in

Malaysia Tawar Kandungan Kreatif Kepada Dunia di MIPCOM 2015

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menawarkan lebih daripada 1,600 jam kandungan kreatif daripada pelbagai genre seperti filem, animasi, siri TV, dokumentari dan banyak lagi kepada dunia. Jumlah ini merupakan satu rekod baharu semenjak penyertaan Malaysia dalam Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) – sebuah pasaran kandungan kreatif global terbesar yang bakal dianjurkan di Cannes, Perancis dari 5 hingga 8 Oktober ini.

Selaras dengan objektif negara untuk menghasilkan kandungan kreatif bertaraf antarabangsa dan menjadi hab industri kreatif serantau, FINAS juga bakal memperkenalkan ‘Content Malaysia Pitching Centre’ kepada dunia sebagai pusat sehenti bagi membangunkan industri kandungan kreatif di peringkat global.

Dato' Kamil Othman

Inisiatif ini memberikan kemudahan dan insentif bagi membantu para penggiat industri dalam dan luar negara dalam aspek dana dan pemasaran. Sokongan dan insentif yang diberikan merangkumi pembangunan kandungan, produksi, produksi bersama, kesan khas visual, pemasaran, penelitian dan pengembangan, pengecualian cukai, rebat, promosi dan banyak lagi.

Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, “Usaha dalam membangunkan industri kreatif dan meneroka pasaran luar negara adalah sangat penting kerana ia adalah salah satu industri yang menjana ekonomi negara. Justeru, kerajaan mengambil inisatif untuk meningkatkan pembangunan agensi kreatif dengan memperkenalkan ‘Content Malaysia Pitching Centre’ oleh FINAS, sebagai sebuah agensi berpusat untuk menguruskan dan merealisaskan idea- idea baharu melalui insentif yang diperuntukkan oleh kerajaan.”

Di samping itu, Insentif Perfilemen di Malaysia (FIMI) yang terus diperuntukkan telah berjaya mengekalkan momentum perbelanjaan untuk penerbitan dalam negara, daripada RM149 juta pada tahun 2013 kepada kira-kira RM335 juta pada tahun 2014. Bukan itu sahaja, FIMI juga telah berjaya menarik 21 produksi, termasuklah 16 produksi asing, seterusnya mengharumkan nama Malaysia sebagai destinasi penerbitan yang serba lengkap dengan infrastuktur dan bakat bertaraf antarabangsa. Selain itu, ‘Pinewood Iskandar Studios Malaysia’ telah membuktikan bahawa studio tempatan mampu menarik syarikat antarabangsa seperti The Weinstein Co. dan Netflix dalam menerbitkan siri ‘Marco Polo’, dan produksi dari Hollywod untuk filem ‘Lost in the Pacific.’

Tahun ini, delegasi Malaysia ke MIPCOM disertai oleh 25 syarikat tempatan dan yang bakal diketuai oleh Dato’ Jailani Johari. Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuklah Animasia Production, RTM, Giggle Garage, Inspidea, Primeworks Studio, Juita Viden, Big Tent Entertainment, GO Asean, Mirayi, Lokalab dan banyak lagi.

Selain menampilkan pelbagai filem yang memenangi anugerah seperti ‘Lelaki Harapan Dunia’, ‘Lagenda Budak Setan 3’, dan ‘KL Gangster 2’, tujuan penyertaan Malaysia juga adalah untuk menjual, menghasilkan produksi bersama dan bekerjasama untuk projek animasi. Perkhidmatan penghasilan animasi telah menjadi antara penyumbang terbesar bagi hasil eksport dalam industri kreatif. Sejak sedekad yang lalu, Malaysia telah berjaya menghasilkan filem dan siri animasi bertaraf antarabangsa seperti ‘Supa Strikas’, ‘BoBoiBoy’, ‘Upin & Ipin’, ‘Chuck Chicken’, ‘Rimba Racer’, ‘Hogie the Globehopper’ dan sebagainya.

Malaysia juga telah berjaya dalam mengeksport pelbagai animasi kepada penerbit antarabangsa seperti Cartoon Network, Disney Channel, Nickelodeon, TOMY, dan lain-lain. Buktinya, pasaran animasi meningkat kepada lebih RM608 juta pada akhir tahun 2014 berbanding dengan hanya RM200 juta sebelum pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“FINAS menjangka bahawa Indutri Kreatif Malaysia bakal berkembang dengan lebih maju dan menjadi pemain industri yang penting di peringkat global melalui kerjasama efektif, produksi bersama, dan kolaborasi antarabangsa.

Pada masa hadapan, FINAS berharap untuk melebarkan industri ini kepada terbitan turunan di mana para pencipta harta intelek tempatan boleh mengembangkan hasil kreatif mereka kepada penjualan hak cipta, cenderamata, kandungan mudah alih, permainan, taman tema dan sebagainya,” kata Dato’ Kamil Othman, Ketua Pengarah FINAS.

Delegasi Malaysia ke MIPCOM dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), dengan kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).

Dato' Jailani Johari

Mengenai Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS)
FINAS adalah agensi filem terkemuka di Malaysia yang diamanahkan untuk membangunkan industri filem negara. Ditubuhkan pada tahun 1981, ia adalah sebuah agensi berkanun di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FINAS bertanggungjawab untuk memajukan, memelihara dan memudahkan pembangunan industri filem di Malaysia. FINAS adalah titik perhubungan pertama yang menyediakan maklumat, nasihat, perkhidmatan sokongan dan insentif untuk pengeluaran kandungan kreatif di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari www.finas.gov.my

Mengenai Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM)
MIPCOM adalah sebuah pasaran kandungan hiburan global yang dianjurkan pada setiap bulan Oktober bertempat di Cannes, Perancis. Di sini, para pemain industri daripada seluruh negara bakal berkumpul bagi menerokai peluang, perbincangan, persidangan, dan pelbagai peluang kerjasama. Pada tahun ini, Turki telah diangkat sebagai hos dan bakal memperkenalkan pelbagai industri hiburan dan kandungan kreatif mereka, di samping memberi peluang kepada dunia untuk meneroka pasaran di negara tersebut.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mipcom.com

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Percutian Pantai Berseri di Seri Resort Gili Meno, Lombok

HBO ASIA Bakal Siar Premiere HALFWORLDS Bulan November Ini