in

Muzikfm Keluarkan Setem Khas Sempena 35 Tahun

MAJLIS PELANCARAN SETEM KELUARAN KHAS MUZIKfm SEMPENA 35 TAHUN

Tagline ’Stesen Muzik Anda…’ sememangnya sinonim dan akan dapat didengari setiap kali halwa telinga dihidangkan dengan muzik serta lagu-lagu terkini di Stesen MUZIKfm.

Berfrekuensikan 88.5 di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang selain turut didengari di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, stesen MUZIKfm yang juga tersenarai antara Stesen Radio Nasional itu kini telah menjangkau usia 35 tahun pada tanggal 20 Jun 2010.

Bersempena ulangtahunnya yang ke 35 tahun itu, demi kelainan daripada biasa MUZIKfm dengan bangganya melancarkan Setem Keluaran Khas MUZIKfm Sempena 35 Tahun sebagai kenang-kenangan buat pendengar-pendengar setia. Setem-setem ini akan diedarkan kepada pendengar-pendengar bertuah melalui aktiviti dan kuiz-kuiz yang diadakan di Stesen MUZIKfm sepanjang bulan Jun.

Setem istimewa ini disediakan dalam dua jenis yang berbeza iaitu setem dengan logo MUZIKfm dan setem peribadi wajah DJ-DJ MUZIKfm. Antara wajah-wajah DJ MUZIKfm yang tertera di setem keluaran khas itu antaranya Azura, Muaz, Aril, Hanna, Chenta, Zima dan Kroll serta Ridz, Dian, Shila, Akram, Odey, Lyn dan Eddy. DJ-DJ ini adalah antara mereka yang mengendalikan segmen-segmen seperti MUZIKfm, Kafe MUZIK, Rock Selamba, Muzik 5-9 serta segmen paling popular dari tahun 90-an lagi iaitu segmen Pilihan Bersama.

Majlis Pelancaran Setem Keluaran Khas MUZIKfm 35 tahun ini disempurnakan oleh YBhg Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah Penyiaran bertempat di Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio Angkasapuri pada 18 Mei 2010.

Menurut Unit Setem & Filatelli Pos Malaysia, MUZIKfm merupakan stesen radio pertama yang menerbitkan setem ulangtahun selain turut menempah setem-setem yang memaparkan wajah DJ-DJ stesen radio bersempena dengan sambutan ulangtahun stesen radio.

Justeru, pelancaran setem keluaran khas ini merupakan antara rekod terkini yang dicipta stesen MUZIKfm yang sebelum ini telah mencipta beberapa rekod lain yang turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records. Rekod-rekod yang pernah dicipta oleh MUZIKfm seperti bersiaran dari Menara tertinggi di Malaysia iaitu di TH06 Menara KL (2005) dan MUZIKfm bersiaran 50 jam tanpa henti di penghujung Benua Asia iaitu di Tanjung Piai, Pontian, Johor (2007).

Selain itu, pada tahun 2008 MUZIKfm juga mencipta rekod Malaysia apabila menganjurkan permainan boling 33 jam tanpa henti di pusat membeli belah terkemuka Berjaya Times Square bersempena sambutan ulangtahun MUZIKfm yang ke 33 tahun.

Majlis pelancaran ini turut meraikan pemenang-pemenang kuiz MUZIKfm pada bulan Mac yang berjaya memenangi Motosikal Naza Blitz 150 sumbangan Naza Bikes serta hadiah istimewa gitar sumbangan pemain gitar profesional Sham Kamikaze. Majlis turut dihiburkan dengan persembahan oleh Stacy dan Ali Anugerah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Celcom’s 2010 Media Nite BLUE VS THE REST Campain

Amber Chia Dilantik Duta S2 Slimming