in

Melodi Raya 2009 Simfoni Dalam Sensasi

Sensasi, terjah, kontroversi, malah segala paparan berunsur panas seringkali dikaitkan dengan Melodi, seolah-olah hanya itu sahaja peranan Melodi kepada khalayak masyarakat atau kepada persada seni tempatan. Ramai seolah terlupa bahawa di sebalik semua kepanasan itu Melodi juga turut menampilkan paparan berkenaan kebajikan masyarakat artis serta menggerakkan visi ke arah kemajuan persada.

Kesemua paparan ini dipaparkan dengan caranya yang tersendiri, iaitu menerusi rangkaian segmen-segmen yang terkandung dalam setiap episod Melodi. Antaranya termasuklah segmen Potensi, Info, Prihatin, Takziah, Nostalgia, Teater, dan banyak lagi.

Bagaimanapun tidak dinafikan rangkaian segmen-segmen berunsur panas dan sensasi seperti Terjah, Kontroversi, Serkap, Sila Jawab, dan seumpamanya lebih mendapat tumpuan umum. Terserah kepada naluri penonton untuk membuat pilihan segmen mana paling mereka minati. Namun, satu yang pasti, Melodi yang ke udara setiap Ahad jam 12.30 tengahari di TV3 ini tetap muncul dengan hasil paparan seadilnya sama ada untuk renungan atau sekadar hiburan ramai.

Menyingkap tirai Aidilfitri, Melodi Raya muncul lagi bagi mengeratkan simfoni kasih serta silaturrahim antara artis dengan masyarakat. Tidak cukup dengan satu episod, Melodi Raya bakal menemui penonton dalam dua episod istimewa, dan pertama kali diterbitkan oleh penerbit dan wartawan sensasi yang popular menerusi segmen ‘Terjah’ iaitu Nas Ahmad. Turut berganding bahu menjayakannya ialah Jamil Hassan selaku penerbit Eksekutif Melodi.

Menurut Nas:

“Melodi tetap kekal pada konsepnya sebagai sebuah rancangan hiburan paling sensasi. Itu yang penonton mahu dan itu yang kami berikan. Penonton kami kurang setuju jika Melodi berubah konsep. Kerana itu, Melodi Raya perlu tampil menerusi paparan simfoni dalam Sensasi. Episod pertama Melodi Raya akan menemui penonton pada Hari Raya pertama yang dijangka pada Ahad 20 September 2009 manakala episod kedua pada Ahad 27 September 2009. Kedua-duanya akan bersiaran pada jam 12.30 tengahari selama sejam menerusi TV3. Bersesuaian dengan suasana Hari raya pertama, 70% kandungan dari episod pertama menghidangkan acara nyanyian yang berlangsung di majlis rumah terbuka Melodi Raya manakala 30% adalah paparan berita yang disampaikan oleh anggota Skuad Melodi di majlis itu. Bagi episod kedua pula 70% adalah paparan berita sementara 30% pula adalah sambungan persembahan nyanyian.”

“Satu lagi keistimewaan Melodi Raya tahun ini ialah kemunculan semula semua bekas pengacara dan penyumbang suara latar yang pernah terlibat dalam Melodi sejak dulu hingga kini. Mereka terdiri dari Dato’ Mahathir Lokman, Fauziah Ahmad Daud, Adiel Abdul Ghaffar, Sheila Rusly, Aznil Nawawi, Haliza Misbun, Faizal Ismail, Tabah Syazwan, Saiful Apek dan Raja Azura. Mereka  juga turut bergandingan dengan pengacara Melodi masa kini iaitu Fara Fauzana dan Wahid Senario”.

“Begitu juga dengan anggota Skuad Melodi yang terdiri dari wartawan Michelle Wee, Azmi Jamsari, Zuan Azmi, Zamzuri (Ayau) dan saya sendiri. Kalau selama ini terpapar di Melodi kami tampil hanya menggalas tugas kewartawanan, tapi istimewa untuk Hari Raya, semua wartawan Melodi turut tampil dalam dalam situasi yang lain. Apa kelainannya itu akan dapat penonton ketahui di hari raya nanti,” tambahnya lagi.

Rakaman Melodi Raya ’09 telah berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park pada hari Jumaat 28hb Ogos 2009 di sebuah pentas terapung yang berkonsepkan garapan antara unsur tradisi, kontemporari dan moden. Rakaman ini mendapat kerjasama penajaan oleh pihak pengurusan Sunway Lagoon Theme Park. Barisan artis yang membuat persembahan di acara tersebut juga terdiri dari berbagai generasi. Bagi generasi masa kini, Melodi mengetengahkan penyanyi Aizat, protégé Mentor 3, One Nation Emcee, Fabulous Cat, dan kumpulan Butterfly.

Pentas kali lebih unik… pentas terapung~

Manakala, generasi dewasa pula menampilkan artis-artis popular tanah air seperti Amy Mastura, Aishah, Fazley, Junainah M. Amin, Aman Shah, Ramlah Ram, Jay Jay, Dato’ Shake, kumpulan Balle Balle, Elite, Kristal dan Sweet Charity. Bagi yang meminati irama nasyid, kumpulan Hijjaz turut membuat persembahan.

Ramai artis-artis popular dan penggiat seni turut sama memeriahkan rakaman ini. Mereka terdiri dari penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, pelawak, penggiat teater, anggota persatuan-persatuan seni dan sebagainya.

Melodi tetap meneruskan tradisi menghulurkan sumbangan kepada artis yang dilanda kesempitan hidup atau penderitaan penyakit. Tahun ini, tiga orang artis lagi telah dipilih untuk menerima sumbangan ikhlas dan mereka adalah Jamaludin b Sulik (Seri Bayu), Abdul Karim b Abdul Latif (Karim Latif) dan Nurul Kamal Mohd Zainuddin (Kamal Pendek). Selain dari itu, seorang peminat setia Melodi, Siti Nor Fatimah bt Mokhtar juga turut menerima sumbangan. Semua sumbangan berupa wang bernilai RM5000 tiap seorang. 2 buah rumah kebajikan juga turut dipilih untuk menerima sumbangan. Rumah Kebajikan tersebut adalah Asrama Baitul Ummah, Setapak Indah dan Pusat Jagaan Titian Kaseh, Tasik Titiwangsa. Kedua-duanya juga turut mendapat RM5000. Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Dato’ Sri Farid Ridzuan.

Jadi, kepada semua penonton setia melodi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Melodi Raya ’09 pada hari raya pertama dan ke-8, 20 dan 27 September 2009, jam 12.30tengahari, hanya di TV3.

Makan sepuas-puasnya ~

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Antara Garisan Di Astro Ria Lakonan Isma Yusoof, Nadia Aqilah Bajuri

Wan Raja, Arja Lee, Raja Azmi, Shadan dan Filem Anu Dalam Botol