in

Pelakon Drama Wulan Dhini, Giovani Ketepikan Perbezaan Atas Nama Seni

Dhini, Giovani ketepikan perbezaan atas nama seni.

DUA susuk berlainan karakter namun atas nama seni perbezaan diketepikan, sebaliknya dua nama yang sedang meniti populariti di layar kaca ini berusaha mencipta keserasian untuk memastikan lakonan mereka membangkitkan kesan kepada audiens.

Pertama kali digandingkan untuk drama bersiri 146 episod, Wulan yang kini ditayangkan untuk slot Arca di RTM1 nyata perselisihan tidak dapat dielakkan oleh dua pemain utamanya, Dhini Aminarti dan Giovani L Tobing. 

Dhini yang ketika itu masih melanjutkan pengajian mengakui dia agak bengang apabila Giovani atau akrab disapa Gio, sukar menepati waktu. Lantaran terpaksa menunggu lama di lokasi, membuatkan gadis berusia 25 tahun itu berang kerana masa berharganya terbuang begitu saja.

“Saya masih kuliah ketika itu, sebolehnya mahu penggambaran selesai awal kerana esok paginya saya harus bangun pagi untuk ke kolej. Tetapi Gio tidak pernah menepati masa. Ada masanya kami terpaksa menunggu berjam-jam lama sebelum dia muncul di set.

“Siapa yang tidak marah jika masa terbuang hanya kerana menanti?” kata Dhini, gadis kelahiran Jakarta yang sudah membintangi 15 sinetron dan sebuah filem itu.

Hanya tertawa mendengar pendedahan itu, Gio yang diterbangkan bersama Dhini untuk promosi drama bersiri itu di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, akur kelemahan yang dimilikinya.

Bukan sengaja tidak mahu menepati waktu tetapi pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia mengalami masalah untuk bangun pagi.

“Jika penggambaran dilakukan waktu petang, saya tiada masalah menepati waktu. Tetapi jika harus dimulakan awal pagi, memangnya sulit untuk saya datang tepat pada waktunya,” katanya berterus terang.

Meskipun sering kelewatan, akui pemuda berbintang Pisces ini suasana itu tidak pernah membangkitkan kegawatan di lokasi.

Disebabkan tidak mahu dihambat dengan masalah, Gio akan ke lokasi bersama persediaan lengkap.

“Apa yang saya lakukan setiap kali tiba di lokasi saya sudah sedia sepenuhnya. Biasanya jika sudah membuat persiapan rapi, tidak akan timbul masalah besar.

“Lagipun lelaki tidak memerlukan masa yang lama untuk disolek. Saya kurang gemar menanti di lokasi, terutama menunggu pelakon wanita selesai disolek. Lama….,” katanya yang melonjak selepas membintangi sinetron Liontin berpasangan dengan Nasyilla Mirdad.

Di balik kekalutan itu, masih ada garis persefahaman antara mereka berdua terutama dalam menghidupkan watak Wulan dan Budi yang menjadi teraju kepada produksi berkenaan. Mereka kerap berbincang, malah ketika sesi bacaan skrip lagi mereka berdua sudah merangka bagaimana mahu mencorakkan lakonan.

“Disebabkan banyak berbincang, membuatkan kami tiada masalah ketika penggambaran. Mungkin kerana itu keserasian antara mereka jelas biarpun Wulan menjadi sinetron pertama yang menyatukan kami sebagai teraju utama,” katanya.

Akui Dhini, penerbitan sinetron yang kompetitif membuatkan mereka terpaksa melipat gandakan usaha memberikan yang terbaik kepada penonton.

Saingan hebat sinetron pelbagai genre memberikan mereka sedikit tekanan, apatah lagi jika jumlah tontonan mengalami kemerosotan kebarangkalian produksi dihentikan sangat tinggi.

“Suasana itu sememangnya memberikan tekanan. Kerjasama berpasukan yang kukuh sangat penting kerana jika tidak kualiti yang diinginkan tidak mungkin tercapai.

“Suasana itu sememangnya memberikan tekanan. Kerjasama berpasukan yang kukuh sangat penting kerana jika tidak kualiti yang diinginkan tidak mungkin tercapai.

“Semuanya harus pantas belajar dan memberikan yang terbaik jika mahu diterima serta diakui penggemar,” kata Dhini.

Hasil sentuhan pengarah Nato Bagaskaro ini membuahkan pengiktirafan lumayan apabila Wulan yang disiarkan RCTI muncul di tangga kesembilan rancangan paling popular di Indonesia.

“Mungkin kerana semua bekerja seperti sebuah keluarga besar, justeru kami tidak bosan sekali pun penggambarannya berjalan berbulan-bulan.

“Setiap kali di lokasi, kami sentiasa teruja dengan babak yang akan dilakonkan dan ia seterusnya memberikan semangat untuk mempamerkan persembahan lebih baik,” katanya.

SINOPSIS: Wulan

BERKISARKAN mengenai seorang wanita, Wulan yang ditinggalkan kekasihnya, Budi yang dikenali selama sembilan tahun. Bagaimanapun, Budi menikahi wanita lain dan menyebabkan Wulan sendiri. Pada masa sama, Awan cuba mendekati Wulan namun terpaksa berdepan pelbagai halangan. Banyak konflik berlaku rentetan kesilapan Wulan yang terlalu mempercayai Budi. Drama bersiri Wulan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.30 malam di RTM1.

PROFIL:

Dhini Aminarti
Nama Panggilan: Dhini
Tempat Lahir: Jakarta
Tarikh Lahir: 29 Mei 1983
Sinetron: Siapa Takut Jatuh Cinta, Cewek Macan, Bule Masuk Kampung 3, Si Cecep, Roda-Roda Cinta, Maha Kasih 2, Maha Cinta, Cahaya, Rahasia Hati Lelaki dan Mendadak Cinta
Filem: Dunia Lain
Iklan: Sari Ayu dan Konica
Giovani L Tobing
Nama Asal: Giovanni Yosafat Tobing
Tempat Lahir: Jakarta
Tarikh Lahir: 23 April 1984
Sinetron: Kisah Cinta Hantu Cilik, Adam dan Hawa, Djail, Liontin 1 dan 2, Cerita Si Angel, Aku Bukan Untukmu, Kasih, Mendadak Cinta dan Miss Perfect dan Si Kucel

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H/2008

RTM EDAR SAGUHATI DI STESEN KL SENTRAL & HENTIAN DUTA