Malique Cuba Lagi Dengan 2010 Masih Hip Hop

MALIQUE MUNCUL SEMULA BERSAMA SINGLE KEMBARA

Mengikut jejak album OK (2008) yang banyak memenangi anugerah di Malaysia dan juga kejayaan KO The Mixtape (2009), Malique mengorak langkah tahun ini dengan mengedarkan 2 buah single yang bakal disusli dengan album yang masih dalam pembikinan, TKO (Peace Out) yang akan beredar penghujung 2010 ini. TKO merupakan album solo terakhir Malique yang mengakhiri siri trilogi album-album solo beliau.

“Cuba Lagi”, yang menampilkan vokal Lah Ahmad, merupakan sebuah lagu yang memberikan perangsang untuk mencapai kejayaan, menolak kegagalan ke tepi dan terus mencuba untuk mendapat kemenangan, tema yang seringkali dialami oleh setiap lapisan masyarakat. Lah Ahmad, yang pernah menganggotai V.E., sebelum ini pernah berkolaborasi bersama Malique menerusi single “KL Streets”, yang pernah memenangi Anugerah Indursti Muzik menerusi kategori Lagu Inggeris Terbaik. Gabungan kali kedua ini membuktikan yang keserasian dan kehebatan ‘chemistry’ mereka berdua.

“2010 Masih Hip Hop” merupakan versi rakaman semula lagu “Masih Hip Hop” yang dipetik dari album KO The Mixtape; apa yang menarik versi baru ini menampilkan rakan seperjuangan Malique dari Too Phat, Joe Flizzow. Ini merupakan rakaman mereka berdua yang pertama setelah 5 tahun. Peminat-peminat setia Too Phat pasti akan teruja dengan perkembangan ini, apatah lagi bila mereka merindui akan kolaborasi hebat antara Malique dan Joe, satu gabungan hebat yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Selain “Cuba Lagi” dan “2010 Masih Hip Hop”, Malique akan mengadarkan lagi 2 buah single sebelum meluncurkan TKO (Peace Out) di pasaran. Kedua-dua buah single berkenaan akan menyusul di pasaran September ini. Yang pertama merupakan “Senyum”, dengan penampilan istimewa vokalis jazz indie Najwa; Malique dan Najwa pernah berkolaborasi menerusi lagu “Kau Yang Punya” (dari album solo pertama Malique, OK). “Senyum” akan diedarkan bersama-sama sebuah lagu yang akan diumumkan sedikit masa lagi – satu kolaborasi hebat bersama sebuah kumpulan nasyid terkenal di Malaysia.

Selepas pengedaran album solo terakhir TKO (Peace Out), Maligue akan kembali memfokuskan kerjanya terhadap album baru Too Phat dengan menulis lebih banyak lagu-lagu di dalam bahasa Inggeris.

Untuk maklumat lanjut dan prebiu lagu-lagu, layarilah www.myspace.com/maliqueibrahim

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Kemuncak Suria FM 2010

Zizi & Halim Othman Suria FM Tukar Kerja