in

Muzik Aktif RTM

MUZIK AKTIF PERKENAL PROGRAM BARU MULAI NOVEMBER 2009

Sebagai hadiah dan penghargaan kepada peminat setia salurannya, satu-satunya Saluran Muzik Aktif milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai November ini bakal menampilkan pembaharuan menerusi siaran programnya. Saluran yang membekalkan lagu-lagu dulu hingga kini melalui medium kaca TV itu, kini turut tampil dengan susunan klip-klip video lagu-lagu tradisional serta lagu-lagu rakyat yang pastinya menjadikan ia saluran kegemaran rakyat Malaysia kini dalam menikmati dunia muzik tanahair. Malah turut menyiarkan beberapa rancangan baru yang menampilkan artis solo dengan diringi kumpulan muzik turut disusun untuk tatapan penonton setia Muzik Aktif.

Dua program menarik diperkenalkan bermula November ini melibatkan Pentas Bintang dan Pentas Pesona yang berkonsepkan rancangan In Person. Kedua-dua rancangan ini akan menampilkan persembahan artis secara solo di setiap episod dengan kategori-kategori muzik berbeza antaranya genre muzik pop, dangdut, rock, jazz dan tak dilupakan genre muzik berunsur ketuhanan iaitu nasyid.

Program Pentas Bintang mengambil tempat menghiburkan anda pada setiap jam 10.00 malam di setiap hari Jumaat ini bakal diiringi secara live oleh kumpulan muzik profesional. Antara artis yang terlibat adalah Mila, Iwan, Hafiz Hamidun, Nash, Hattan, Nasir Wahab dan ramai lagi. Manakala artis-artis yang bakal muncul dalam rancangan Pentas Pesona adalah seperti Alyah, Aizat, Noryn Aziz, Fiq, Dia Fadila, Zainal Abidin dan ramai lagi. Persembahan mereka bakal bersiaran dengan susunan lagu terbaik selama satu jam di kaca TV di setiap hari Isnin jam 9.00 malam.

Menyusul Pop Mania, sebuah lagi rancangan menarik yang membawakan klip-klip video terkini pastinya dinantikan penonton. Rancangan 13 episod yang menampilkan artis dengan pelbagai genre muzik ini akan dihoskan oleh Diana Rusdi bersama artis-artis popular jemputan di setiap episod. Pop Mania bukan sahaja membawakan rakaman klip video artis-artis Melayu malah turut mengenengahkan lagu-lagu penyanyi tempatan berbangsa Cina serta India. Farah Diana, Six Senth, Ana Rafali, Gary Yap, Banu, Faradhiya adalah antara artis jemputan yang bakal tampil dalam episod-episod rancangan Pop Mania yang bakal akan ditayangkan pada setiap Khamis bermula jam 9.00 malam.

Kelainan ditampilkan Muzik Aktif menerusi susunan lagu-lagu etnik Sabah seperti Ampu-Ampu Bulan, Sumandak Kudat dan beberapa lagi lagu tradisi suku kaum di negeri Bawah Bayu pastinya merehatkan halwa telinga bagi penggemar irama etnik Sabah dengan kemunculan segmen Rentak Kita Bah… yang akan bersiaran setiap Sabtu bermula jam 4.00 petang. Segmen 30 minit ini akan diserikan dengan nyanyian dan klip klip video penyanyi-penyanyi popular yang berasal dari Sabah antaranya Felix Agus, Fauziah Gambus, Clarice John Matta, David Pinus dan ramai lagi. Pastinya keindahan negeri Sabah juga turut dapat disaksikan dalam klip-klip video yang kebanyakkannya berlokasi di sekitar negeri Sabah seperti Kuala Penyu dan Pantai Tanjung Aru di negeri yang kaya dengan pelbagai adat, budaya dan kaum etnik.

Diterukan lagi rancangan yang mengetengahkan hiburan dengan gaya etnik berjudul Kamek M’pun bakal menjadi rancangan muzik tradisi untuk pelbagai lagu-lagu tradisional dan etnik Negeri Sarawak menerusi klip-klip nyanyian artis terkini serta artis budaya Negeri Sarawak.  Kamek M’pun yang disediakan oleh Citra Ummah Network Sdn Bhd sebanyak 13 episod ini akan menampilkan klip-klip video terkini dari Anding Indrawani, Iwan Hj Dasri, Norlida Bujang, Nurul AF dan ramai lagi. Rancangan yang bakal dihoskan oleh Iwan Hj Dasri dan Azie Mustapha ini pastinya membawa Bumi Kenyalang terus ke hati anda selama setengah jam pada setiap hari Ahad jam 4.00 petang.

Walaupun beberapa rancangan baru diperkenalkan melalui saluran Muzik Aktif, rancangan lain yang masih kekal bersiaran akan terus dapat ditonton antaranya rancangan Terkenang-Kenang, Ilham Komposer, Anjung Budi, Relaks, Getaran dan beberapa lagi rancangan lain yang tentunya menghiburkan. 

Alunan lagu-lagu menarik bersama rakaman klip-klip video terkini  malah masih berjiwa 1Malaysia pastinya akan berkumandang di kaca TV anda terus di saluran Muzik Aktif yang boleh ditonton melalui saluran Astro 180. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Nora Danish Di Pertunjukkan Fesyen Arabian Nite ASK2009

Astro Menang Anugerah Berprestij Pengerusi CASBAA 2009