in ,

Mila Jirin Belum Sempat Masak Untuk Suami?

Petikan dari berita portal Mstar Online hari ini mendedahkan penyanyi Mila Jirin belum berkesempatan menyediakan masaskan daripada air tangannya sendiri untuk suami walaupun sudah tiga bulan dia mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Ailis Mohamed Mustapha.

Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin, 29, berkata, perkara itu berpunca disebabkan kesibukan mereka menguruskan hal berkaitan perniagaan restoran dan katering yang semakin berkembang.

Mila Jirin

“Saya belum berkesempatan lagi memasak untuk suami sejak berkahwin kerana kami sibuk dengan urusan bisnes katering yang diusahakan bersama.

“Nasib baik dia memahami dan tidak kisah makan di luar, lagi pula, kami keluar menguruskan urusan bisnes tersebut bersama-sama.”

Mila berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kehidupannya selepas beberapa bulan bernikah.

Juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu dan suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 37, selamat bernikah pada 11 November 2015.

Sementara itu, Mila berkata, kehidupannya kini berubah dan lebih bahagia kerana mempunyai teman iaitu suami untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Katanya, perniagaan Bizmilla Catering yang diusahakan sejak tiga tahun lalu semakin berkembang dan mereka bakal melancarkan dewan perkahwinan ketiga mereka di hotel One City, dekat sini, pada April depan.

“Sekarang hidup lebih tenang kerana sentiasa disisi suami dan tidak risau kalau mesyuarat hingga larut malam sekalipun.

“Selain itu, rezeki lepas kahwin pun memberangsangkan, perniagaan katering dan perancang perkahwinan yang kami usahakan semakin mendapat sambutan dan dalam perancangan untuk menambah beberapa dewan perkahwinan lagi.”

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan cahaya mata, Mila berkata, dia sudah bersedia jika dikurniakan zuriat dalam masa terdekat.

Katanya, perkara tersebut merupakan idaman setiap wanita yang mahukan sebuah keluarga yang sempurna.

“Buat masa ini saya belum lagi berisi, kalau boleh saya ingin anak segera dan sudah bersedia kerana usia saya pun sudah masuk 29 tahun.

“Cuma belum ada rezeki lagi, Insya-Allah, minta doa peminat-peminat agar diberi rezeki itu secapatnya,” ujar Mila.

Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Protege Mana Bakal Tersingkir di Mentor Milenia Ahad Ini?

Punchline Maharaja Lawak Mega 2016 Makin Mantap?