in , ,

Marsha Milan Tukar Kerjaya Jadi Cikgu Sally Di TV2

Pelakon jelita Marsha Milan Londoh berubah kerjaya menjadi seorang guru tadika? Betulkah kenyataan tersebut? Untuk mengetahui kebenarannya usah ketinggalan menyaksikan drama menarik mengisi slot Citra bertajuk “Cikgu Sally” di TV2.

Disiarkan pada 2 Disember, pukul 10.00 malam, drama turut dibintangi oleh Liza Abdullah, Puteri Balqis, Imam Muda Nazrul, Adik Sabrina dan Din Belon ini berkongsi cabaran diterima Salina, pelajar lulusan luar negara dalam bidang guaman. Namun begitu selepas pulang dari luar negara dia masih gagal mencari pekerjaan yang setaraf dengan kelayakkannya itu. Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi negara menyebabkan kesukarannya menjadi bertambah rumit. Sudah berpuluh-puluh temuduga dihadirinya, tapi nasib masih tidak menyebelahinya.

Marsha Milan .. pelakon utama

Ibunya, Mak Kiah tidak putus-putus menasihatinya agar tidak memilih pekerjaan. Dia bimbang, jika Salina tidak mendapat pekerjaan dalam masa terdekat ini kerana Salina berkeras tidak akan mendirikan rumah tangga selagi tidak mendapat pekerjaan yang sesuai. Salina juga bimbang dipandang rendah oleh masyarakat kampung, jika dia gagal menjawat jawatan yang tinggi kerana dia satu-satunya anak jati Kampung Berjambul yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.

Mak Kiah yang buntu, sering meluahkan rasa resahnya kepada Cikgu Siti. Cikgu Siti, seorang guru tabika yang hanya menunggu hari untuk bersalin. Timbul idea, supaya Salina menggantikan tempatnya sementara dia bercuti dan berjanji akan kembali bertugas secepat yang mungkin. Pada awalnya Salina enggan, tetapi apabila mengenangkan jasa cikgu Siti yang sentiasa mengambil berat soal ibunya sepanjang ketiadaannya di Malaysia, akhirnya Salina bersetuju.

Dengan baju ala eksekutif serta make up yang menawan, Salina melangkah penuh yakin masuk ke dalam kelas. Semua mulut anak muridnya terlopong. Bukan sahaja anak muridnya, malahan gayanya itu menjadi buah mulut orang kampung. Salina juga menggunakan perantaraan Bahasa Inggeris. Salina membahasakan dirinya sebagai cikgu Sally.

Pada awalnya, Salina sering merungut dengan sikap anak muridnya yang acuh tidak acuh. Namun begitu, cikgu Siti sentiasa memberi galakan dan tunjuk ajar agar Salina dapat menambat hati anak muridnya itu.

Ada juga ibu bapa yang bersungut dengan sikap Salina. Katanya Salina tidak mengikut modul tabika yang sebetulnya dan menyebabkan anak mereka agak tercicir dalam pelajaran. Malahan ada juga yang bersungut apabila ada anak-anak kecil yang terikut-ikut dengan gaya eksekutif Salina dan ada juga yang ingin menukar nama dari Aminah kepada Amy, Rubiah kepada Ruby. Namun Salina tetap tidak mengaku kalah. Padanya caranya itu adalah betul.

Zaki, yang berperawakan seorang ustaz rakan baik Salina sejak kecil, mengerjakan kebun peninggalan arwah bapanya sebagai punca rezeki di samping menjadi pemuda contoh di kampung tersebut.. Dia banyak menasihati Salina agar mengkaji segala rungutan ibu bapa kanak-kanak tersebut terhadapnya. Padanya tidak salah jika Salina mahu anak kecil menguasai bahasa inggeris, tapi biarlah dengan cara yang betul dan berhemah.. Cikgu Siti pula mengambil keputusan untuk berhenti bekerja kerana ingin memberi tumpuan kepada anaknya yang masih kecil. Salina bertambah tertekan.

Salina sering melayari internet untuk dapatkan tip pembelajaran yang berkesan. Salina mendapat idea dan kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk anak muridnya. Mereka menyanyi dan mengeja bersama. Semua murid-muridnya ceria.

Pada suatu hari Salina kurang sihat. Dia hanya duduk di mejanya sahaja. Semua murid juga hanya membatukan diri. Masing masing pelik dengan gelagat Salina. Salina cuba untuk berdiri, tiba-tiba dia rebah. Semua murid meluru ke arahnya. Lalu apakah yang terjadi seterusnya? Adakah Salina berjaya mengubah persepsi anak-anak murid dan ibu bapa yang memandang serong terhadap dirinya?

Marsha

Puteri Balqis antara pelakon

antara babak

bersama anak murid

watak guru tadika

babak menarik

poster drama ini

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Amelina Solat Istikharah Sebelum Kembali Menyanyi

Upin & Ipin Dilantik Duta Japan Halal Expo 2014