in

Maxis Berhad Anjurkan Maxis Cyberkids

KEM MAXIS CYBERKIDS MENJANGKAU KE KOMUNITI TIMUR MALAYSIA MENERUSI PROGRAM PEMBANGUNAN E-PENDIDIKAN MAPAN
Ibu bapa dan kanak-kanak di Kampung Moyog, Sabah, mengakses Internet melalui Portal Maxis Cyberkids

Maxis Berhad (‘Maxis’), peneraju perkhidmatan telekomunikasi bersepadu Malaysia, terus memajukan kepercayaannya bahawa kanak-kanak akan menjadi asas masyarakat masa depan, dengan mengambil program tanggungjawab korporatnya, Maxis Cyberkids, untuk melatih kanak-kanak dan rakan-rakan serta ibu bapa mereka menggunakan pelbagai peralatan Internet di Kampung Moyog, Sabah, Timur Malaysia.

Sesi latihan dua hari tersebut baru-baru ini berakhir dengan satu majlis yang dihadiri oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim serta Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Latihan ini juga membentuk sebahagian dari program yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (‘SKMM’), dalam usaha membekalkan akses kepada kandungan yang lebih baik kepada komuniti-komuniti terpencil, bersama Program Perluasan Siaran TV dan Radio RTM di Kawasan Pedalaman Sabah dan Sarawak (PSRTVSAT).

Kg Moyog Photo 1

Sebanyak 20 orang murid dari SK Kampung Moyog telah menjalani latihan menerusi sukatan pelajaran terkini Kem-Kem Maxis Cyberkids, yang memupuk pengenalan kepada eksplorasi Internet, serta penggunaan emel dan perkhidmatan-perkhidmatan multimedia awam. Latihan ini turut melibatkan pengenalan kepada Portal Maxis Cyberkids, yang kini boleh dilayari melalui peranti mudah alih. Portal ini sentiasa berkembang, khasnya dari segi penyepaduan pelbagai aplikasi interaktif, yang memudahkan penulisan ‘blog’ serta penyertaan di dalam forum atau memanipulasi kandungan yang padat, di samping menyediakan suatu sumber yang kaya dengan permainan dan pelbagai lagi bahan-bahan e-pembelajaran yang menarik.

Kem Maxis Cyberkids yang pertama telah diadakan pada tahun 2002, sebagai sebahagian dari usaha jangkau luar USP (Universal Service Provision) Kerajaan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, untuk merapatkan jurang digital di kalangan 220 buah sekolah di Timur Malaysia. Kejayaan program ini kemudiannya telah mendorong kerjasama dengan SKMM untuk membawa murid serta guru dari 11 negara ASEAN bersama di Kem Tahunan Cyberkids ASEAN. Sementara itu, Maxis Cyberkids terus berkhidmat kepada komuniti-komuniti pedalaman di seluruh Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Sandip Das, “Sebagai peneraju perkhidmatan telekomunikasi bersepadu yang terunggul di Malaysia, kami bertuah untuk berada dalam sebuah perniagaan yang berpeluang untuk menyentuh kehidupan orang ramai. Dengan memberikan akses kepada internet dan mendedahkan komuniti kepada peralatan internet, kami menyumbang ke arah mengurangkan halangan kepada pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan, dan perkhidmatan lain yang sepertinya. Projek Kem Maxis Cyberkids bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan menggunakan kuasa teknologi dan pendidikan kepada masyarakat luar bandar sejajar dengan pertumbuhan arus perdana Malaysia dan pembangunan. Program ini mensasarkan golongan muda kita. Hasrat kami adalah untuk membawa teknologi kepada golongan muda, terutama kepada mereka yang tidak mampu atau yang tinggal di kawasan yang tidak boleh diakses. Kami terus melabur dalam meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan sambungan ke kawasan-kawasan geografi yang kurang diberi layanan. Pada tahun 2010, kami telah melabur lebih dari RM80 juta di Sabah dan Sarawak sahaja!”

Maxis telah memasang sebilangan 142 tapak 3G di Sabah pada tahun 2010, dan menawarkan kelajuan muat turun sehingga 7.2Mbps, di samping mendirikan sebanyak 82 tapak untuk 2G. Sebagai tambahan, tapak-tapak 3G Maxis di Sabah menggunapakai teknologi pengaktifan HSUPA (High-Speed Uplink Packet Access) bagi menyediakan kelajuan muat naik yang optimum. Antara kawasan-kawasan baru yang kini diliputi 3G pada 2010 termasuklah Keningau, Kudat dan Labuan. Ini mewakili sejumlah 30.68% lagi dari keseluruhan populasi Sabah berbanding hujung tahun 2009.

Pada tahun 2011, Maxis meneruskan komitmennya dalam memperluaskan lagi liputannya di Sabah dan juga Timur Malaysia, dengan pelbagai rancangan untuk menghubungkan beberapa kawasan-kawasan baru seperti Kota Marudu, Beaufort dan Sipitang. Antara perkembangan setakat ini pada tahun 2011 termasuk penyediaan liputan melalui spektrum W900, yang membolehkan penembusan isyarat yang lebih baik serta kapasiti yang lebih mantap. Ini merupakan suatu batu loncatan yang penting bagi Maxis dalam merealisasikan komitmennya untuk menghubungkan seluruh Malaysia menerusi teknologi-teknologi semasa. Begitu juga di Sarawak, Maxis pada tahun lepas telah memperluaskan liputan 2G dan 3G kepada 29.08% lagi populasi Sarawak, menerusi perluasan teknologi dan jaringan liputannya.

Kg Moyog Photo 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pavilion KL receives Outstanding Achievement Award

Album Kompilasi Terbaru Ella BALADA