in

Pekin Lancar Buku MEMOIR BUKAN MEMOIR

Syarikat penerbitan Merpati Jingga akan melancarkan dua buah buku; MEMOIR BUKAN MEMOIR oleh Pekin Ibrahim dan LIMELIGHT oleh Faizal Hussein. Kedua-duanya merupakan biografi penulis mengenai pengalamannya sebagai artis.

Majlis pelancaran akan berlangsung pada 23 Jun 2012 (Sabtu) di Galeri Annexe, Pasar Seni, Jalan Hang Kasturi, KUALA LUMPUR

Bacaan sisipan buku oleh Hashim Rejab (pengarah filem), Khir Rahman (pengarah filem, pelakon), Wan Azli Wan Jusoh (pengarah filem/teater, penggiat seni), Danny X-Factor (pelakon, penyanyi), Dilla Hussein (penyanyi, penulis skrip), Ayang (pelakon).

Zahiril Adzim akan mendeklamasi puisi tulisan Pekin Ibrahim berjudul ‘Sudah Hilang’.

Kata Penerbit

Aku kenal pertama kali insan bernama Pekin Ibrahim ini ketika menghadiri pra-pengenalan kepada filem Bunohan yang diadakan pada 8 Mac 2011 di Annexe Pasar Seni.

Aku tanya Amerul (Affendi),” siapa dia yang bertongkat tu?”

“Pelakon utama filem ini. Dia banyak berlakon drama “, jawab Amerul.

Aku akui tidak banyak menonton drama tv. Pelakon-pelakon sekarang pun macam cendawan tumbuh selepas hujan.

Selepas diminta Apparat Film (syarikat yang menerbitkan Bunohan) untuk aku menyertai pasukan publisiti berani mati yang tidak mempunyai peruntukan, aku mula mengenal Pekin.

Rupa-rupanya Pekin sudah mengenali aku melalui penulisan-penulisan aku sebelum ini dan melalui kawan-kawannya.

Dengan rendah diri, dia mendekati aku dan memberikan hasrat hatinya untuk menerbitkan buku perjalanan hidupnya.

Tidak semudah itu untuk aku menerima sesebuah manuskrip. Aku mula ‘bertanya cik google’ juga teman-teman lain.

Ya, Pekin seorang artis yang mempuyai visi. Dia tahu menghargai seni. Tidak mempunyai pendidikan tinggi tetapi cekal dalam mengejar cita-citanya.

Kisah benar Pekin, sungguhpun tidak segah diari seorang pejuang….dia melalui perjalanan tidak ringkas, tidak sukar. Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak
Kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Allah melipat gandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-
apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-R’ad;11)

Inilah yang menjadikannya lebih matang. Dengan sendirinya, Pekin mula menginsafi hidupnya. Perjalanannya yang singkat menguatkan dirinya untuk mengucup tangan, meminta maaf kepada ibunya. Dia akui tidak pernah lakukan itu (mengucup tangan ibu) seunur hidupnya.

Aku juga tidak mahu menunggu Hari Ibu untuk ku katakan, “aku sayang Ibu”. Semoga arwah mak aman di atas sana….al-Fatihah
Faisal Mustaffa

MENYANJUNG DAN MEMANCUNG

Hasrat artis bernama Faizal Hussein yang datang kepada aku menyatakan hasratnya untuk membukukan pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang seni aku anggap sebagai satu penghormatan.

“Dah 40 tahun?” tanya aku.

“Yelah, aku mula berlakon umur lima tahun”, terang Faizal ketika kami pulang dari urusan promosi filem BUNOHAN di salah satu karnival. Filem pertama lakonan beliau ialah Darah Panglima arahan S. Kadarisman dan Penyamun Si Bongkok (M. Amin).

Bermula dikenali dengan watak remaja nakal, Faizal membuktikan bahawa beliau boleh berlakon pelbagai watak. Kanta Serigala (arahan bapanya, Hussein Abu Hassan) membuka mata banyak pihak bahawasanya Faizal boleh menjayakan watak antagonis dengan berkesan.

Secara jujur, aku amat teruja dengan keakraban seluruh keluarga mempertahankan maruah keluarga dalam bidang seni yang amat mencabar ini. Sebagai sebuah keluarga seni yang sering menjadi tumpuan ramai, ada yang menyanjung dan tidak kurang pula memancung.

Sebagai anak lelaki tunggal di dalam keluarga, Faizal bertanggungjawab untuk menghantar dan menjemput kakak-kakaknya, Dilla Hussein dan Fairuz Hussein pergi dan pulang bernyanyi setiap malam. Ini semua mengelak daripada sebarang perkara buruk atau pun menjadi buahan mulut jahat orang.

Perjuangan Faizal dalam menaikkan martabat artis melalui royalti di dalam SENIMAN tenggelam akibat kerakusan pihak-pihak yang lebih berminat untuk mendapatkan dana produksi dan mengejar projek ciput. Rasuah berleluasa. Akhirnya, Faizal meninggalkan sahaja persatuan itu dan berjuang sendiri.

Aku juga nampak Faizal Hussein ini bukan seorang artis yang mengejar glamour di majalah atau pun jenis yang ‘mengipas punggung penerbit’. Tidak dinafikan publisiti menjadi aset dalam karier. Tetapi, Faizal lebih mementingkan profesionalisme.

Prinsip ‘one take for every shot’ menjadi pegangannya. “Bila pengarah berpuas hati, tidak perlu menghabiskan masa. Pengarah boleh menumpukan dengan tugas-tugas lain dalam sesebuah produksi itu.”

Apa yang menarik juga LIMELIGHT memaparkan bukan sahaja cara Faizal melihat industri filem tanahair tetapi juga sebagai anak lelaki kepada Biduan Hussein Abu Hassan dan Seniwati Mahyon Ismail (semoga Allah meletakkan mereka bersama orang-orang yang beriman….amin), beliau berkongsi amanat-amanat yang dipegang ibubapanya.

Terima kasih ingin aku ucapkan kepada tenaga-tenaga lain yang turut mahu buku ini direalisasikan khususnya kepada Sultanmuzaffar,Hariry Jalil, Azizan Hamsin, Adinda Atie serta tidak ketinggalan Dilla Hussein.

Faisal Mustaffa
5:32am, 7 Jun 2012

Print

Print

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rizal AF5 Rahsiakan Pertunangan & Bakal Nikah Tahun Depan

Official Trailer Filem Juvana The Movie