in

Mencari Ramli Kaki Bola TM

”MENCARI RAMLI” BERMULA – BERSEDIAKAH ANDA?

Ingatkah anda pada Ramli, anak muda yang telah membuat ayahnya dan seluruh rakyat Malaysia berasa bangga apabila beliau terpilih untuk menyertai pasukan bola sepak antarabangsa terunggul Manchester United? Kisah kejayaan Ramli di dalam iklan popular Telekom Malaysia Berhad (TM) tidak lama dahulu mungkin hanyalah rekaan semata-mata, namun TM dengan kerjasama TV9, kini mengambil inisiatif untuk merealisasikannya menerusi segmen realiti Mencari Ramli. Mencari Ramli akan mula bersiaran pada 30 April, setiap Isnin, 9.30 malam melalui program Kaki Bola di TV9 (Saluran 109 di HyppTV).

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar TV9, ”Mencari Ramli memberikan platform kepada anak muda di bawah umur 16 tahun yang berbakat besar di dalam bidang sukan bola sepak untuk mencuba nasib dan menimba pengalaman berharga. Ia juga turut memainkan peranan sebagai program pembangunan bermatlamat dalam melahir dan membentuk barisan pelapis pemain bola sepak negara yang berwibawa. Adalah menjadi tanggungjawab kami di TV9 untuk menggandakan usaha dalam menaikkan taraf arena sukan tanah air.”

Mencari Ramli merupakan medan pertaruhan bagi 30 orang peserta untuk merebut gelaran ’Ramli.’ Sebelum ’Ramli’ dipilih, setiap peserta akan menjalani latihan intensif dan mengharungi pelbagai halangan dan rintangan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman dan berkaliber selama 13 minggu. Mereka juga perlu tampil hebat bagi membolehkan mereka mendapat peluang untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi. Semua ini akan dirakamkan dan disiarkan di dalam segmen 10 minit yang diberi nama Mencari Ramli dengan menampilkan Nazrudin Habibur Rahman sebagai pengacara.

Mengulas mengenai segmen ini, Dato’ Rozalila Abdul Rahman, Ketua Pegawai Pemasaran, TM, berkata, “TM, sebagai penaja segmen “Mencari Ramli” ini, sangat teruja kerana pencarian telahpun bermula dan kami tidak sabar untuk melihat, siapakah yang berjaya mempamerkan kemahiran terbaik dan memegang peranan “Ramli” untuk melangkah maju bermain di peringkat yang lebih tinggi. Ganjaran yang menanti dua peserta terbaik amatlah lumayan dan unik serta merupakan hasil perjanjian perkongsian di antara TM dan Manchester United seperti sesi latihan intensif di Manchester United Soccer School selama satu (1) minggu dan juga peluang untuk menyaksikan sendiri pasukan Manchester United di Old Trafford.”

Mereka akan dipilih melalui sistem pemarkahan yang akan dilakukan dalam dua kaedah iaitu 80% penilaian jurulatih dan 20% lagi melalui sistem undian menerusi laman web. Selain itu, peserta-peserta juga berpeluang untuk merebut gelaran ’Pemain Pilihan Ramai” atau ”People’s Choice Player” sekiranya mereka mendapat undian 100% daripada sistem undian menerusi laman web. Peserta bertuah ini akan mengikuti rombongan dua peserta terbaik ke Manchester United dan dapat menjadi penonton perlawanan pasukan itu di pertandingan Liga Perdana Inggeris.

“Segmen ini merupakan kesinambungan daripada kempen Team Malaysia yang dicetuskan oleh TM dalam aspirasi mencungkil bakat rakyat Malaysia untuk bermain bersama pasukan bola sepak gergasi Liga Perdana Inggeris satu hari nanti. Kempen Team Malaysia bermatlamat untuk menghimpunkan sokongan para peminat sukan tempatan terhadap para atlet kebangsaan kita, dan usaha pencarian “Ramli” ini bertepatan dengan hasrat kita, di mana kami berharap “Ramli” juga bakal mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia. Usaha ini juga, selain bakal mengukuhkan lagi jenama TM dalam arena bola sepak tempatan, merupakan bukti komitmen TM sebagai sebuah organisasi korporat yang menyokong acara-acara kesukanan – selari dengan cadangan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah bangsa berbudayakan sukan,” tambah Dato’ Rozalila.

Inisiatif ini diterajui oleh dua nama besar iaitu TM, syarikat peneraju jalur lebar serta maklumat dan komunikasi bersepadu di Malaysia; dan TV9, stesen televisyen nombor 2 negara yang turut mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Kaki Bola di www.tv9.com.my/kakibola atau ikuti hashtag #kakibola di laman sosial media Twitter. Anda juga boleh melayari www.tm.com.my/teammalaysia atau Facebook Team Malaysia di www.facebook.com/TeamMalaysia untuk mengundi peserta atau ‘Ramli’ pilihan anda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Showcase Imran Ajmain Live di Hard Rock Café

Album Soundtrack Runut OST 29 Februari