in , ,

Kontrak Cinta Antara Zara Zya & Azlee Khairi

Bermula dengan niat mahu membalas dendam terhadap setiap lelaki yang dianggap curang dalam perhubungan, Shahira nekad meneruskan kerjanya sebagai penyiasat upahan menjatuhkan lelaki-lelaki mata keranjang seperti yang ditugaskan.

Namun pandangannya terhadap semua lelaki yang dianggapnya jahat seperti ayahnya yang telah membunuh ibunya di depan mata, berubah sama sekali bila berdepan dengan Safwan, suami salah seorang daripada pelanggan yang mengupahnya.

Plot kisah menarik ini melatari telemovie yang sekali lagi menggandingkan pasangan pelakon Azlee Khairi dan Zara Zya dalam drama bertajuk “Kontrak Cinta” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 9 Januari ini, pukul 2.00 petang di TV2.

Ia mengisahkan Shahira lakonan mantap Zara Zya menyimpan kemas rahsia latarbelakang ‘hitam’ kehidupannya pada masa lampau. Setelah dewasa dia memutuskan menjadi gadis penyiasat persendirian secara profesional. Namun siasatannya tertumpu kepada lelaki yang curang terhadap isteri.

babak pertemuan

Shahira menerima tawaran diberikan Datin Roslin (Sharifah Sahora) untuk memerangkap suaminya, Dato’ Azfar lakonan Azhar Sulaiman. Datin Roslin mengupah Shahira supaya menjalinkan hubungan sulit dengan Dato’ Azfar dan kemudiannya mengugut lelaki itu dengan nilai sejuta ringgit. Kecekapan Shahira berjaya memerangkap Dato’ Azfar dan Datin Roslin berpuas hati dengan hasil kerja dilakukan gadis itu.

Satu hari Datin Roslin terserempak dengan Fathia (Syatilla Melvin), kenalan lamanya. Dalam perbualan mereka, Fathia meminta supaya Datin Roslin memperkenalkannya dengan penyiasat persendirian dan tanpa banyak berfikir dia terus mencadangkan Shahira.

Pertemuan Shahira dengan Fathia membuka kes baru. Fathia mengupah Shahira mengintip pergerakkan suaminya, Safwan dilakonkan oleh Azlee Khairi. Dengan wang pendahuluan sebanyak 10 ribu, Shahira menerima tawaran tersebut.

Perancangan teliti dibuat di mana Shahira diterima bekerja di syarikat milik Safwan, Malique Holding Sdn Bhd. Sejak itu Shahira mula mengatur langkah untuk menggoda Safwan. Pelbagai cara dilakukannya untuk mendekati pemuda itu yang diberitahu oleh Fathia bahawa dia bukanlah suami yang baik.

Dalam diam rupanya Fathia miliki konspirasi jahat dengan kekasih gelapnya, Dato’ Azfar yang juga rakan kongsi dalam syarikat arwah ayah Safwan. Mereka mahu membolot tanah milik syarikat tersebut dan pada masa sama mahu membunuh Safwan.

Shahira pula semakin lama mengenali Safwan mula berubah tanggapan tentang lelaki itu. Dia mendapati Safwan lelaki budiman yang sedaya upaya mahu menunaikan amanah arwah ayahnya yang mahu kan tanah milik syarikat mereka diwakafkan dan membina Pusat Pengajian Islam.

Ketika itu dia mula curiga dengan Fathia apatahlagi bila mengetahui perempuan itu menjalin hubungan sulit dengan Dato’ Azfar yang pernah diugutnya satu ketika dahulu. Dato’ Azfar menentang keras keinginan Safwan mahu mewakafkan tanah milik syarikat mereka dan mahu membolot harta dan tanah tersebut.

Dengan bantuan Datin Roslin yang sudi sama-sama membongkar kejahatan Dato’ Azfar, akhirnya Shahira berterus-terang dengan Safwan tentang kecurangan isterinya itu. Shahira terkejut bila diberitahu Safwan dia sudah mengetahui keadaan sebenar tetapi dia mahu berkorban menyelamatkan rumahtangganya.

Namun segalanya tidak mudah. Dato’ Azfar dan Fathia yang bagai dirasuk mahu membolot kekayaan syarikat peninggalan arwah bapa Safwan telah bertindak di luar batasan. Bagaimanakah Shahira dan Safwan berdepan dengan situasi tersebut? Saksikan kesudahan drama penuh pengajaran ini hanya di TV2.

hubungan sulit Fathia dan Dato Azfar

babak Dato Azfar

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Ucapan Selamat Tahun Baru 2015 Dari Dato Seri Siti Nurhaliza

Bii First Overseas Solo Concert in Malaysia