in

KISAH-KISAH PENGAJARAN MEWARNAI DRAMA RAMADAN

KISAH-KISAH PENGAJARAN MEWARNAI DRAMA RAMADAN : SEHARUM KASTURI BERMULA 01 SEPTEMBER 2008 DI RTM1

Petang hari anda sepanjang bulan Ramadan tahun ini pastinya lebih bermakna dengan pengisian kisah-kisah pengajaran yang begitu bermanfaat melatari drama mengisi slot terbaharu Seharum Kasturi khas sempena Ramadan yang disiarkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) terbitan Gemilang Network Sdn Bhd.

Slot Seharum Kasturi yang siarkan mulai 01 September 2008, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di RTM1 ini menampilkan tajuk dan kisah-kisah pengajaran berbeza sepanjang 16 episod siarannya namun menjanjikan plot cerita terbaik yang mampu mengundang perasaan insaf di hati segenap lapisan penonton terutamanya pada bulan puasa yang menjanjikan keberkatan ini.

Kisah Ke Pintu Syurga Ramadan yang diletakkan sebagai pembuka tirai slot ini pastinya mengundang keinsafan di hati penonton tentang kisah pengajaran sebuah keluarga yang dilimpahi kesenangan oleh Allah tetapi mereka seringkali terlupa mencukupkan amal yang wajib terutama melibatkan soal solat.

Kehidupan Mat Jiwa dan isterinya, Fatimah yang begitu gembira apabila perniagaan mereka di bazaar Ramadan menguntungkan tiba-tiba berubah setelah Mat Jiwa jatuh sakit dan disahkan dijangkiti kuman dalam paru-parunya. Namun bagaimanakah penerimaan Fatimah? Adakah dia benar-benar redha dan insaf dengan takdir menimpa suaminya yang berlaku pada bulan Ramadan tahun itu?

Ke Pintu Syurga Ramadan menyaksikan lakonan berkesan Shahrul Kamal, Farisha Irwayu, Akila Malik dan Sheikh Bolkish.

Kemudiannya menyusul episod bertajuk Kemanisan Laila lakonan Jasmin Hamid dan Ady Putra ini mengisahkan konflik dan pergolakan dalam diri wanita bernama Laila yang masih belum berumah tangga meskipun usianya menginjak 40an. Kepulangannya semula ke kampung halamannya sempena bulan Ramadan telah menimbulkan cakap-cakap dan fitnah kurang menyenangkan daripada masyarakat kampung yang menuduhnya melakukan pekerjaan tidak senonoh di luar negara.

Tambahan pula lelaki yang pernah ditolak cintanya oleh Laila iaitu Mazlan menimbulkan fitnah hingga tergamak mahu memperkosa Laila. Begitu pun kemunculan kanak-kanak bernama Juma merubah pendirian Laila supaya tabah memperjuangkan kebenaran di pihaknya.

Kepada golongan remaja pula pastikan tidak melepaskan peluang menyaksikan episod Tadarus Pertama yang mampu menghadirkan keinsafan di hati remaja bernama Hamka yang terkenal dengan kenakalannya. Berbeza dengan adiknya, Kamar yang baik tingkahlaku serta patuh kepada ibu bapanya.

Tingkah Hamka hari demi hari semakin melampaui batas kerana bukan sahaja tidak mahu menunaikan solat Terawih dan bertadarus Al-Quran sepanjang Ramadan sebaliknya mempersendakan niat baik keluarganya membantu jiran yang ditimpa kesusahan akibat ribut yang melanda kampung mereka.

Apakah kesudahan jalan hidup Hamka? Saksikan kesudahan episod Tadarus Pertama yang meletakkan Pekin, Kismah Johar dan Bell Ngasri sebagai watak utamanya ini.

Seterusnya menyusul kisah Musafir Abadi yang dilakonkan watak utamanya oleh Salleh Yaacob dan Danny X Factor membawakan kisah lelaki yang suka ponteng puasa akhirnya tertangkap dan malu sendiri dengan sikapnya itu.

Realitinya kisah-kisah yang dipaparkan ini berlaku dalam kehidupan masyarakat kita sekarang termasuklah soal mengumpat, suka bermegah diri, mengabaikan ibadah terutamanya dalam bulan Ramadan yang sepatutnya diisi dengan aktiviti bermanfaat bukan sekadar menahan lapar semata-mata.

Usah lepaskan peluang berkongsi kisah-kisah pengajaran menerusi kesemua episod drama-drama istimewa mengisi slot Seharum Kasturi mulai 01 September 2008, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SATU LAFAZ BERBEZA RESAM

ALBUM TERBARU KOMPILASI HITS TERKINI