in

Maxis Umum Pelaksanaan Program Rintis Maxis Ekelas

[dropcap]S[/dropcap]atu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis), dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), telah mengadakan sebuah majlis istimewa untuk mengiktiraf 30 buah sekolah yang telah berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas. 30 buah sekolah tersebut, yang terdiri daripada 900 pelajar dan 120 guru, merupakan antara yang pertama diperkenalkan kepada program Maxis eKelas, satu perkhidmatan pembelajaran interaktif secara talian yang dilancarkan pada tahun 2012 yang merangkumi alat pengajaran dan pembelajaran tambahan yang efektif dengan memanfaatkan kemudahan ICT yang sedia ada di sekolah. Selaras dengan pelaksanaan program rintis ini, Maxis dan KPM sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan Maxis eKelas ini pada skala yang besar kepada 2,300 buah sekolah menengah kebangsaan di seluruh Malaysia secara percuma bermula bulan Jun ini.

Photo 2

Maxis & Kementerian Pelajaran Malaysia mengiktiraf 30 buah sekolah yang berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas yang dilancarkan pada tahun 2012.

Majlis pengiktirafan tersebut telah dihadiri oleh YBhg Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis serta para guru dan pelajar daripada 30 buah sekolah yang mengambil bahagian dalam program ini.

“Setelah melihat impak program ini di sekolah-sekolah rintis Maxis eKelas, kami teruja untuk menawarkan perkhidmatan ini kepada sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang lain di seluruh Malaysia dengan harapan bahawa mereka juga akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan pembelajaran inovatif ini. Kami percaya bahawa Maxis eKelas akan dapat menambah pemahaman setiap murid dengan kaedah pembelajaran secara pengalaman dan penerokaan yang menggalakkan gaya pembelajaran yang berbeza. Melalui inisiatif ini, kami gembira untuk menyokong usaha kerajaan dalam membina keupayaan, membantu untuk membangunkan masyarakat masa depan yang celik teknologi, dinamik dan inovatif melalui pembelajaran ICT,” kata YM Raja Tan Sri Arshad.

Sementara itu, YBhg Tan Sri Abdul Ghafar juga berkata,

“KPM memberi fokus yang jitu terhadap agenda pembestarian kerana ianya membantu dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan bagi semua rakyat. Peruntukan Maxis eKelas sebagai perkhidmatan percuma kepada semua sekolah menengah di seluruh negara adalah satu usaha murni dari Maxis dalam menyumbang kepada pendidikan negara, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat mereka.”

[pullquote align=”right”]Maxis sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan Maxis eKelas ini pada skala yang besar kepada 2,300 sekolah menengah kebangsaan di seluruh negara secara percuma[/pullquote]

Semasa program rintis Maxis eKelas dijalankan, para pelajar dan guru daripada sekolah yang mengambil bahagian diberi alat pembelajaran tambahan secara talian yang memfokuskan kepada pemerolehan pengetahuan melalui penyesuaian, eksperimen dan pengalaman berdasarkan senario kehidupan harian yang relevan. Kandungan dan cara penyampaian Maxis eKelas ini adalah bersesuaian dengan keperluan pelajar dan terus diacu untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang inovatif.

Bagi menambahkan keterujaan untuk program ini, Maxis telah memperkenalkan ‘Maxis eKelas Challenge’ kepada para peserta program rintis ini yang dibahagikan kepada dua kategori – Cabaran Sekolah dan Cabaran Pelajar. Bagi Cabaran Sekolah, para guru diberikan tiga bulan untuk menggunakan Maxis eKelas sebagai alat tambahan di sekolah dan mereka dikehendaki mengemukakan amalan terbaik bagi rekabentuk pengajaran semasa menggunakan Maxis eKelas di sekolah. Bagi Cabaran Pelajar, kesemua 900 pelajar perlu menduduki peperiksaan secara talian, dimana sekolah yang mendapat markah tertinggi akan digelar sebagai pemenang. Peperiksaan tersebut terdiri daripada soalan topikal Matematik dan Sains beserta pemahaman fungsi dan aktiviti Maxis eKelas.

“Saya percaya melalui aktiviti seperti Maxis eKelas Challenge ini, kita dapat mencapai enam ciri aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Anak-anak perlu sedari bahawa aktiviti-aktiviti pertandingan seperti ini perlu disertai kerana ia membantu memupuk kecemerlangan dan seterusnya meletakkan generasi muda kita setaraf atau lebih cemerlang daripada mana-mana generasi muda di negara-negara maju,” tambah Tan Sri Abdul Ghafar.

[pullquote]Maxis eKelas juga ditawarkan kepada para pelanggan Maxis dan Hotlink dengan caj serendah RM25 sebulan untuk akaun pertama dan RM20 untuk akaun-akaun seterusnya[/pullquote]

Pemenang bagi cabaran sekolah adalah SMK Tunku Besar Burhanuddin dari Negeri Sembilan, yang membawa pulang hadiah berjumlah RM15,000. SMK Cyberjaya dinamakan pemenang untuk kategori cabaran pelajar dan membawa pulang hadiah berjumlah RM4,000. Hadiah-hadiah tersebut terdiri daripada alat-alat pembelajaran interaktif serta alat-alat digital yang akan membantu para guru dan pelajar didalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Maxis eKelas juga dibuka untuk langganan kepada para pelanggan Maxis dan Hotlink dengan caj serendah RM25 sebulan untuk akaun pertama dan RM20 untuk akaun-akaun seterusnya. Untuk melanggan perkhidmatan ini, para pelanggan hanya perlu melayari laman web www.ekelas.com.my. Di sini, mereka hanya perlu membuka akaun untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan.

[pullquote align=”right”]Maxis sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam bidang pendidikan melalui pembelajaran ICT[/pullquote]

Program Maxis eKelas adalah hasil kerjasama antara Maxis dan KPM yang dimeterai pada tahun 2011, yang bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan ICT di sekolah melalui pembelajaran kreatif. Perkongsian pintar di antara Maxis dan Kementerian Pelajaran menandakan satu lagi peristiwa penting dalam siri inisiatif tanggungjawab korporat yang dijalankan oleh Maxis. Sejak tahun 2002, Maxis telah bekerja rapat dengan Kementerian Pelajaran dalam program Bridging Communities, dengan menyediakan rakyat Malaysia dari kawasan-kawasan pedalaman dengan akses kepada internet dan mendedahkan masyarakat kepada alat-alat internet, sekali gus mengurangkan halangan kepada pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan, dan lain-lain perkhidmatan yang serupa. Tambahan pula, melalui projek utamanya, Maxis Camp Cyberkids, Maxis telah menyentuh kira-kira 8,500 pelajar dan guru-guru dari kira-kira 1,500 sekolah-sekolah; melengkapkan mereka dengan kemahiran teknologi untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah.

Photo 1

Photo 3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Program Menarik Sempena Cuti Sekolah di TV3

Lebih 20 Selebriti Jayakan Festival Hari Belia 2013