in

Karnival Yuan Menampilkan Artis TVB Hong Kong

Lokasi Pertama Karnival Yuan Menampilkan Artis TVB Hong Kong

Bermula dari tahun 2010, Karnival Yuan ntv7 telah pun menjelajah ke 13 buah lokasi dan berjaya menarik seramai 235,000 pengunjung. Ternyata karnival ini telah berjaya mendapat tempat di hati komuniti berbangsa Cina di negara ini. Karnival terbesar Saluran Ceria Anda itu kini memasuki tahun ketiga dan berhasrat untuk meneruskan keceriaan dan membawa pelbagai aktiviti menarik buat para pengunjungnya nanti.

Lokasi pertama karnival ini bakal bermula di Kompleks Rakan Muda Puchong, Selangor pada 31 Mac dan 1 April (Sabtu & Ahad) untuk memeriahkan lagi hujung minggu komuniti di sana. Menarik di sini, penampilan istimewa pelakon lelaki TVB Hong Kong, Mak Cheung Ching, yang yang sering menghiasi drama bersiri Hong Kong akan turut serta dalam mempromosi antara lainnya drama The Stew of Life yang masih bersiaran di ntv7 setiap Isnin hingga Rabu jam 11 malam pasti mendapat tumpuan pengunjung di hari Ahad nanti.

Yuan Carnival Logo

YB Senator Gan Ping Sieu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan akan turut melapangkan masa di dalam pelancaran karnival itu nanti pada hari Sabtu nanti.

Penganjur juga akan mengumumkan pembaharuan yang diwujudkan tahun ini iaitu pembahagian zon kepada empat zon iaitu Zon Hiburan, Zon Pendidikan dan Budaya, Zon Dagangan dan Zon Suka ria di mana setiap aktiviti yang sesuai akan dijalankan mengikut zon tersebut. Zon Hiburan akan membawa anda kepada aktiviti persembahan pentas, beramah mesra bersama selebriti, konsert mini, pertandingan berbentuk hiburan dan pelbagai lagi. Peminat filem Jack Neo pasti akan teruja dengan aktiviti promosi “We Not Naughty”. Selain itu, Soo Wincci juga akan menghiburkan peminatnya dengan lagu terbarunya. Penyampai berita ntv7 juga bakal berada di sana.

Zon Pendidikan dan Budaya pula akan membawa anda aktiviti bengkel dan pesta buku. Danell Lee juga akan berkongsi kisahnya yang penuh inspirasi di gerai World Vision. Sementara itu Zon Dagangan adalah tempat di mana orang ramai boleh membeli pelbagai jenis makanan dan jualan lambak. Akhir sekali adalah Zon Suka ria di mana aktiviti permainan buat anak-anak disediakan.

Orang ramai akan berpeluang untuk belajar lebih mengenai pemeliharaan alam sekitar dengan pelbagai aktiviti hijau yang akan berlangsung di gerai “Go Green”. Aktiviti kraf menggunakan bahan terpakai bakal dimanfaatkan pengunjung. World Vision, organisasi yang memberikan nasihat akan menumpukan kepada kanak-kanak, keluarga dan komuniti dalam membasmi kemiskinan dan ketidakadilan di gerai khas yang bertujuan memberi kesedaran.

Mereka yang minat membaca pasti akan menemui bahan baca menarik di pesta buku yang dkendalikan Fo Guang Publication Sdn. Bhd dan Green Fiction di karnival tersebut. Selain itu, Wellness Lab dan juga Hospital Kanser Fuda dari negara China akan memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung. Bukan itu sahaja, Joey Yap Consultant Group (JYCG) akan berkongsi kepakaran mereka dalam bidang Feng Shui dan tips memperbaiki diri untuk kedua-dua hari karnival itu berlangsung.

Berita baik buat mereka yang kaki karaoke adalah sebuah pertandingan akan diadakan bagi mencungkil bakat nyanyian mereka. Lainnya kali ini adalah tiga orang peserta teratas di setiap lokasi akan di bawa untuk bertanding di lokasi terakhir bagi mencari peserta yang terbaik untuk dinobatkan sebagai juara. Sementara itu, pengunjung juga akan berpeluang membawa pulang hadiah menarik seperti pakej percutian, perkakasan rumah, baucar dan bermacam-macam lagi melalui sesi cabutan bertuah.

Karnival Yuan ntv7 2012 juga akan memilih Sabah dan Negeri Sembilan buat pertama kalinya sebagai sebahagian lokasi yang akan dijelajah kali ini. Ini menjadikan keseluruhan lapan lokasi buat tahun ini termasuklah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Sarawak yang akan dilawati sepanjang bulan Mac sehingga Disember nanti.

Dalam sebuah sidang media yang berlangsung sebelum ini di Eastin Hotel, Petaling Jaya, Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV melahirkan perasaan gembiranya dengan sokongan yang diberikan pelbagai pihak sepanjang dua tahun terdahulu dan bertekad untuk memastikan sesuatu yang lebih baik buat tahun ini. “Ia memang mengagumkan melihat perkembangan karnival ini sejak tahun 2010 dan kesan impak yang terrhasil sepanjang dua tahun lepas. Ini tentunya memberikan kami motivasi dan dorongan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik buat tahun 2012. Kami juga amat bersyukur dengan sokongan dan kemurahan yang diberikan oleh rakan dan para penaja kami,” kata Airin.

Menyertai karnival ini buat pertama kalinya sebagai penaja perak adalah Sports Toto, yang akan cuba membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui inisiatif dan kerja amal mereka di semua lokasi tahun ini. Sementara itu one FM dan akhbar Guang Ming Daily akan terus menjadi rakan media rasmi untuk membantu dan tetap menyokong karnival ntv7 itu.

Jangan terlepas karnival ini nanti di lokasi-lokasi yang berikut:

31 Mac – 1 April Puchong, Selangor Kompleks Rakan Muda Puchong
14 April – 15 April Seberang Perai, Penang Auto City
12 Mei – 13 Mei Kota Kinabalu, Sabah Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA)
16 Jun – 17 Jun Mambang Diawan, Perak Mambang Diawan Hall
11 Og – 12 Og Seremban, Negeri Sembilan Dewan Perbandaran Seremban
6 Okt – 7 Okt Sibu, Sarawak Persatuan Foo Chow
10 Nov – 11 Nov Batu Pahat, Johor Batu Pahat Mall
8 Dis – 9 Dis Selangor (akan diberitahu kelak)

Karnival Yuan ntv7 diwujudkan untuk bersama penonton setianya di seluruh Malaysia. Acara yang melibatkan komuniti ini dirasmikan pada tahun 2010 dan dicipta khas buat penonton Saluran Ceria Anda.

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Yuan layari www.ntv7.com.my atau ikuti ntv7 di Facebook dan Twitter.

Mak Cheung Ching

Mak Cheung Ching in The Stew Of Life2

Mak Cheung Ching in The Stew Of Life

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Celebrity Chef Jamie Oliver Heats Things Up On 8TV

Chow Kit Meneruskan Kegemilangan Songlap?