in ,

Nabil dan Fizz Fairuz Dalam Drama Sonata Labu Labi

SONATA LABU LABI DI ASTRO WARNA
Kesinambungan kisah Labu dan Labi kini diteruskan dalam bentuk drama bersiri!

Istimewa Oktober ini, Astro WARNA dengan bangganya membawakan sebuah lagi drama bersiri menarik dengan pengisian yang segar dan terkini khusus untuk santapan para pelanggan Astro yang berjudul Sonata Labu Labi.


 
Drama Sonata Labu Labi ini dijayakan oleh barisan pelakon handalan dan popular tanah air seperti Juara Raja Lawak Musim 2, Nabil yang membawa watak Labu, pelakon dan pengacara yang berbakat besar, Fizz Fairuz sebagai Labi, pelakon dan pengacara terkenal, Emelda Rosmila sebagai Manisah dan juga pelakon yang cukup terkenal dengan kebolehannya untuk meniru suara para pelakon veteran di era P. Ramlee, S. Azly sebagai Tuan Bakhil. Drama hebat ini akan bersiaran menerusi Astro WARNA di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Isnin bermula 5 Oktober 2009, jam 9.00 malam.

Drama komedi ringan 26 episod yang pasti mengundang tawa ini ini diarahkan oleh pelakon, penulis skrip, penggiat teater dan artis serba boleh yang cukup sinonim dengan watak Sultan Mahmud dalam persembahan Teater Puteri Gunung Ledang dan pernah muncul di layar perak menerusi pelbagai drama dan filem termasuklah Gubra, Bilut, Los & Faun iaitu Adlin Aman Ramlie.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd, Encik Zainir Aminullah berkata,” Astro WARNA tidak mahu ketinggalan dalam menawarkan program-program menarik yang dapat membekaskan kesan di hati para penonton.  Sebagai saluran komedi pertama di Malaysia, kami sentiasa memastikan hanya
kandungan-kandungan komedi bermutu tinggi dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga sahaja disiarkan.

Berikutan kejayaan dan maklum balas positif yang diterima selepas penayangan telemovie Sonata Labu Labi dalam  Kempen Tribut Khas Inspirasi P Ramlee di Astro PRIMA pada tahun lalu, kami teruskan kesinambungan kisah mereka ini ke dalam bentuk drama bersiri pula.

Kami percaya sentuhan magis dan kreativiti Adlin mampu membuat para penonton mengingati watak Labu dan Labi ’moden’ ini apabila mula ditayangkan kelak dengan kerenah mereka yang pelbagai.”

Drama Sonata Labu Labi ini mengisahkan suka-duka dua orang pekerja kedai perabut, Labu lakonan Nabil dan Labi lakonan Fizz Fairuz yang sering berangan-angan untuk mengubah nasib mereka agar lebih mewah dan cemerlang. Sikap suka berangan Labu dan Labi telah menjejaskan banyak hal ehwal tugasan mereka. Selain kuat berborak dan selalu bangun lewat, Labu dan Labi sering juga curi tulang untuk menonton wayang di dalam waktu bekerja kerana boleh dikatakan mereka berdua terpaksa bekerja hampir sepanjang masa di premis perniagaan tauke bernama Tuan Bakhil Bin Kedekut lakonan S. Azly yang memang bakhil dan kedekut.

Siang, Labu dan Labi akan bekerja sebagai Pekerja Am, dan di waktu malam mereka akan menjadi pengawal Keselamatan di premis itu bagi memenuhi syarat menumpang tinggal di bilik bujang di belakang premis tersebut. Meskipun hidup mereka berdua agak sukar dan payah berkembang disebabkan oleh sikap peras Tuan Bakhil, Labu dan Labi masih terus setia bekerja di sana kerana kedua mereka rupa-rupanya turut menyimpan niat untuk memenangi hati Manisah lakonan Emelda Rosmila, anak gadis Tuan Bakhil. Itulah motivasi paling kuat untuk mereka terus menahan maki hamun Tuan Bakhil yang ada penyakit cepat naik angin setelah menduda kematian isterinya sejak lima tahun lalu.

Manisah pula lain ceritanya. Beliau sebenarnya tidak berminat untuk membantu menguruskan hal-ehwal perniagaan perabut bapanya itu kerana beliau mempunyai minat yang cukup mendalam dalam bidang peragaan dan lakonan. Manisah sering menipu bapanya untuk mengejar cita-cita sebagai peragawati dan pelakon sambilan. Penipuan Manisah akhirnya diketahui oleh Labu dan Labi, lantas menjadikan mereka bertiga sebagai ‘teman sepenipuan’ di sisi Tuan Bakhil.

Ketika Labu, Labi dan Manisah sedar dan lena dalam mimpi-mimpi mereka, Tuan Bakhil dalam masa yang sama terus bermimpikan arwah isterinya. Namun lama kelamaan, mimpi Tuan Bakhil tidak lagi didatangi oleh wajah arwah isterinya, malah wajah-wajah baru yang datang dan pergi, menggoda statusnya yakni sebagai seorang duda yang tua dan kaya.

Jangan lepaskan peluang untuk mengetahui kesudahan drama hebat Sonata Labu Labi yang penuh warna-warni pada setiap hari Isnin, bermula pada 5 Oktober ini, jam 9.00 malam, hanya di Astro Warna (saluran 132) dalam pakej Mustika. Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pierre Andre Dan Zizie Ezzette Dalam Drama Cik Ah Cik Nin

Sinopsis Drama Akulah Perempuan Itu