in

Jojo Struys Terbit Album Untuk Menghilangkan Stress

PADA usia 36 tahun, Jojo Struys yang memiliki wajah keanak-anakan cukup lincah dan cergas. Mengakui dirinya obses dengan gaya hidup sihat, dia sering memenuhi masa dengan pelbagai aktiviti kecergasan, senaman dan spiritual.

Bagi wanita jelita kelahiran Singapura ini, kekal sihat dan cergas keutamaannya.

Menghiasi dunia peragaan di Asia Tenggara, kepetahannya berbicara menjadikan Jojo pilihan sebagai pengacara di pelbagai majlis.

Di samping itu, Jojo juga pernah bertugas sebagai deejay di sebuah stesen radio popular selain mengendalikan rancangan televisyen seperti Jojo’s Ticket to Wellbeing dan sebuah program kesihatan yang dikenali sebagai Vitagen & Marigold Health Buzz.

Lulusan Universiti Curtin Perth, Australia ini cukup percaya bahawa kecantikan datang daripada tubuh yang sihat dan cergas. Bagi mengekalkan kesihatan diri, Jojo mengamalkan senaman yoga, mendengar muzik dan mengurus stres.

Jojo Struys

“Saya suka menari dan merentas hutan. Bersatu bersama alam juga mampu menenangkan minda dan badan sebenarnya. Saya gemar hiasan dalaman dan lilin. Bagi saya, lilin mewujudkan satu persekitaran yang tenang khususnya apabila kita pulang ke rumah selepas menjalani hari yang sibuk. Membakar lilin dengan aroma khusus mewujudkan persekitaran yang mampu menenangkan mood saya,” ujarnya.

Jojo Struys

Bahkan, ketika kunjungan penulis dan jurugambar ke kediaman beliau baru-baru ini, kami diajak mendengar album ‘muzik relaxing’ oleh Jojo Struys. Sambil memejamkan mata, kami mendengar suara Jojo yang mengajak pendengar berehat dan melepaskan semua bebanan masalah.

Jojo Struys

Selingan muzik berunsurkan bunyi alam sekitar sangat menenangkan. Cara ini dikenali sebagai meditasi untuk merehatkan badan.

Katanya, ia boleh meningkatkan kapasiti peparu dan melancarkan aliran darah.

“Tahukah anda bahawa bermeditasi selama 15 minit mampu memberikan kesan seolah kita tidur selama dua jam? Beginilah yang saya lakukan untuk menghilangkan tekanan. Mungkin kita tidak sedar tetapi jika kita mempunyai masalah, kita perlu segera lepaskannya. Jika kita sukar berkongsi dengan orang lain, mungkin dengan cara berfikir, bertenang dan bercakap dengan diri sendiri, ia dapat mengurangkan stres,” katanya.

Tambah Jojo, album tersebut boleh didapati di 124 cawangan Starbucks seluruh negara pada akhir Mei ini.

Jika kita mengintai kediaman Jojo, segalanya dihiasi dengan warna semula jadi. Jojo lebih selesa dengan warna seperti krim dan coklat. Dia mahu menjadikan kediamannya tempat berehat. Pada masa lapang, Jojo lebih suka bermain piano kerana dia percaya muzik merupakan salah satu terapi stres.

“Saya tidak pandai membaca not. Tetapi saya akan menghafalnya. Jadi, saya tidak mempunyai masalah bermain lagu yang saya suka,” katanya.

Sebagai seorang selebiriti, Jojo suka berfesyen dan apa yang dipakai setiap hari bergantung kepada moodnya.

“Saya sukakan sesuatu yang santai seperti seluar panjang paras lutut, jean dan memakai selipar apabila bukan waktu kerja. Saya juga amat sukakan fesyen yang menyerlahkan budaya dan warisan,” katanya.

Dari segi pemakanan, Jojo lebih gemar mengamalkan sikap bersederhana.

“Suatu ketika dahulu terutama ketika saya aktif dalam dunia peragaan, saya amat obses dengan apa yang dimakan. Tetapi kini keadaan berbeza. Saya masih seorang sweet tooth yang gemarkan makanan manis sebagai cara membelai diri. Cuma sekarang saya sedang dalam proses diet untuk nyah toksin daripada badan,” katanya.

Jojo bagaimanapun mengakui bukanlah seorang yang akan menghukum diri dan mengelakkan sesuatu makanan apabila teringinkan sesuatu.

“Saya akan memakannya tetapi dengan kadar sederhana,” katanya. Kredit: Utusan Malaysia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Solo Faizal Tahir

Gambar Baby Tomok Bernama Arrianshah Akid