in

Muaz Dan Azura Personaliti Muda Radio Dan TV

Menjadi personaliti bagi stesen TV dan Radio bukanlah semudah yang disangka. Penampilan, pemakaian, adab sopan dan tutur kata semuanya perlu dijaga rapi bagi menjaga reputasi organisasi. Tambahan lagi, apabila diberi peluang menjadi personaliti bagi stesen penyiaran milik kerajaan iaitu stesen Radio Televisyen Malaysia, semua ciri-ciri berkenaan perlu ditambah agar menjadi lebih baik dimata penonton dan pendengar.

Justeru, peluang yang telah diberikan oleh RTM untuk dua orang personaliti pelapis yang kini bertugas bersama-sama di segmen MuzikPagi di saluran MUZIKfm iaitu Muaz dan Azura untuk menonjol di corong radio selain mengacarakan rancangan-rancangan hiburan di layar kaca TV, merupakan satu batu loncatan untuk mereka dikenali ramai dan berharap agar dapat menaikkan MuzikFM serta TV1 dan TV2.

Azura dan Muaz yang berganding tenaga menerusi segmen MuzikPagi di MUZIKfm setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi mula mendapat tempat di hati pendengar. Dengan celoteh yang bersahaja di samping kupasan topik isu terkini yang lebih catchy dijadikan isu perbincangan selain seleksi lagu-lagu mereka yang menghiburkan.

Segmen MuzikPagi kendalian mereka menyasarkan kelompok pendengar dari usia remaja hingga golongan bekerja selain turut menyediakan pelbagai hadiah-hadiah menarik melalui kuiz-kuiz yang di kendalikan mereka diMUZIKfm. Kombinasi kedua-dua personaliti radio ini berjaya ‘menghidupkan’ konti MUZIKfm bagi menemani pendengar setia saluran yang menampilkan tagline, Stesen Muzik Anda.

Azura Temani Pagi di MUZIKfm

Mengakui lebih selesa berpasangan di konti dengan teman penyampai yang ceria seperti Muaz, gadis kecil molek dengan nama sebenar Azura Lisa Aziz atau lebih dikenali sebagai DJ Azura. Di usia 28 tahun, beliau yang mempunyai pengalaman selama tujuh tahun sebagai penyampai radio ini juga, turut menceburkan diri dalam bidang nyanyian dan pengacaraan sebagai satu lagi bidang seni untuknya menggilap bakat selain bidang penyampaian.

Lebih menarik penyampai berasal dari Pasir Mas, Kelantan yang dilahirkan pada 13 Mac ini memegang Diploma Perakaunan yang sama sekali kaitan dengan bidang yang diceburinya sekarang. Walaupun pengajiannya amat menyimpang dari kerjaya, namun pengalamannya sebagai penyampai radio telah banyak membantu Azura di konti MUZIKfm.

Mengagumi akan bakat nyanyian Siti Nurhaliza dan Ziana Zain, tidak cukup tugasnya sebagai penyampai di MUZIKfm, Azura yang meminati bidang muzik dan nyanyian turut melakukan tugasan lain di konti iaitu mengendalikan susunan muzik, skrip dan promo radio serta penglibatannya dalam slot jingle di saluran yang sama. Memandangkan jadual tugasan di konti yang sangat padat, masa lapang yang dan cuti yang ada digunakan sepenuhnya oleh Azura dengan hobinya menyanyi, rock climbing dan menonton DVD filem-filem komedi selain berkaraoke bersama keluarga sebagai aktiviti wajibnya.

Ditanya berkenaan perkembangan terbarunya tahun ini, beliau berazam menjadi penyampai yang lebih bersemangat dan lebih berinformasi dengan jiwa yang baru untuk pendengar-pendengar setia MUZIKfm.

Muaz Mengacara Program Realiti TV

Rakan setugas Azura melalui segmen MuzikPagi semenjak setahun lalu iaitu DJ Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzudin Mohamed menganggap tugasan sebagai penyampai radio sangat menarik berbanding yang disangkanya sebelum menceburkan diri di bidang ini. Namun, berbeza dengan Azura, Muaz mempunyai pendidikan dibidang penyiaran dengan memegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara.

Muaz yang disenangi oleh rakan-rakan setugas dan tak pernah lokek dengan senyuman ini hanya mempraktikkan pengalaman sepanjang pembelajarannya di Fakulti Komunikasi Massa, UiTM untuk membina kerjaya sambil mencari pengalaman sebagai penyampai radio buat pendengar setia MUZIKfm.

Menurut pemuda kelahiran Muar, Johor ini, walaupun masih baru setahun jagung dalam bidang penyiaran Radio dan Televisyen, beliau cuba memberikan yang terbaik kepada pendengar dan penonton Radio Televisyen Malaysia memandangkan usahanya kini adalah menceburkan diri di bidang pengacaraan TV.

Terbaru baginya di tahun 2010, selain dulunya mengacarakan program Lanskap di TV2 dan rancangan Diva@1 yang masih bersiaran setiap hari di TV1 kini beliau diberi pula peluang mengacarakan rancangan realiti terbaru terbitan RTM yang berkonsepkan 1Malaysia iaitu Pertandingan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia yang telah bersiaran sepanjang Mac dan bakal berakhir pada April ini. Menurut Muaz, “Tugasan sebagai pengacara dalam rancangan ini sangat mencabar memandangkan ianya berformatkan program reality secara langsung dan melibatkan ratusan penonton di auditorium selain peserta-pesertanya yang datang dari pelbagai bangsa. Namun saya terima tugasan ini demi minat yang mendalam di bidang penyiaran.”

Siaran Langsung rancangan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia kendalian Muaz dapat disaksikan di TV2 pada setiap Ahad jam 4 petang. Pertandingan akhir pada 11 April 2010, bakal menyaksikan seramai lapan peserta akhir yang berbangsa India dan Cina akan menyanyikan lagu-lagu Melayu pilihan mereka dari pelbagai genre. Para peserta akan dinilai berdasarkan suara, mutu persembahan dan penampilan mereka.

Muaz yang mengakui masih belum berpunya amat meminati Afdlin Shauki yang dirasakannya sangat berbakat dalam pelbagai bidang seni manakala pengacara nombor satu Aznil Hj Nawawi dan Ryan Seacrest dijadikan idola dan inspirasinya dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio.

Dua personaliti lincah, muda dan masih bertenaga ini sentiasa mengharapkan sokongan daripada semua pendengar saluran MUZIKfm, penonton-penonton setia RTM dan berterima kasih kerana penglibatan mereka dalam bidang ini diterima oleh semua pendengar setia saluran Radio Nasional RTM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yatt Hamzah & Sheera Iskandar Drama Kasih Dalam Madu Cinta

Deanna Yusof, Estranged & Sharifah Amani di The Biography Channel™