in

KEM BERSAMAMU ALAM 2011

KEM BERSAMAMU ALAM 2011
Dekati Alam, Kenali Diri, Pertingkat Potensi

Jauh di ceruk dari pinggir kota, Bersamamu ingin berkongsi keriangan dan meraikan 100 orang peserta terpilih dari 5 buah rumah anak-anak yatim di dalam sebuah program khas kelolaannya, kem BERSAMAMU ALAM, yang bertempat di Taman Alam Kuala Selangor, Kuala Selangor, Selangor.

Berlangsung selama 3 hari, kem ini telah bermula sejak Jumaat (17 Jun) lalu dan telah mendapat sambutan dan respon positif dari rakan kolaborasi Bersamamu, Yayasan AEON Malaysia, AEON CO. (M) Berhad dan Universiti Teknologi Malaysia. Lima rumah kebajikan yang terlibat adalah Rumah Kasih Harmoni, Maahad Tahfiz Baitul Ummah, Rumah Ozanam, Rumah Silaturrahim Nurul Qannah dan Yayasan Sunbeams Home.

DSC_0384

Selaras dengan slogan “Hulurkan Tangan, Ringankan Beban”, kem ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, khususnya flora dan fauna sebagai salah satu daripada khazanah negara yang sangat berharga. Disamping berpeluang untuk mempelajari dan membantu proses pemuliharaan dan pemeliharaan, para peserta yang rata-rata berumur dari 9 hingga 12 tahun ini juga akan menjalani pelbagai aktiviti lasak dan berkumpulan yang mencabar mental dan fizikal sepanjang kem ini.

Untuk memenuhi objektif program ini, Taman Alam Kuala Selangor telah dipilih oleh pihak penganjur dan penaja sebagai lokasi strategik untuk menjayakan kem BERSAMAMU ALAM kerana ia menepati kehendak dan pendekatan yang ingin diketengahkan di dalam program ini. Mempunyai keluasan sebesar 800 ekar, Taman Alam Kuala Selangor menempatkan sebahagian 296 hektar untuk kawasan hutan yang terdiri daripada Hutan Hujan Tropika dan Hutan Paya Bakau. Taman ini juga telah menjadi rumah perlindungan dan perhentian ratusan spesis burung dari serata Asia Tenggara seperti China dan Siberia, serta pelbagai jenis mamalia, reptilia dan hidupan akuatik sejak dari pembukaannya pada tahun 1987.

Antara aktiviti yang dimuatkan ke dalam agenda kem BERSAMAMU ALAM adalah seperti berikut:

17 Jun 2011, Jumaat
(Hari Pertama)
• Upacara Pembukaan oleh Cik Noryahwati Bt Mohd Noh, Setiausaha Malaysian AEON Foundation
• Lawatan ke Bukit Malawati, Kuala Selangor
• Sesi Ice-Breaking

18 Jun 2011, Sabtu
(Hari Kedua)
• Mangrove River-cruise
• Aktiviti 3R
• Nature Craft
• Fireflies watching at Kampung Kuantan, Kuala Selangor

19 Jun 2011, Ahad
(Hari Ketiga)
• Mangrove Tour & Water Monitoring
• Majlis Penutup kem BERSAMAMU ALAM 2011

Menurut Encik Ahmad Izham bin Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad (MPB), “Kem BERSAMAMU ALAM dianjurkan khas untuk membangkitkan kesedaran sivik dan menyampaikan hasrat murni rakyat Malaysia yang peka dan prihatin terhadap alam sekitar. Di sepanjang kem ini, seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak yatim diraikan menerusi saluran Bersamamu dan dipacu oleh inisiatif murni pihak penganjur yang terlibat untuk menjayakan program khas ini. Kami berasa gembira dengan kesungguhan dan penumpuan yang diberikan oleh para peserta. Juga, kami turut kagum dengan daya ketekunan dan keprihatinan para fasilitator dalam mencurahkan apa yang termampu oleh mereka untuk dimanfaatkan oleh para peserta, di sepanjang kem mahupun di dalam kehidupan seharian. Hasilnya, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada penaja dan penganjur untuk berbakti, malah peserta yang terlibat juga boleh mengaplikasikan kemahiran yang mereka pelajari untuk kebaikan komuniti setempat, pada amnya.”

“Program Bersamamu terbukti berada begitu dekat di hati para penonton, berdasarkan sambutan dan bantuan yang telah diterima sejak dari musim pertama penerbitannya. Sehubungan itu, pihak kami dan juga rakan penganjur, Yayasan AEON Malaysia meneruskan usaha murni ini melalui platform berbeza, khas untuk kanak-kanak kurang bernasib baik. Melalui kem ini, mereka boleh berinteraksi antara satu sama lain, seterusnya memanfaatkan peluang ini untuk menimba ilmu pengetahuan dan berkongsi kemahiran bagi menghadapi cabaran dan rintangan kehidupan yang dilalui,” tambah beliau.

Pelbagai jenis aktiviti dan sesi latihan dalam kumpulan telah dimuatkan ke dalam agenda kem BERSAMAMU ALAM. Sebagai contoh, peserta berpeluang untuk menikmati dan menghargai kecantikan alam semulajadi menerusi penerokaan dan pengembaraan di dalam hutan dan di sepanjang sungai, sesi pemerhatian dan analisa yang menarik, latihan jasmani & riadah, sesi perbincangan dan tugasan khas di dalam bengkel dan latihan dalam kumpulan (LDK) termasuklah permainan minda.

Naib Presiden Yayasan AEON Malaysia, Puan Nur Qamarina Chew Abdullah berkata “ AEON sentiasa melaksanakan pelbagai projek komuniti untuk memenuhi tanggungjawab sosialnya sebagai sebuah badan korporat yang prihatin di serata Malaysia. Kem Bersamamu Alam anjuran bersama TV3 merupakan salah satu platform yang strategik bagi AEON untuk berbakti kepada mereka yang kurang bernasib baik. Juga, pada masa yang sama, kem ini dipandang sebagai satu inisiatif untuk memberi kesedaran sivik tentang kepentingan sikap bertanggungjawab dan cintakan alam semulajadi. Selain itu, AEON juga telah terlibat di dalam pelbagai projek kemasyarakatan, antaranya Program Pemulihan Orang Utan, pembersihan sungai, penanaman pokok, gotong-royong serta projek pemuliharaan hutan simpan bakau di Kuala Selangor dalam usaha untuk memelihara habitat kelip-kelip.”

Majlis penutup berlangsung pada hari ini (19 Jun), bermula pada jam 11.30 pagi dan disempurnakan oleh Encik Ahmad Izham bin Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, MPB dan Naib Presiden Yayasan AEON Malaysia, Puan Nur Qamarina Chew Abdullah. Dikendalikan oleh personaliti TV3, Irin Putri Azmi, majlis turut memuatkan slot pelancaran logo baru program Bersamamu dan sesi penyerahan cek sebanyak RM5000.00 kepada Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Maahad Tahfiz Baitul Ummah, Rumah Ozanam, Rumah Silaturrahim Nurul Qannah dan Yayasan Sunbeams Home, masing-masing.

Di samping itu, kutipan ’Tabung Bersamamu TV3’ juga masih diteruskan bagi mereka yang ingin menyumbang dalam usaha menampung keperluan keluarga Bersamamu untuk episod-episod seterusnya. Selain kutipan daripada orang ramai yang diterima melalui Karnival Jom Heboh 2011, orang ramai juga boleh menghantar sumbangan mereka kepada Maybank akaun Tabung TV3 Bersamamu-BSM: 5643 2412 9973 yang dipantau oleh pemegang amanah TV3 iaitu Amanah Raya Berhad (ARB).

2011 merupakan tahun keenam bagi program Bersamamu yang kini masih ke udara menemani penonton dengan pelbagai kisah dan perihal masyarakat Malaysia yang menyentuh hati dan memerlukan bimbingan dan ikhsan ramai. Berlandaskan kebajikan dan keprihatinan, objektif program ini didedikasikan sepenuhnya terhadap membantu golongan yang kurang bernasib baik, berdasarkan paparan mengenai hampir 250 keluarga yang terlibat di sepanjang pembikinan dan siaran Bersamamu.

Sehingga ke saat ini, program ini berjaya menambat perhatian umum terutamanya badan-badan korporat dan juga individu-individu dermawan yang telah menghulurkan sumbangan dan bantuan. Bukan hanya sekadar meraih kasihan dan simpati, Bersamamu pada amnya berfungsi sebagai medium penghubung di samping memberi kesedaran kepada para penonton akan tanggungjawab sosial masing-masing.

Krew penerbitan Bersamamu dibarisi Abdul Hisham Abdullah sebagai Penerbit Eksekutif dan Siti Hajar Abdullah selaku Penerbit. Johari Abu Bakar pula bertindak sebagai wartawan, Irin Putri Azmi sebagai perantara dan Megat Nazaruddin Megat Mohd Ghazali sebagai Pembantu Penerbitan. Jangan ketinggalan untuk mengikuti Bersamamu, setiap Rabu, jam 9.30 malam, hanya di TV3.

DSC_0433

DSC_0742

DSC_0758

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Profile Geisha

AirAsia, CAE Set Up World-Class Aviation Training Centre