in

Mimie Tersingkir Dari My Starz LG

KEPUTUSAN MIMIE TERSINGKIR DARI MY STARZ LG TIDAK DIJANGKA!

Pengumuman penyingkiran Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris, tersingkir dari program realiti My Starz LG mengejutkan ramai pihak kerana dia dilihat sebagai antara peserta yang menyerlah pada musim ini. Kegagalannya membuat persembahan terbaik ketika menyampaikan lagu Seksis melenyapkan harapannya untuk terus mara merebut gelaran juara My Starz LG.

Faktor kesihatan yang kurang memuaskan mungkin menjadi salah satu punca gadis bersuara lantang ini tersingkir. Mimie yang jatuh sakit selama 2 minggu menjelaskan keadaan kesihatannya sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya untuk membuat persembahan yang menyakinkan pihak juri dan penonton. Walau bagaimanapun, berbekalkan semangat yang tinggi, Mimie telah cuba melakukan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahinya dan rezekinya hanya setakat ini sahaja.

Menurut penerbit My Starz LG, Tengku Sahilawati Tengku Jehori, “Tidak dinafikan bakat Mimie agak menyerlahkan kerana gadis comel ini mampu melontarkan vokal yang mantap. Namun, undian penonton dan markah yang diberikan pihak juri tidak berpihak kepadanya lantaran persembahannya yang tidak menonjol menyebabkan dia terkeluar dari gelanggang My Starz LG. Konsert My Straz LG akan bersiaran selama dua minggu sahaja lagi sebelum konsert akhir yang akan melayakkan 4 peserta berjuang di peringkat akhir.”

Setelah Mimie diumumkan terkeluar daripada gelanggang My Starz LG, 6 lagi peserta yang terdiri daripada  Cassie, Nashrin, Hairi, Azri, Feroq dan Wana meneruskan konsert minggu lalu dengan menyampaikan lagu-lagu pilihan guru vokal mereka, Lah Ahmad. Persembahan mereka pada malam itu diadili oleh Liza Hanim, Zainal Abidin, dan  komposer terkenal, Azmeer. Konsert kali ini juga lebih meriah dengan kemunculan artis jemputan, Ziana Zain yang membawakan lagu Dingin untuk menghiburkan penonton.

Nashrin yang menyanyikan lagu Marcell berjudul Firasat menjadi peserta yang terselamat daripada tersingkir pada konsert minggu hadapan setelah berjaya dinobatkan sebagai persembahan terbaik dan membawa pulang hadiah berupa Pendingin Hawa LG ‘Neo Plasma Plus’. Nashrin yang mendapat pujian daripada barisan juri mempersembahkan sebuah persembahan yang penuh penghayatan dan vokal yang diperakui hebat pada malam itu. Namun dia perlu memperbaiki sebutan supaya dapat didengari dengan jelas lagi.

Persembahan Wana juga tidak kurang hebatnya. Dia yang mempersembahkan lagu penyanyi idolanya, Ziana Zain berjudul Madah Berhelah, menyanyikannya dengan gaya tersendiri. Walau bagaimanapun, kritikan juri yang menganggap cara nyanyiannya persis penyanyi asal diterima oleh Wana dengan hati terbuka. Feroq yang muncul dengan lagu Juwita Citra Terindah juga tidak terlepas daripada kritikan para juri. Selain lontaran suaranya yang dikatakan tiada seni, baju yang dipakainya pada malam itu juga menjadi satu isu iaitu seakan seorang pelayan bar.

Hasnol, penyanyi asal lagu yang dibawakan oleh Azri iaitu sebuah lagu lama bertajuk Laguku Untukmu hadir pada malam itu untuk memberikan sokongan kepada peserta tersebut. Azri dikritik oleh Zainal Abidin dengan mengatakan bahawa persembahannya pada malam itu tidak terkawal dan vokalnya tidak mencapai tahap yang diharapkan. Azmeer pula menyarankannya untuk memberi nafas baru pada lagu lama mungkin kerana ianya dilihat bersesuaian dengan peredaran zaman.

Berlainan pula dengan Hairi yang menyanyikan lagu dari kumpulan Search, Mentari Merah di Ufuk Timur. Permulaan persembahannya dilihar hambar apabila nyanyiannya lari dari tempo sebenar. Walau bagaimanapun, dia diberi pujian kerana berjaya mengimbangi vokalnya dengan baik. Lagu Destinasi Cinta dibawa dengan baik oleh Cassie. Dia yang sering mendapat pujian daripada para juri bernasib baik kerana mempunyai vokal yang bagus. Tetapi gerakannya seakan terbatas kerana pemilihan kasut yang tidak selesa.

Format pemarkahan, penyingkiran terhasil daripada keputusan juri (70% markah) manakala 30% selebihnya diputuskan oleh penonton melalui SMS.  Selain dari juri tetap, juri jemputan bakal muncul sepanjang musim ini untuk menawarkan khidmat nasihat mereka.

Pengacara Nazruddin Habibur Rahman (Naz) kembali memeriahkan rancangan ini dengan pasangan baru, Puteri Andreanna Syigim (Anne), manakala Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) mengacarakan segmen My Starz LG Star Lives, yang merupakan sedutan siaran selama setengah jam tentang pencapaian pelajar sepanjang minggu tersebut, setiap Ahad pada pukul 5.30 petang.

Penasihat vokal terdiri daripada penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh dan  Syaiful Baharim yang berperanan sebagai konsultan imej peserta. Pemenang pertandingan My Starz LG berpeluang memenangi wang tunai RM100,000, produk LG yang menarik, menjadi bintang dan kontrak rakaman di bawah label rekod ternama, Warner Music Malaysia.

Kesemua 12 peserta ini menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional serta sokongan latihan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada penghibur dan penerbit ternama Malaysia, yang berlangsung di LG House, sebuah bunglo yang diadaptasi khas yang tersedia dengan bilik latihan dan ruang persembahan yang dilengkapi sepenuhnya dengan produk LG.

Pastikan penonton di rumah tidak ketinggalan untuk menonton Konsert My Starz LG dan peluang memenangi telefon bimbit LG ‘Ice Cream’ dengan menyertai kuiz SMS My Starz LG dengan menaip LG dan hantarkan ke 37898 dan ikut arahan yang diberikan. Bagi sesiapa yang ingin mengundi peserta kegemaran mereka, undian akan dibuka dari 1 Februari jam 10.00 malam hingga 6 petang, 8 Februari 2009. Maklumat lanjut berkenaan My Starz LG boleh didapati dengan melayari www.tv3.com.my/mystarzlg2

Siapakah peserta seterusnya yang bakal diumumkan tersingkir pada minggu depan dan jangan lupa untuk menyaksikan persembahan menarik daripada para peserta pada konsert yang bertemakan ‘Medley’. Jadi, jangan melepaskan peluang untuk menonton My Starz LG pada hari Ahad, 8 Februari 2009, jam 10.00 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kekasih Irma Hasmie, Nabil Jadi Pengacara Pondok-Pondok, Studio Nabil

Gambar Ibu Fouziah Gous Pelakon Sifu & Tongga