in

Pelancaran Buku Nyala Api Dalam Dada

Semalam telah berlangsung Majlis Pelancaran Buku Nyala Api Dalam Dada dan Malam Baca Puisi Semarak Bahasa sempena Kembara Bahasa 2014 di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Buku Antologi Puisi Nyala Api Dalam Dada yang merupakan terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ini akan disempurnakan pelancarannya oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku.

Antologi puisi Nyala Api Dalam Dada hasil selenggaraan Sasterawan Negara (SN) Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA ini menghimpunkan 110 puisi daripada 81 penyair tanah air.

Kesemua karya yang dimuatkan dalam antologi puisi ini memfokuskan perjuangan sasterawan tanah air dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain memuatkan puisi karya kedua-dua penyelenggara buku ini, antologi puisi Nyala Api Dalam Dada ini turut memuatkan karya nukilan penyair mapan lain, antaranya, SN Dato’ A. Samad Said, SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, Dr. Lim Swee Tin, Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, Sutung Umar RS, Dr. Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari. Buku ini disasarkan menjadi satu dokumentasi kreatif sebagai rujukan pencinta bahasa masa kini dan generasi akan datang.

Dalam majlis sama, tetamu turut dihiburkan dengan deklamasi puisi oleh penyair dan penulis jemputan melalui acara Malam Baca Puisi Semarak Bahasa yang diadakan sempena program Kembara Bahasa 2014 – merupakan satu antara pengisian sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang Oktober ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Janji Al-Manna – Petikan ZASS Sinar Harian

Primeworks Studios Lancar Katalog Asian Stories for the World