in

Merlin New Season

MUSIM 4: KEMELUT WIRA ARTHURIAN MELAWAN SETERU DALAM SELIMUT

Ikuti musim terbaru Merlin, kisah seorang pemuda yang mempunyai kuasa luar biasa namun terpaksa merahsiakan keupayaannya sebelum diangkat menjadi seorang ahli sihir paling agung di dunia. Namun, pertempuran yang lebih sengit menanti dua perwira agung lagenda Arthurian di dalam mempertahankan bumi Camelot daripada serangan ganas kuasa-kuasa jahat yang ingin menakluk dan menggulingkan Putera Arthur dan takhtanya. Kali ini, Merlin tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakan sepenuhnya kuasa saktinya bagi membantu Putera Arthur dan bala tentera tatkala Camelot dilanda kemerosotan yang paling dahsyat.

Promo Poster

Bakal menemui penonton Disember ini, jangan ketinggalan untuk menyaksikan 2 episod pengenalan MERLIN Musim ke-4 pada hari Jumaat (16 Disember), jam 10.00 hingga 12.00 tengah malam secara eksklusif di slot Mega Movie dan teruskan menonton episod selebihnya pada setiap hari Ahad, jam 10.00malam mulai 18 Disember.

Hasil terbitan Shine TV dan BBC Wales, musim keempat MERLIN menampilkan “The Darkest Hour Is Just Before The Dawn” sebagai tema utama pergolakan di Camelot kali ini. Susulan dari musim ketiga, Colin Morgan (Merlin) dan Bradley James (Prince Arthur) selaku dua watak utama akan beraksi semula bersama dengan Anthony Head (King Uther Pendragon), Angel Coulby (Gwen), Katie McGrath (Morgana), Richard Wilson (Gaius), Nathaniel Parker (Agravaine), Adetomiwa Edun (Sir Elyan), Eoin Macken (Sir Gwaine), Tom Hopper (Sir Percival), Rupert Young (Sir Leon), Gemma Jones (Callieach), Santiago Cabrera (Lancelot) dan John Hurt (suara latar sang Naga Hikmat) di dalam MERLIN Musim Ke-4.

Bersiaran sebanyak 13 episod, siri pengembaraan fantasi British musim ini sarat dengan peperangan dan usaha-usaha hebat demi menyelamatkan Camelot daripada musnah di tangan Morgana dan sekutu-sekutu jahatnya. Permulaan siri musim ini menyaksikan sebuah perkembangan yang pesat di dalam ketamadunan jajahan Camelot. Walaubagaimanapun, langit tidak kekal cerah di Camelot kerana kuasa-kuasa jahat mula bergabung untuk melancarkan kempen kemusnahan. Segalanya bakal berubah apabila Morgana membuka pintu laluan sakti ke dimensi lain (Other World).

Merlin bakal menghadapi cabaran yang paling sukar apabila niat jitu Morgana bukan sahaja akan menggugat masa depan Prince Arthur, malah ia juga akan membahayakan keseimbangan alam nyata. Setelah kekuatan kuasa magisnya berganda, ahli sihir wanita ini mengarahkan Callieach, juga seorang ahli sihir yang berkuasa untuk membuka pintu laluan di antara dua dimensi; alam nyata dan dimensi lain (Other World). Apabila pintu dibuka, pelbagai jenis makhluk bengis mula menerjah masuk dan membunuh setiap manusia yang berada di dalam cengkaman mereka. Perjuangan Merlin kali ini memerlukan lebih daripada hanya sekadar senjata untuk beliau menewaskan musuh-musuhnya. Namun, Merlin tidak langsung menduga bahawa satu-satunya cara untuk beliau mengembalikan keamanan memerlukan pengorbanan yang cukup besar.

Apabila King Uther Pendragon mati setelah dikuasai bayang diri asalnya, kini segala tanggungjawab dan beban terletak pada bahu Merlin dan Prince Arthur untuk mempertahankan Camelot daripada segala ancaman dan anasir jahat, seterusnya mengembalikan zaman kegemilangannya. Akan tetapi, Merlin menghadapi konflik terhadap kuasa magisnya sendiri, setelah Arthur ditabalkan menjadi raja. Merlin berhasrat untuk menghidupkan semula elemen magis di Camelot, namun sukar bagi beliau untuk membuat pilihan samada untuk mendedahkan kuasanya ataupun kekal berdiam diri demi menyembunyikan rahsia. Tatkala Morgana sedang melancarkan serangan balas dendam terhadap Camelot, bapa saudara Arthur, Agravaine tiba untuk memberikan bantuan ketika Arthur sedang sibuk memerintah jajahan tersebut.

Sinonim dengan temanya, kisah MERLIN di dalam musim keempat ini menampilkan konsep lakon layar yang sarat dengan elemen-elemen misteri dan drama. Johnny Capps, Julian Murphy, Jake Michie dan Julian Jones yang bertanggungjawab merealisasikan siri epik ini menjelaskan bahawa nilai dan unsur kematangan mampu dilihat di dalam karakter-karakter watak, dimana secara keseluruhannya kesemua watak akan mempamerkan personaliti yang lebih dingin dan serius.

Babak kemuncak bakal menyaksikan Morgana berpadu tenaga dengan Alator, seorang ahli sihir misteri demi membongkar sebuah rahsia yang berupaya untuk mengubah masa depan. Mampukah mereka mengatasi Morgana dan seteru-seteru jahatnya sebelum rahsia utama Merlin terbongkar? Temui kesudahannya dalam siri MERLIN Musim Ke-4 bermula dengan siaran 2 episod pengenalan pada hari Jumaat (16 Disember), jam 10.00 hingga 12.00 tengah malam secara eksklusif di slot Mega Movie serta episod-episod seterusnya pada setiap hari Ahad, jam 10.00malam mulai 18 Disember, hanya di TV3!

His Father's Son

At War

Becoming King Arthur

All The King's Men

Merlin

Morgana

Aithusa

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jangan Bunuh Matahariku Siri 2 Lakonan Rita Rudaini

Azza Elite dalam Kisah Cermin Ajaib