in

Pelakon & Model Aleeza Kassim Bercerai Punca Dirahsiakan

Dalam Portal Murai semalam telah mendedahkan tentang berita perceraian pelakon Aleeza Kassim dan suaminya dengan talak satu. Punca perceraian masih belum dipastikan kerana Aleeza merahsiakan daripada media. Yang pastinya, bukan kerana orang ke-3.

Peminat baru sahaja digemparkan dengan perpisahan pasangan selebriti suami isteri Ash dan Dira tetapi hari ini ini pelakon dan peragawati terkenal, Aleeza Kassim, 39, turut dilaporkan sudah bercerai oleh suaminya Mohd Fauzi Che Ros dengan talak satu.

Walaupun hanya mampu mempertahankan rumahtangganya selama hampir empat tahun bersama usahawan dan ahli perniagaan berusia 45 tahun itu, namun model dan pelakon jelita ini mengambil keputusan untuk merahsiakan punca perpisahan mereka.

Sungguhpun begitu, dalam laporan media tempatan yang dibuat pada hari ini, Aleeza ada menyebut bahawa punca keruntuhan rumah tangga mereka bukanlah disebabkan oleh kehadiran orang ketiga.

Dia juga redha dengan dugaan yang menimpa dirinya dan mengharapkan bahawa ada hikmah dan keajaiban akan berlaku di sebalik kes penceraiannya itu.

“Suami menceraikan saya pada Februari lalu atas masalah yang berpunca daripada kami berdua. Namun, biarlah masalah itu menjadi rahsia kami.

“Tertekan juga sepanjang beberapa bulan ini kerana ada saja teman akrab yang bertanya. Mungkin mereka sudah dapat menghidu. Bukan saya ingin mengelak atau menipu sebaliknya perkara seperti ini masih baru bagi saya. Sesekali saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk bertindak atas perkara yang berlaku.

“Namun, hubungan antara saya dan bekas suami masih baik dan kami dalam proses memperbaiki perkahwinan kami. Saya masih sayangkan perkahwinan ini dan ingin menyelamatkan rumah tangga kami. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana segala-galanya masih dalam proses penyelesaian,” katanya.

Menurut peragawati yang juga pemilik Akademi Peragaan Aleeza Kassim itu juga, dia diceraikan oleh suaminya di rumah mereka, di Hyatt Saujana, Subang Jaya pada Februari lalu. Kini dia masih menanti keputusan mahkamah pada 21 April ini bagi mendengar keputusan tersebut.

Aleeza diijabkabulkan dengan Fauzi yang berstatus duda beranak dua itu pada 16 Julai 2006 di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, sebelum diraikan pada majlis resepsi sebulan kemudian di Hotel Palace of Golden Horses.

Aleeza kini sedang popular menerusi drama bersiri arahan Rashid Sibir berjudul, ‘Kasih Tercipta’ bersama pelakon popular, Nasha Aziz dan Erra Fazira.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MRCA 8TV to collaborate 2nd year for Entrepreneur Awards

Revolusi Petua & Teknik Sunsilk Bersama Pakar Rambut Dunia