in

Maxis & Astro Tawar Pakej IPTV

Dua jenama terkemuka Malaysia, Astro dan Maxis, menandatangani perkongsian untuk menawarkan perkhidmatan TV dan Radio, Jalur Lebar dan Suara yang terbaik

Astro, peneraju kumpulan media hiburan pengguna di Malaysia, dan Maxis, peneraju perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, telah bekerjsama dalam satu perkongsian strategik untuk membawa perkhidmatan Astro TV dan Radio, jalur lebar berkelajuan tinggi dan suara yang terbaik kepada para pelanggan dan kediaman di Malaysia. Astro dan Maxis akan membangunkan dan bersama-sama memasarkan pakej pengguna unik yang menggabungkan perkhidmatan IPTV Astro B.yond dan Astro On-The-Go, bersama dengan Internet Fiber Maxis, Internet mudah alih, Internet wayarles dan perkhidmatan ADSL. Selain itu, pelanggan Maxis juga akan mempunyai peluang untuk mendapatkan pakej kandungan khas yang dibangunkan oleh Astro.

Maxis & Astro Tawar Pakej IPTV

Dengan perkongsian ini, Maxis telah dilantik sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian fiber yang menambah nilai (value-added) kepada Astro untuk meluaskan lagi jejak perkhidmatan IPTV Astro B.yond. Sementara itu, Astro akan menjadi pembekal perkhidmatan IPTV untuk semua platform tetap dan wayarles Maxis. Dalam beberapa bulan akan datang, kedua-dua Maxis dan Astro akan bersama-sama membangunkan pakej pengguna, yang disasarkan akan dilancarkan ke dalam pasaran secara berperingkat.

Di samping perkongsian ini, Astro dan Maxis juga telah bersetuju untuk bekerjasama dalam satu usaha pemasaran-bersama mudah alih untuk perkhidmatan Astro On-The-Go kepada pelanggan Maxis. Astro On-The-Go (AOTG) menawarkan hiburan dari Astro TV dan saluran Radio, acara siaran langsung, video atas permintaan (Video on Demand – VOD) dan TV ‘catch-up’ pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja melalui kedua-dua telefon pintar dan tablet Apple dan Android serta komputer peribadi / komputer riba. Pada masa ini, perkhidmatan ini disediakan kepada pelanggan sedia ada Astro dan akan disediakan kepada pelanggan bukan Astro menjelang akhir tahun ini

Kerjasama Astro-Maxis akan memastikan bahawa pengguna akan mendapat manfaat daripada pakej akses internet Astro dan Maxis, yang akan membawa tawaran kandungan dan pengalaman yang unik yang akan disampaikan melalui rangkaian Maxis. Setiap syarikat akan bersama-sama memasarkan pakej-pakej yang unik ini melalui semua saluran pengedaran masing-masing.

Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad berkata, “Pada hari ini, Astro berada dalam 3.1 juta rumah di Malaysia, dan aspirasi kami adalah untuk terus berkembang relevan untuk semua rakyat Malaysia, dengan terus mengembangkan produk dan perkhidmatan kami untuk menyediakan pilihan, pengalaman dan nilai yang lebih baik untuk para pelanggan kami, sama ada di rumah atau di mana sahaja.

Kerjasama kami dengan Maxis memberikan kami tambahan rumah sebanyak 1.3 juta yang menggunakan fiber sebagai pasaran yang boleh terus mengakses IPTV Astro B.yond, di mana pelanggan-pelanggan kami boleh menikmati yang terbaik dari Astro TV dan Radio, serta jalur lebar berkelajuan tinggi.

Kami juga gembira untuk mengumumkan bahawa Astro On-Go, yang bertujuan menangani ruang gaya hidup peribadi, kini boleh didapati di Android serta peranti Apple dan PC. Pelanggan Astro kini boleh menonton Astro di mana-mana, pada bila-bila masa dan melalui mana-mana peranti, sebagai nilai lanjutan kepada langganan utama mereka.”

Sandip Das, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, berkata, “Apabila kami memulakan perjalanan kami sebagai penyedia perkhidmatan bersepadu dan memperkenalkan perkhidmatan kediaman, kami mempunyai dua pencapaian besar yang perlu kami lalui; yang pertama telah dicapai dengan tandatangan perjanjian bersejarah dengan Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad, yang membolehkan kami mengakses berjuta rumah di seluruh negara.

Dengan perkongsian strategik yang telah kini kami meterai dengan Astro, peneraju kumpulan media hiburan pengguna yang terkemuka di Malaysia, kami telah mencapai pencapaian kedua dan akan menyediakan yang terbaik dari segi Jalur Lebar, Suara dan Televisyen kepada para pelanggan kami, di mana sahaja mereka berada. Kami gembira telah memperoleh kandungan televisyen dan video yang paling popular dari pembekal perkhidmatan yang terkemuka di pasaran untuk menawarkan jalur lebar gentian ke rumah yang mempunyai nilai tambahan (value added). Ini adalah kesinambungan daripada janji kami untuk menawarkan kandungan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami dari mana-mana peranti dan di mana-mana sahaja, sama ada mereka di rumah, tempat kerja ataupun semasa dalam perjalanan.”

Maxis Home telah mendapat sambutan yang baik sejak pelancarannya pada tahun 2011. Pada pada akhir suku kedua 2012, Maxis Home mempunyai lebih 57,000 jumlah pelanggan, termasuk 9,352 yang melanggan Home Internet Fibre dan lebih 27,000 yang melanggan Home Internet Wayarles, dengan selebihnya pelanggan ADSL dan POTs. Dengan perkhidmatan Home Internet Fiber yang sedia ada kepada 1.3 juta rumah dan perkhidmatan internet wayarles dengan liputan penduduk sebanyak 82%, Maxis menawarkan internet yang pantas dan boleh dipercayai kepada lebih 6 juta rumah di Malaysia. Kedua-dua perkhidmatan ini ditawarkan sekali dengan talian telefon tetap termasuk peruntukan minit percuma ke nombor tetap dan mudah alih.

Maxis & Astro Tawar Pakej IPTV

Mengenai Maxis Berhad
Maxis Berhad adalah peneraju dalam penyediaan perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak RM8.8 bilion pada tahun 2011 dan lebih 14 juta pelanggan. Sebagai salah satu daripada jenama tempatan yang paling dikagumi di Malaysia, Maxis telah berkembang dari sebuah syarikat pengendali mudah alih yang terulung kepada sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memperkayakan kehidupan pelanggannya, sama ada di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak: mudah alih dan suara tetap, mesej, internet mudah alih, jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dan berwayar, dan kandungan dan aplikasi pelbagai skrin – sama ada ianya hiburan, pendidikan, keselamatan atau pengkomputeran awan – melalui rangkaian mudah alih, tetap dan satelit. Maxis merupakan syarikat pertama yang mengkomersilkan perkhidmatan mudah alih 3G di Malaysia dan memiliki rangkaian mudah alih terluas dengan liputan 2G sebanyak 95% dan liputan 3G berkelajuan tinggi sebanyak 81% di seluruh negara.

Usaha Maxis dalam membawa inovasi, memastikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan telah membolehkan Syarikat memperoleh pelbagai anugerah termasuk tersenarai sebagai syarikat 5 Teratas bagi Anugerah Pengendali Global Terbaik oleh Anugerah Komunikasi Dunia pada tahun 2010 dan Pengurusan Syarikat Terbaik, Majikan Terbaik Asia serta Anugerah ‘Putra Brand of the Year’ pada tahun 2011. Komited untuk menyumbang kepada masyarakat di mana Syarikat beroperasi, usaha Tanggungjawab Korporat Maxis memfokus kepada menghasilkan ‘Impak Positif’, memanfaatkan teknologi canggih bagi mencipta nilai untuk ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: maxis.com.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Seksi Mad Men Musim Kedua di Sundance Channel

Ujibakat VOKAL Bukan Sekadar Rupa Musim Ke-2