in

KAMPUNG BOY Tersenarai Pencalonan Anugerah Gaiman Di Jepun

Buku Kampung Boy versi bahasa Jepun karya kartunis terkenal negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat, tersenarai dalam pencalonan Anugerah Gaiman (Gaiman Award) untuk kategori komik luar negara dalam bahasa Jepun. Anugerah Gaiman adalah satu anugerah yang mengangkat karya penerbitan kartun dan anime dengan penyertaan pencalonan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol, Belgium dan Sweden.

Kampung Boy edisi baharu bahasa Jepun hasil terjemahan semula oleh Hieda Natsue, pensyarah bahasa Jepun di Universiti Kebangsaan Malaysia dan disunting oleh pensyarah Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Profesor Madya Soda Naoki ini adalah terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan kerjasama TUFS Press di Tokyo.

KAMPUNG BOY Tersenarai Pencalonan Anugerah Gaiman Di Jepun

[pullquote]Buku yang dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (PBAT) pada Julai lalu ini turut dijadikan bahan bantu mengajar untuk Pengajian Asia Tenggara di TUFS.[/pullquote]

Kampung Boy yang telah diterjemahkan dan diterbitkan kepada lebih 12 bahasa dunia, antaranya bahasa Jepun, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Korea ini telah menarik perhatian ramai pihak, termasuk Puteri Mako, anakanda kepada Putera Akashino, Presiden PBAT, kerana ia bersifat dokumen sosial masyarakat Malaysia yang digambarkan secara santai bagaimana suasana harmoni kaum, ekonomi dan budaya kehidupan Malaysia melalui pengalaman peribadi Lat ketika itu.

Penulisnya, Datuk Lat yang telah menerbitkan lebih 20 jilid kartun berlatarkan budaya, adat, sosial dan politik Malaysia merupakan pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka 2002, penerima Anugerah Kartunis Sepanjang Zaman 2012 selain turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Merdeka 2014 yang diumumkan oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka awal September lalu.

Penghargaan ini diterima berikutan sumbangan Datuk Lat melalui industri seni dan kreatif serta impak siri komik Kampung Boy yang menjadikan perpaduan, budaya dan politik masyarakat Malaysia sebagai tema utamanya. Buku Kampung Boy juga turut mendapat perhatian kartunis luar negara seperti John A. Lent, Matt Groening dan penulis Reader Digest Jennifer Rodrigo Willmott.

Anugerah Gaiman (Gaiman Award) telah dianjurkan sejak 2011 untuk buku komik atau karya kartun dan anime luar dari Jepun yang diterjemahkan kepada bahasa Jepun. Perkataan “Gaiman” itu sendiri adalah kependekan daripada perkataan ‘gaikoku no manga’ yang bermaksud manga asing atau luar negara. Anugerah ini dianjurkan oleh Muzium Manga Antarabangsa Kyoto, (Kyoto International Manga Museum), Pusat Penyelidikan Manga Antarabangsa Universiti Kyoto Seika (Kyoto Seika University International Manga Research Center), Perpustakaan Memorial Meiji Yonezawa Yoshihiro (Meiji Yonezawa Yoshihiro Memorial Library) dan Muzium Manga Kitakyushu (Kitakyushu Manga Museum).

Tahun lalu komik dari Perancis, A Taste Of Chlorine oleh kartunis Bastien Vives telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama, manakala tempat kedua dimenangi oleh I Kill Giants oleh Joe Kelly dan Ken Nimura dari Amerika Syarikat, dan tempat ketiga ialah Neatmetal karya Daniel Ahlgren dari Sweden.

Anugerah yang akan berakhir tempoh undiannya pada 30 November depan menggunakan sistem undian dalam talian menerusi www.gaiman.jp/nominate/local yang dibuka kepada masyarakat seluruh dunia untuk memilih pemenang selain dan peti undi yang diletakkan di kedai buku terpilih dan muzium manga di Jepun serta lokasi operasi pihak penganjur.

KAMPUNG BOY Tersenarai Pencalonan Anugerah Gaiman Di Jepun

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Umum Senarai Peserta Maharaja Lawak Mega 2014

Peraduan Menang Pass Fan Meet RUNNING MAN RACE START SEASON 2