in ,

Mahkamah Tangguh Permohonan Jimmy Penjarakan Isteri

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin tidak membenarkan permohonan pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley bagi mendapatkan notis tunjuk sebab terhadap Nursuhaila Ellia Suhaimy berhubung keingkaran bekas isterinya itu terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania, 2 tahun. Hakim Syarie, Mawardi Che Mat memerintahkan Jimmy selaku pemohon untuk memasukkan afidavit sokongan daripada saksi sebelum mahkamah mendengar permohonan tersebut.

Jimmy Court

Mahkamah memerintahkan Jimmy menfailkan affidavit sokongan daripada saksi berhubung permohonannya mendapatkan perintah tunjuk sebab terhadap bekas isterinya, Nursuhaila Ellia Suhaimy.

Mawardi berkata, mahkamah mendapati terdapat pelanggaran pada tiga tempoh perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini namun ia perlu disertakan dengan saksi bagi menyokong dakwaan yang difailkan oleh pemohon.

“Ada pelanggaran yang berlaku terhadap perintah mahkamah tetapi ia perlu disertakan dengan saksi bagi menyokong dakwaan yang dibuat terhadap responden,” katanya.

Jimmy pada 7 Mei lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital terhadap Nursuhaila bagi memenjarakan bekas isterinya itu atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka. Dalam afidavit yang difailkan, Jimmy mendakwa Nursuhaila gagal melaksanakan perintah yang dikeluarkan mahkamah yang sama pada 8 April lalu yang memutuskan dia diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya.

Jimmy dalam saman berkenaan menjelaskan Nursuhaila gagal berbuat demikian pada empat tempoh iaitu pada 9 hingga 11 April, 16 hingga 18 April, 23 hingga 25 April dan 30 hingga 2 Mei lalu.

Mawardi bagaimanapun meminta tarikh pertama iaitu 9 hingga 11 April dikeluarkan daripada permohonan kerana faktor Nursuhaila berada di luar negara bersama anak mereka ketika keputusan dibuat sehari sebelum itu.

“Mungkin pada ketika itu responden tidak mengetahui apa perintah mahkamah yang bakal dikeluarkan dan ketika itu responden telah pun berada di luar negara. Jadi saya melihat tarikh tersebut tidak relevan untuk dimasukkan dalam permohonan,” jelasnya.

Mahkamah menangguhkan kes itu pada 25 Jun depan.

Dalam pada itu, peguam syarie kepada Jimmy iaitu, Mohd Noor Azian Md. Idrus ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mendapatkan kenyataan daripada abang dan kakak ipar kepada anak guamnya sebagai saksi. Jelasnya, kedua-dua individu itu terlibat secara langsung dalam urusan mengambil Zahrah daripada bekas isteri Jimmy dan kenyataan mereka akan direkodkan dalam masa terdekat bagi menyokong permohonan yang difailkan.

Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kes Dadah Saiful Apek Bela Diri 15 Julai

Gambar Md Zhafran Lamar Fouziah Gous Atas Helikopter