in ,

Jaclyn Victor & Az Yet Nyanyi Magical Moment Untuk Filem Animasi RIBBIT

Bersempena dengan pemasaran filem Bahasa Inggeris Animasi 3D pertama terbitan KRU Studios berjudul “Ribbit” untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, KRU Music dengan bangganya mempersembahkan lagu tema filem tersebut berjudul Magical Moment yang dinyanyikan oleh salah satu bintang tersohor Malaysia iaitu Jaclyn Victor dan kumpulan R&B antarabangsa Az Yet!

“Magical Moment” telah dicipta dan digubah oleh Edry Abdul Halim dengan lirik nukilan ahli kumpulan Az Yet sendiri yang terdiri daripada Dion Allen, Shawn Rivera, Kenny Terry dan Claude Thomas. Ini merupakan satu lagi titik kejayaan buat Jaclyn Victor sejak bernaung di bawah KRU Music pada Januari 2012. Jac, pemenang AIM Persembahan Vokal Wanita Terbaik baru-baru ini; begitu teruja kerana dapat berpadu suara dengan artis berkumpulan bertaraf antarabangsa.

Sidang Media Jaclyn Victor KRU Music

“Saya sangat terharu bila diberikan peluang ini kerana saya tidak sangka dapat merakamkan lagu dengan sebuah artis berkumpulan antarabangsa yang sangat disegani dan saya harap semua orang akan menyukai lagu ini.” jelas Jaclyn Victor.

Ini juga merupakan lagu Bahasa Inggeris pertama buat Jac yang dirakam bersama KRU Music selepas merakamkan dua buah lagu Melayu iaitu “Sebelah Jiwaku” “Jagalah Diri” dan “Ikut Rentakku” sebelum ini. Bagi kumpulan Az Yet pula, ini adalah satu kemunculan semula yang dinanti-nantikan peminat bukan saja di Asia tetapi juga di seluruh dunia.

Az Yet pernah merakamkan sebuah album pada tahun 1996 dibawah LaFace Records. Album tersebut menampilkan nama-nama terbesar industri muzik Amerika seperti David Foster, Babyface, Sheila E. dan Brian McKnight. Single pertama mereka, “Last Night,” mencapai tempat ke sembilan di carta US Hot 100, nombor satu di carta R&B, nombor dua di carta ARIA Australia dan menduduki tempat pertama selama dua minggu di carta RIANZ di New Zealand, sehingga mendapat pingat platinum di Amerika Syarikat.

Single kedua mereka , “Hard to Say I’m Sorry” (nyanyian semula lagu asal kumpulan Chicago), dicalonkan untuk anugerah Grammy (kategori Persembahan vokal R&B berkumpulan terbaik), mencapai tempat kelapan di carta Hot 100, dan turut mendapat penghargaan peringkat platinum. Dengan kejayaan kedua-dua lagu tersebut, album itu mendapat pingat multi-platinum RIAA (Persatuan Industri Rakaman Amerika).

Filem animasi “Ribbit” akan dilpasarkan pada bulan September 2014 dan menampilkan suara bintang-bintang antarabangsa ternama seperti Sean Astin dari filem Lord of The Rings, Tim Curry serta Russell Peters.

Tahniah Jac!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tayangan Premiere Filem GODZILLA 3D Anjuran Sensasi Selebriti

Holly Hunter Joins The Cast Of Director Zack Snyders