in

KEMBARA JOHORFM II

KEMBARA JOHORFM II ISTIMEWA UNTUK PENDENGAR SETIA JOHORFM
Atas permintaan ramai dan kejayaan program KEMBARA JOHORfm yang telah diadakan pada 25 hingga 28 Jun 2008 lalu, RTM Johor sekali lagi akan mengadakan program ini bagi memberi peluang kepada para pendengar untuk mengenali dengan lebih dekat stesen dan juruhebah-juruhebah JOHORfm. Program ini akan diadakan pada 4 Ogos hingga 8 Ogos 2009 yang mana masih mengekalkan konsep yang sama iaitu juruhebah akan menemui para pendengar dengan cara berbasikal dari satu destinasi ke satu destinasi.

Seramai 3 orang juruhebah yang akan terlibat dalam program ini iaitu 2 orang selaku pengayuh dan seorang selaku “Ketua Marshall” yang akan bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran program, membuat laporan sepanjang program berlangsung dan juga mengajak orang ramai untuk berada di setiap “check point” di mana para pengayuh berhenti. Soalan kuiz akan diberikan kepada orang ramai dan sebagai ganjaran mereka akan mendapat “goodies bag” yang mengandungi cenderahati istimewa dari JOHORfm. Orang ramai turut berpeluang mengetahui perkembangan program dengan mengikuti siaran JOHORfm 101.9 FM.

Program kali ini turut mendapat kerjasama dari pihak Polis Trafik, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah, Jabatan Penerangan dan Kementerian Belia dan Sukan. Terdapat kelainan yang ditonjolkan pada program kali ini, di mana kru akan bertemu dengan pelajar-pelajar dari beberapa Institusi Tempatan dan melakukan beberapa aktiviti kampung bersama dengan masyarakat kampung.

Objektif program ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim dengan para pendengar JOHORfm ‘Permata Selatan’, memberi hebahan kepada masyarakat terutamanya kepada yang belum pernah mendengar JOHORfm dan mendekatkan diri kepada masyarakat.

KEMBARA JOHORfm II ini akan bermula pada 3 Ogos 2009, bermula pukul 4.00 petang kru akan bertolak ke Batu Pahat dan bermalam di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM). Pada pukul 9.00 malam akan diadakan rakaman Program Berbalas Pantun Kemerdekaan.

Pada 4 Ogos 2009, bermula pukul 7.00 pagi, kru akan bertolak ke ‘check point’ yang pertama iaitu Pusat Komuniti Kemas, Kg. Kenangan Dato’ Onn. Sebelum bertolak, Majlis Perasmian dan Flagg Off diadakan di Dewan Terbuka UTHM. Kru akan diiringi seramai 60 orang para pelajar UTHM untuk memulakan jelajah ke Pusat Komuniti Kemas, Kg. Kenangan Dato’ Onn dan dijangka tiba pada pukul 11.00 pagi. Di sana, terdapat aktiviti-aktiviti yang menarik disediakan istimewa untuk anda yang menanti ketibaan kuru Kembara JOHORfm II. Antaranya, pertandingan kolaj kanak-kanak bersama keluarga, pertandingan masakan, pertandingan lagu-lagu patriotik dan sukaneka. Pada pukul 2.00 petang pula, kru akan meneruskan perjalanan ke ‘check point’ yang kedua iaitu Kampung Muhibah, Peserai. Kru dijangka tiba pada pukul 3.00 petang. Aktiviti sukaneka seperti bola sepak 7 sebelah, sepak takraw bulatan, permainan galah, congkak dan permainan tradisional menanti anda di sana bermula 5.00 petang.

Kembara diteruskan pada 5 Ogos 2009 bermula pukul 8.30 pagi ke ‘check point’ ketiga yang terletak di Kampung Parit Bugis. Kru dijangka tiba pada pukul 1.00 tengah hari. Pada pukul 4.00 petang pula kru akan menyambung perjalanan ke ‘check point’ ke 4 iaitu Dataran Tanjung Emas, Muar. Pelbagai aktiviti dan kuiz menarik juga hadiah-hadiah istimewa menanti anda.

Pada 6 Ogos 2009, kru akan menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer ke check point yang kelima iaitu di Batu 27 Lenga, Muar. Kru dijangka sampai ke destinasi pada pukul 4.30 petang. Pelbagai aktiviti menarik bersama orang kampung akan diadakan. 7 Ogos 2009 kru akan bergerak ke check point ke-6 iaitu ke Dataran Segamat. Pelbagai acara sukaneka akan berlangsung di Dataran Segamat.

Pada 8 Ogos 2009 adalah kemuncak segalanya, bermula pukul 10.00 pagi, Majlis Penutupan KEMBARA JOHORfm II akan diadakan dan pada sebelah malamnya pula akan berlangsungnya Konsert Malam Gema Merdeka yang membariskan artis-artis seperti Jay-Jay, Ramlah Ram, Achik, Nana, Farah dan Zahid. Kepada semua warga Johor, datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan program ini di setiap destinasi yang akan dikunjungi oleh kru Kembara JOHORfm II.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jom Sertai Battle Of Indie Band

Mawi dan Akhil Hayy Dalam Program Raya 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan