in ,

Karnival Jom Heboh Di Putrajaya Meriah

Hujan yang turun pada hujung minggu lalu ternyata tidak mematahkan semangat para pengunjung ke acara padang terbesar TV3 apabila seramai lebih kurang 350,000 pengunjung membanjiri Karnival Jom Heboh 2014 di lokasi pertamanya di Presint 3, Putrajaya sepanjang dua hari karnival itu berlangsung (24&25 Mei).

Lebih istimewa, karnival itu menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin sebagai tetamu kehormat selain merasmikan majlis pelancaran kempen Riuh Di Brazil sempena kehadiran Piala Dunia 2014 yang akan bermula Jun nanti.

Memasuki siri ke-12 karnival itu dianjurkan, konsep “Rekreasi & Riadah” yang diteruskan ternyata disambut baik orang ramai. Rata-rata pengunjung memilih untuk berkunjung bersama keluarga dan sahabat handai untuk menghabiskan waktu terluang mereka di hujung minggu dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang telah disusun di Karnival Jom Heboh 2014.

Karnival itu menawarkan seribu satu pengalaman istimewa kepada para pengunjung dengan memberikan mereka peluang untuk beramah mesra dengan para personaliti dan warga stesen TV3. Aktiviti-aktiviti yang direka pula bersesuaian untuk semua lapisan umur sama ada golongan kanak-kanak, belia mahupun dewasa.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah disediakan di gerai-gerai kendalian khas penganjur itu seperti Studio Cereka (yang menempatkan sesi ramah mesra bersama para pelakon dan informasi mengenai drama TV3), Selera (yang memberikan para pengunjung peluang untuk mempelajari ilmu masakan), Wow! Bag (di mana cenderahati eksklusif boleh dimiliki), Bananana! Land (ruang permainan dan santai khas buat kanak-kanak), Raudhah (gerai perkongsian ilmiah), TV9 (promosi variasi rancangan stesen TV9), Tonton (portal video) & Hot FM (radio), Buletin Utama (lokasi ujibakat dan ilmu kewartawanan) selain persembahan pentas dan gerai-gerai jualan.

Sinonim dengan stesen yang menyiarkan drama bersiri terbaik dengan tawaran barisan pelakon yang mantap, TV3 juga memberikan peluang kepada para pengunjung untuk bertemu para pelakon pujaan mereka yang menghiasi drama di stesen itu di gerai Cereka.

Antara yang hadir adalah Shah Iskandar, Zoey Rahman, Ardell, Ika Nabila, serta pelakon utama dari drama bersiri slot Akasia – Kerana Terpaksa Aku Relakan – Amar Baharin dan Izreen Azminda, serta pasangan Aeril Zafril dan Wawa Zainal yang membintangi drama bersiri terbaru – Cerita Cinta Kita – untuk slot Samarinda. Menariknya lagi, para pengunjung dapat menyaksikan drama bersiri kegemaran mereka lebih awal, sebelum siarannya di Studio 3 yang berada di gerai Cereka.

Antara tumpuan lain bagi lokasi pertama bagi tahun 2014 ini adalah Konsert Mini Jom Heboh yang diadakan pada kedua-dua hari membariskan persembahan mantap oleh Atai, Sleeq, Awi Rafael, Ainan Tasneem, Drama Band, Amir Jahari, 6ixth Sense dan Hyper Act selain kemunculan istimewa penyanyi dari Indonesia Nicky Astria yang ternyata dinantikan para pengunjung.

Dalam perkembangan lain, TV3 tahun ini meraikan ulang tahunnya yang ke-30 dan bakal mengagihkan sejumlah 30 buah unit TV LED yang akan diagihkan kepada penerima sumbangan terpilih.

Di Putrajaya, jawatankuasa Karnival Jom Heboh telah mengagihkan lima buah TV LED 42” kepada Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Kajang, Masjid Al Hijrah, Surau Al Furqan, Surau Al Huda dan Surau Nurul Falah di mana YB Khairy Jamaluddin turut hadir pada sesi penyerahan tersebut di mana 25 buah lagi akan disumbangkan ke beberapa lagi lokasi persinggahan Karnival Jom Heboh yang seterusnya.

Sertai kemeriahan Karnival Jom Heboh di lokasi lokasi kedua kami iaitu di port Dickson, Negeri Sembilan pada 7 dan 8 June ini. Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi Karnival Jom Heboh 2014 di www.tv3.com.my/jomheboh dan ikuti perkembangan menerusi Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #jomheboh untuk sebarang perbualan dan komen.

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Sekitar Sambutan Hari Ibu Rafflesia 2014

Temui Pelakon Oh My English di Fun Escapade