ini memberikan inspirasi kepada penonton dengan mesej positif yang disampaikan dan sesuai untuk hiburan seisi keluarga.

Lupa nak cakap, korang jangan lupa tonton Perang Rendang Lagi di TV9. Budiey pun ikut sama menyibuk kat dalam program ni bersama dengan Cat Farish dalam satu grup. Saksikannya di TV9 pada hari raya kedua, 6.30 petang.~

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Lisa Surihani di Majlis Berbuka ASTRO

Jawapan Trivia: Awal Ashaari Dah Ada Kekasih