in

KUIH RAYA JUARA ANTARA KOLEJ

KUIH RAYA – JUARA ANTARA KOLEJ BERMULA 06 SEPTEMBER 2008, SETIAP SABTU & AHAD, JAM 11.00 PAGI DI RTM2

Peluang menyertai sesebuah pertandingan memasak pastinya cukup dinantikan penuntut-penuntut yang mengikuti kursus dalam bidang kulinari atau masakan dalam menyalurkan pengalaman berguna kepada mereka sebelum layak digelar seorang Chef.

Justeru pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini cuba menampilkan kelainan dengan menyiarkan program Kuih Raya – Juara Antara Kolej mulai 06 September 2008, setiap Sabtu dan Ahad, jam 11.00 pagi di RTM2 yang menarik penglibatan penuntut kolej-kolej di Malaysia cuba mempamerkan skil dan kelebihan mereka beraksi menyediakan kuih raya istimewa dan resipi ciptaan terbaru.

Antara kolej-kolej yang terlibat menyertai pertandingan ini iaitu Politeknik Johor Bahru, Food Institute of Malaysia (FIM), Kolej KDU Petaling Jaya dan Penang, Kolej Taylor’s, Keris Kolej, UiTM Shah Alam dan Kolej Komuniti Langkawi. 

Kuih Raya – Juara Antara Kolej menampilkan hos Chef Zamzani Abdul Wahab atau dikenali sebagai Chef Zam yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Seni Kulinari Kolej KDU. Manakala juri pula terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masakan iaitu Chef Zaidah dan Chef profesional daripada hotel terkemuka dari KL Hilton dan Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Turut diundang menyerikan pertandingan, Erra Fazira dan Ning Baizura yang juga diberi peluang untuk merasai masakan peserta bertanding.

Menariknya penganjur pertandingan terbitan Sazawan Supply Sdn Bhd sepanjang lapan episod siarannya menyediakan hadiah RM5,000 untuk Johan dan RM2,000 untuk Naib Johan. Malah setiap peserta yang bertanding juga tidak pulang dengan tangan kosong dengan menerima RM500 selain hamper dan piala.

Apatahlagi peserta daripada dua kumpulan yang melayakkan diri bertanding pada peringkat akhir diberi peluang menjemput idola mereka meluangkan masa memasak bersama mereka.

Episod pengenalannya bermula dengan mengetengahkan resipi-resipi biskut istimewa disediakan sekumpulan tiga penuntut Politeknik Johor Bahru antaranya Toblerone Maa’mor, Trio Nut Cookies, Popia Serunding Rangup dan Almond London.

Manakala penuntut-penuntut Food Institute of Malaysia (FIM) yang menjadi tandingan mereka pula menyediakan Almond Crème Brule with Coconut Crumble, Coconut Sable, Crepe Roulede Stuffed with Pulut & Rendang Tuna dan Almond Sable.

Istimewanya di penghujung pertandingan Kuih Raya – Juara Antara Kolej dalam setiap episod siarannya setiap minggu menampilkan kelainan dengan misteri resipi yang adakalanya tidak pernah terfikir oleh penonton tetapi cuba diperkenalkan kumpulan peserta yang bertanding.

Antara misteri resipi yang dicuba termasuklah Battered Shrimp with Roasted Green Chili & Honey Dip, Burger Malaysia Bersama Lempeng Kelapa Parut, Cheese & Marmites Scrolls, Kuih Bakar Sardin, Butterscocth Nut Tarflets, Cranberry-Chocolate Crumble, Kek Keju Kapas dan Fresh Berries & Nut Cake.

Sepanjang bulan Ramadan ini jangan lupa menyaksikan siapakah kumpulan layak digelar juara pertandingan Kuih Raya – Juara Antara Kolej mulai 06 September 2008, disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 11.00 pagi di RTM2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jue Aziz, Siti Fazurina, Aida Radzwil dalam Drama AKHIR SEBUAH ILUSI

Kesederhanaan Dekorasi di Majlis Resepsi Maya Karin