in ,

Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM

TV2 SIAR KONSERT GEMILANG 50 ORKESTRA RTM PADA 1 NOVEMBER INI

Keunggulan Orkestra RTM yang menyambut ulang tahun Jubli Emas tahun ini diterjemahkan dengan penganjuran Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM yang menyaksikan seramai 35 orang pemuzik orkestra berpengalaman memberikan persembahan yang bertenaga bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Persembahan konsert yang bakal menemui penonton saluran TV2 pada 1 November, jam 9.00 malam itu nyata memukau hadirin termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim yang memeriahkan rakaman konsert ini yang berlangsung pada 3 Oktober lalu.

Para pemuzik yang kebanyakannya berkelulusan hingga ke peringkat sarjana muzik dari universiti dalam dan luar negara itu mempamerkan persembahan hebat dengan dipimpin oleh beberapa tokoh berpengalaman dalam bidang orkestra seperti Dato’ Johari Salleh, Dato’ Mokhzani Ismail, Mohd Asnawi Mutaal, Leon Yap, Azman Mustafa dan Lokman Abdul Aziz. Peralatan yang digunakan pemuzik juga dari pelbagai jenis termasuklah wood-winds seperti bassoon, flute dan jenis bertali yang lengkap serta kumpulan brass, saxes dan rhythm. Ini sepertimana yang terdapat dalam orkestra profesional bertaraf dunia.

Ia dibahagikan kepada sepuluh segmen iaitu Overture Merentasi Zaman, Titik Permulaan, Varsiti Pelbagai Irama, Dari Malam Irama Malaysia ke Malam Putrajaya, Ilham Rasa, Dari Rakyat Untuk Rakyat, Patah Tumbuh Hilang Berganti, medley Tanah air, Orkestra dan Bintang dan Gemilang 50.

Antara artis yang membuat persembahan termsuklah Jamal Abdillah, Shafinaz Selamat, Datin Paduka Julie Sudiro, Norynn Aziz dan Andre Goh menyampaikan lagu popular masing-masing.

Sempena sambutan itu juga, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Orkestra RTM kepada 11 pemuzik yang pernah terlibat dalam Orkestra tersebut iaitu Zainal Abu, Akhbar Nawab, Dato’ Dr. Ahmad Nawab, T. Anggapan, Ahmad Kassim, Ruslan Imam, Richard Hoon, Eow Yeo Jin, James Boel, Alfonso Sulian dan Dato’ Ahmad Dasillah.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya tahun 1961, orkestra ini sudah berjaya merentasi zaman dan melakar kisah suka dukanya tersendiri. Di pentas sama juga dapat disaksikan pemuzik-pemuzik dahulu memerah keringat dan tenaga untuk menghasilkan muzik-muzik terbaik Malaysia yang begitu indah khusus buat generasi masa kini.

Orkes Radio Malaya berkonsepkan big band di mana keanggotaannya adalah seramai 13 orang yang tertumpu kepada kelompok keluarga brass, saxes dan rhythm. Keanggotaannya dikembangkan kepada 25 orang mulai tahun 1965 dengan penambahan ahli muzik yang bermain peralatan bertali. Dari tahun 1967 hingga 1969 pula, keanggotaannya berkembang kepada 38 orang dengan berkonsepkan studio orkestra.

Ternyata muzik adalah bahasa antarabangsa yang mampu merentas sempadan kaum dan bangsa. Dalam semangat 1Malaysia yang tidak mengira warna kulit dan rupa, sejarah telah membuktikan semangat kerjasama inilah yang telah mengekalkan Orkestra RTM selama 50 tahun dan terus relevan hingga ke era masa kini.

Dalam meraikan sambutan ke 50 Orkestra RTM diperkenalkan logo baru dan juga ‘tagline Reaching Out’ yang antara lain merakyatkan orkestra kepada orang ramai di samping memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Kedua Vokal Bukan Sekadar Rupa

Gambar Awal Ashaari di Alpensia Pyeongchang Korea