in

Joey, Noorkhiriah, Fauzi Nawawi dalam Drama Ejen 2 X 5

GELAK TAWA BERSAMA
SITKOM HUJUNG MINGGU “EJEN 2 X 5”

Sitkom Ejen 2×5, sebuah komedi menarik terbitan GBSB akan disiarkan menerusi slot Sitkom Hujung Minggu TV9 pada setiap Ahad, jam 8.30 malam bermula 8 Ogos 2010 ini. Drama penuh dengan kelucuan ini dibintangi oleh pelakon komedian handalan tempatan seperti Joey, Noorkhiriah, Fauzi Nawawi, Rosnah Mat Aris dan Amyza Adnan.

ejen

Ejen 2×5 ini menceritakan tentang sebuah agensi penyiasatan bernama Rendang P.I dan diterajui oleh Fauzi Lambada, lakonan Fauzi Nawawi. Ejennya merupakan dua orang penyiasat yang tidak berpengalaman iaitu Dina Sekali (NurKhiriah) dan Kitul (Joey Daud). Fauzi telah mengambil mereka secara “bidan terjun” sementara mencari penyiasat yang benar-benar berkaliber.

Dina Sekali dan Kitul sentiasa merungut kerana Fauzi Lambada tidak memberikan mereka kes-kes yang berat. Fauzi Lambada terpaksa memberikan kes-kes yang kecil seperti kes kehilangan kucing, kes pasu hilang kepada kedua mereka kerana kurang berkeyakinan dengan kebolehan mereka. Sedangkan kes kecil pun mereka tidak dapat selesaikan, inikan pula memberikan kes yang besar dan penting.

Namun, pada suatu hari, Fauzi Lambada telah menerima satu kes berat yang membabitkan kematian seorang VIP iaitu Datuk Kamal. Fauzi Lambada berasa amat berat hati untuk menerima kes ini, apatah lagi memberikan kes ini kepada kedua penyiasatnya iaitu Dina Sekali dan Kitul yang sentiasa kelam-kabut. Penyiasat lain memandang sinis dengan kebolehan kedua mereka. Namun, Dina Sekali dan Kitul berasa amat bangga kerana diberi kepercayaan oleh Fauzi mengendalikan kes yang besar dan mencabar bagi mereka.

Walaupun mereka sepasukan, namun kedua mereka sentiasa bertelagah dan tidak sependapat. Perkara ini membuatkan Fauzi bertambah risau dan tidak tenteram. Sebagai langkah pertama penyiasatan, kedua mereka telah bertemu dengan Markonah yang memperkenalkan diri sebagai pembantu rumah kepada Datuk Kamal. Menurut Markonah, ada sebilangan orang yang mahu Datuk Kamal mati dan ada juga sebaliknya. Markonah juga mengesyaki Madam X membunuh majikannya tetapi tidak mempunyai cukup bukti. Oleh sebab itulah, Markonah mahu mereka menyiasat misteri kematian Datuk Kamal.

Kedua mereka berasa bangga kerana bagi mereka inilah peluang membuktikan diri mereka sebagai penyiasat. Apabila kedua mereka bersetuju menyiasat kes tersebut, Markonah lalu meninggalkan mereka dan memberikan sampul surat besar kepada kedua mereka untuk diberikan kepada Fauzi iaitu wang pendahuluan bagi kes tersebut. Mereka pulang semula ke pejabat dengan perasaan bangga kerana berjaya membawakan kes untuk agensi ”Rendang P.I” Fauzi pun sedikit sebanyak berasa bangga dengan permulaan kedua penyiasatnya yang tidak berpengalaman itu.

Berjayakah Dina Sekali dan Kitul menyelesaikan kes pembunuhan Datuk Kamal? Siapakah pula Madam X yang disyaki oleh Markonah? Dan apakah motif sebenar pembunuhan tersebut? Untuk menyaksikan komedi penyiasatan ini, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Ejen 2×5 setiap Ahad, jam 8.30 malam bermula 8 Ogos 2010.

ejen

ejen

ejen

ejen

ejen

ejen

ejen

ejen

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Siti Nurhaliza di Koleksi Kraftan Raya Rizman Ruzaini

Isma Tampil Dengan Lagu Aku Bukan Pilihanmu