in ,

Pelakon Riezman Khuzaimi Bercerai Dengan Kartina Ayob

Tepat pukul 3 petang hari ini, pelakon dan pengarah Riezman Khuzaimi menceraikan isterinya, Kartina Ayob dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Riezman, 45, atau nama penuhnya, Mohd. Riezman Mohd. Khuzaimi tidak dapat menahan sebak dan dilihat mengalirkan air mata ketika melafazkan cerai namun Kartina, 46, yang berpakaian serba hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Riezman selaku plaintif mengucapkan lafaz tersebut selepas Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin berpuas hati bahawa sudah tiada persefahaman antara pasangan tersebut dan masih gagal mempertahankan rumah tangga mereka walaupun sudah cuba berbincang.

Riezman Khuzaimi Bercerai

Riezman Khuzaimi dan Kartina Ayob ketika keluar dari bilik mahkamah selepas bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Roy Azis Abd Aziz

Pasangan yang dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Afiq Kiraman, 12, dan Ruzain Nars, 6, sepanjang perkahwinan hampir 15 tahun sejak mereka bernikah pada Februari 2001, juga mengakui masih tinggal serumah namun membuat keputusan untuk bercerai tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa.

Terdahulu, pasangan yang pernah menyertai program realiti hiburan ‘Sehati Berdansa’ itu kelihatan sayu ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk bersalaman dan memohon maaf antara satu sama lain.

Shaiful Azli selepas berpuas hati dengan talak raj’i (cerai yang boleh dirujuk) yang dilafazkan Riezman kemudian memerintahkan agar Kartina menjalani tempoh idah selama tiga bulan bermula hari ini dan sijil nikah asal pasangan itu dibatalkan.

Beliau turut mengarahkan agar perceraian itu didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur.

Sementara itu, pelakon yang terkenal dalam kalangan peminat drama bersiri itu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kelihatan cuba untuk menahan rasa sebak dan tidak mampu memberikan sebarang kenyataan.

“Saya minta maaf. Kalau ada apa-apa call je. Sekarang saya tak boleh nak kata apa-apa,” ujar Riezman.

Pasangan itu kemudian dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah bersama-sama dengan menaiki kereta pada pukul 3.20 petang. Sumber: Utusan Malaysia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Live Nominee Announcement of The 87th Annual Academy Awards

Hafiz Suip Bakal Bertunang Pada 27 Februari Ini