in , ,

Mamat Khalid Kecewa & Terkilan Gara-Gara Zizan Razak & Emma Maembong

Semalam, Budiey sempat menghadiri Majlis Pra Tonton Filem USOP WILCHA DALAM WEREWOLF DARI BANGLADESH yang diadakan di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara. Namun, ramai media nampaknya kecewa dan frust sebab tak dapat menemubual pelakon utama filem ini iaitu Zizan Razak dan Emma Maembong. Budiey dikhabarkan, Zizan tak hadir di prebiu filem ini kerana sibuk dengan promosi Cicakman 3.

Bukan sahaja media je yang kecewa, malah pengarah Mamat Khalid juga melahirkan rasa terkilan kerana tunjang utama filem ini tidak nampak batang hidung. Sebaliknya, pelakon yang tidak terlibat dengan filem ini pula yang hadir seperti Awie, Hattan, Uji Rashid, Khir Rahman dan Imuda. Pelik tapi benar, itulah yang berlaku. Ramai yang bertanya, kenapa dengan Zizan? Apa dah jadi dengan Zizan?

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh

Setelah dikatakan tidak mahu ditemubual oleh media, nampaknya bertimpa-timpa pula masalah yang ditimbulkan oleh Zizan Razak. Saat diajukan soalan tentang ketidak-hadiran Zizan Razak, pengarah Mamat Khalid mulanya terkedu dan dia diam. Setelah diasak bertubi-tubi oleh media, pengarah yang berusia 52 tahun ini melahirkan rasa sedih, terkilan dan kecewa.

“Saya tak mahu keruhkan lagi keadaan. Sejak saya mula bikin bermula dari tahun 2004, ini yang pertama dalam sejarah apabila pelakon utama tidak hadir ke tayangan perdana. Saya rasa, mereka sudah rasa yang mereka sudah sampai tahap yang tinggi, punya peminat berjuta-juta jadi mereka boleh untuk tidak datang pada malam ini. Mungkin mereka rasa sudah berlakon dalam filem ini, itu sudah mencukupi.

“Apa yang saya dimaklumkan, kita pilih tarikh malam ini pun kerana jadual mereka tidak sibuk. Saya bercakap ini bukan kerana saya marah, tetapi atas dasar melihat corak promosi dunia perfileman hari ni sangat berlainan berbanding zaman dulu. Hari ini saya melihat industri lebih kepada industri individu.”

Tambahnya, sebelum ini dia ada berbicara dengan Zizan menerusi aplikasi WhatsApp meminta pelakon itu membantu sedikit sebanyak mempromosikan filem ini. Namun, dia tidak pasti sama ada Zizan melakukannya atau tidak.

“Saya ada menghantar material untuk promosi filem seperti poster dan ‘link’ video klip untuk Zizan promosikan di laman sosialnya tetapi saya tidak pasti dia buat atau tak. Saya rasa dia mungkin ada tiga akaun Instagram, mungkin agaknya dia ada buatlah tu,” kiasnya.

Tidak hanya Mamat sahaja yang kecewa, malah pihak produksi turut meluahkan rasa terkilan dengan sikap Zizan dan Emma.

“Produksi juga ada beritahu saya yang mereka sedih Zizan dengan Emma tidak hadir pada malam ini tetapi saya katakan pada mereka, kita yang ambil mereka, bukan mereka yang menawarkan diri berlakon dalam filem kita. Jadi, apabila kita yang pilih mereka dan mereka meletakkan status begitu, kita terpaksa terima.”

Disebabkan Zizan dan Emma tidak memberi kerjasama, Mamat menyatakan selepas ini dia dan produksi sendiri yang akan melakukan promosi seperti promosi jelajah ke beberapa lokasi sehingga filem ini ditayangkan nanti.

“Malam ini yang besar ini pun mereka tidak datang apatah lagi promosi kecil. Disaat ramai orang datang mahu meraikan filem ini, mereka tiada. Seharusnya, mereka sebagai pelakon tentulah akan menceritakan sendiri tentang watak dan pengalaman mereka sepanjang penggambaran ini tetapi bila sudah jadi begini, selepas ini saya sendiri dan produksi serta pelakon lain yang akan meneruskan promosi. Kami akan lebihkan promosi di TV dan radio. Saya tidak akan panggil mereka lagi untuk promosi.”

Ditanya sama ada dia menyesal dan apakah mungkin ini kali terakhir dia melibatkan dua pelakon itu dalam filem bikinannya, selepas beberapa minit terdiam Mamat akhirnya berkata:

“Sebagai orang lama dan pembikin filem, saya sudah masak dengan situasi selebriti. Pernah sebelum ini satu ketika saya berjalan dengan seorang selebriti, tidak sampai tiga langkah, dia sudah dikerumuni tetapi sekarang dia sendiri yang panggil wartawan untuk temubual dia. Cuma apa yang berlaku ini, mereka terlalu cepat berubah sedangkan rasanya tak sampai 10 karya pun mereka dalam dunia lakonan. Berdepan dengan situasi begini menyedarkan diri saya bahawa betapa kerdilnya saya dalam industri ini. Mungkin bagi mereka, saya ini bukanlah siapa-siapa.”

“Kita jangan menghukum atau persoalkan mana profesionalism mereka kerana profesionalnya seseorang pelakon itu hanya diri pelakon itu saja yang tahu. Saya rasa ada baiknya mereka berterus terang jika tidak percaya dengan filem ini beritahu sajalah dan jika ada masalah peribadi, pun beritahu sajalah tetapi ini langsung tiada apa-apa pesan dari mereka,” tuturnya.

Mamat juga menyatakan tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas Zizan dan Emma.

“Memang dalam kontrak ada tertulis mereka perlu ada untuk promosi. Tapi tak mengapalah. Saya juga tidak mahu ambil apa-apa tindakan sebab sepanjang proses pembikinan, Zizan dan Emma memberikan komitmen yang baik. Cuma, dari segi promosi ini mereka gagal. Tapi saya tak mahu lah gunakan kuasa kontrak.

“Lagipun saya yakin filem ini boleh berdiri dengan sendirinya. Kekuatan filem ini pada jalan ceritanya dan saya yakin bagi yang meminati karya-karya saya, mereka akan datang menonton,” katanya.

Filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh turut dibintangi pelakon lain seperti Usop Wilcha dan Saiful Apek. Filem ke-13 arahan Mamat ini akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 5 Mac 2015.

Sumber: Malaysian Digest

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Watch Second Vlog From The Set Of SPECTRE

OGY & AG Mendengar Pengakuan Ikhlas Artis Dalam YEKE?