in ,

Konsert Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged 2015

Bulan April mempunyai signifikan yang tersendiri kepada penyanyi Dato’ Siti Nurhaliza kerana setiap kali bulan ini menjelma, beliau akan meraikan ulangtahun penglibatannya dalam bidang seni. April 2015 dianggap bulan permulaan kerjaya seninya untuk tahun ke 20.

Sebagaimana janji beliau kepada para peminatnya sebelum ini, Dato’ Siti Nurhaliza bakal mengadakan sebuah konsert akustik istimewa yang dinamakan Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged 2015 pada 7 April , Selasa, di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula jam 8.30 malam.

Siti Nurhaliza Unplugged

Konsert yang berlangsung cuma sehari ini diadakan bersesuaian dengan slot yang diberikan oleh pihak Istana Budaya dan beliau mengambil peluang tersebut sebagai pembukaan kepada persembahan berskala konsert pada tahun 2015. Beliau bagaimanapun akan tampil dengan pementasan Konsert Muzikal Fragmen Siti, selama 8 hari di Istana Budaya pada bulan November depan.

Dato’ Siti memahami bahawa tempoh sehari mungkin tidak cukup untuk jumlah peminatnya tetapi beliau berharap agar mereka memahami tujuan diadakan persembahan tersebut termasuk slot sehari yang ditawarkan oleh Istana Budaya. Bagi beliau, peluang yang ada ini harus diambil dan bertepatan dengan bulan April bagi sambutan ulangtahun beliau dalam bidang seni.

Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged 2015 ini bertujuan untuk melengkapkan perjalanan seni beliau selama 20 tahun kerana sepanjang tempoh tersebut , beliau belum pernah muncul dalam persembahan konsert akustik secara keseluruhan. Persembahan ini akan lebih menonjolkan kepada vokal Dato’ Siti dan juga garapan muzik oleh Aubrey Suwito terhadap lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti.

Persembahan Dato’ Siti Nurhaliza yang bakal langsung selama 2 jam ini dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.dan kerjasama Istana Budaya. Dato’ Siti memilih untuk menyampaikan lagu-lagu dari album pop beliau yang telah dipilih serta beberapa lagu lain untuk memberikan warna kepada persembahan. Pada setiap album pop beliau akan ada lagu-lagu yang dipilih mewakili album tersebut untuk dinyanyikan walaupun memberikan fokus kepada album terbaru beliau, Fragmen.

Dato’ Siti berharap agar persembahan beliau kali ini dapat dilihat kelainannya berbanding konsert beliau sebelum ini. Menurut beliau ada di kalangan peminat yang sudah lama bertanyakan penganjuran konsert akustik kerana mereka mahu mendengar lebih kepada persembahan vokal Dato’ Siti sendiri.

Tiket untuk menonton persembahan ini boleh didapati secara online di www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM28, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Harga ini tidak termasuk caj tiket dan GST.

Selain itu tiket boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, KLCC, Subang Parade dan The Curve. Tiket juga dijual di Victoria Music di Sg.Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall dan Bangsar Shopping Centre serta di Box Office Istana Budaya. Bagi pembelian di Pulau Pinang pula, tiket boleh didapati di di Artist Gallery, Gurney Plaza dan Artist Gallery, Queensbay Mall.

Siti Nurhaliza Unplugged

Siti Nurhaliza Unplugged

Siti Nurhaliza Unplugged

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KATA HATI Temukan Josiah Hogan dan Raja Ilya

Sam Bunkface Bakal Nikah Dengan Penerbit Program TV3