in ,

Nubhan Nikah Dengan Bakal Doktor Gigi Ogos Depan

Penyanyi Nubhan mengesahkan akan menamatkan zaman bujangnya pada 29 Ogos depan bersama bakal doktor gigi, Afifah Hidayah Taufek, 26, dalam satu majlis di kediaman wanita itu di Seremban.

Nubhan, 29, berkata, majlis pernikahan tersebut akan diadakan secara sederhana dengan dihadiri keluarga terdekat, rakan-rakan termasuk pihak media.

Majlis akad nikah akan diadakan selepas Zuhur, manakala majlis resepsi pihak perempuan diadakan pada keesokan harinya iaitu 30 Ogos dan pihak lelaki pada 31 Ogos di sebuah dewan di Kuala Pilah.

“Alhamdulillah, selepas lebih 10 bulan mengikat tali pertunangan kami memilih untuk disatukan pada tarikh 29 Ogos iaitu pada hari Sabtu di Seremban. Setakat ini tetamu dianggarkan 2,000 orang termasuk keluarga, rakan-rakan terdekat, pihak media dan kenalan yang mengenali saya,” ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.

Nubhan berkata, persiapan perkahwinannya sudah 80 peratus siap dan dilakukannya secara sendiri tanpa menggunakan khidmat perunding perkahwinan.

Dia juga menerima beberapa penaja yang mahu menaja perkahwinannya secara ikhlas dan mudah untuk berurusan.

“Saya dan keluarga buat sendiri perkahwinan ini, memang pada asalnya kami ambil perunding perkahwinan tetapi banyak sangat hal, jadi saya buat sendiri sahaja. Penaja pun banyak yang saya terpaksa tolak kerana susah nak berurusan, saya tidak kisah sangat siapa yang ingin menaja perkahwinan saya tetapi biarlah orang itu ikhlas dan tidak banyak masalah. Saya akui ada penaja yang nama-nama besar dalam industri ingin taja tetapi susah betul untuk berurusan dengan mereka, jadi saya batalkan dan bagi sahaja pada orang yang tidak ada nama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nubhan berkata, dia akan memberi wang hantaran sebanyak RM20,000 kepada pihak perempuan, dengan lima dulang hantaran.

Nubhan mengikat tali pertunangan dengan Afifah Hidayah dalam satu majlis di kediaman wanita itu pada 7 Oktober 2014.

Sumber: Mstar Online

Nubhan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Joe Flizzow Lancar Produk Pakaian di Good Fellas

Anuar Zain & Ella Bakal Perform di Konsert Raya Oasis Piazza