in ,

Karier Isma Yusoof Dari Jurugambar Kini Jadi Pelakon Impak Maksima Emil Emilda

Wah! Hari ini saya ada terbaca artikel tentang Isma Yusoof. Ini dia yang saya katakan impak yang kuat dari lakonan Isma dalam Emil Emilda. Syabas Isma… Budiey selalu doakan agar Isma terus mencipta kejayaan dalam dunia lakonan selepas ini.

MINATNYA cukup mendalam dalam bidang belakang tabir, tetapi kini wajah Isma Yusoof, 25, mula dikenali ramai apabila turut berlakon drama bersiri Emil Emilda untuk slot Samarinda di TV3. Memiliki Ijazah Filem Animasi dari Universiti Multimedia, Cyberjaya, Isma atau nama sebenarnya, Muhamad Ismaizal Yusoof, menjadi jurugambar, pereka grafik, tetapi berlakon kerjaya impiannya.

Katanya, dia mula aktif berlakon di pentas teater sejak belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuantan, Pahang. Tiga tahun lepas itu, dia menang Pelakon Terbaik di Festival Teater di Kuala Lumpur menerusi teater Tart Nanas.

“Tiada siapa kenal saya sehinggalah saya berlakon dalam drama bersiri Emil Emilda. Peluang itu datang apabila saya mengenali pengarahnya, Shahrul Ezad Mohameddin. Ketika mencari pelakon Sutun 2, Nizam Zakaria yang bertanggungjawab mencari pelakon drama itu pernah melihat saya berlakon teater. Dari situ dia minta saya datang uji bakat untuk Sutun 2 dan saya diterima. Sejak itu juga saya dan Ezad bersahabat baik, tetapi apabila Ezad mahu saya berlakon dalam Emil Emilda, saya beritahu dia jangan ambil saya berlakon atas dasar kawan. Bukan jual mahal, tetapi saya tidak mahu mencari peluang berlakon menggunakan kawan sendiri. Kalau saya boleh berlakon, ambillah kalau tidak jangan buang masa dan cari orang lain. Dalam soal kerja, kita mesti profesional supaya kawan kita tidak berasa serba salah,”

– Isma Yusoof
Isma Yusoof

Dalam drama itu, Isma pegang peranan jurusolek bernama Mac yang mempunyai karakter lembut. Katanya, sukar untuk menjiwai watak Mac kerana dia perlu menutup kelembutannya itu apabila berada depan orang ramai.

“Tetapi apabila bersendirian, dia kembali menjadi lembut. Pada saya, setiap lakonan tiada yang senang. Watak ringkas lagi susah kerana saya perlu fikirkan elemen tertentu untuk menonjolkan watak itu. Saya katakan susah kerana kita melakonkan watak orang lain. Barangkali kerana saya baru tamat pengajian di universiti, senang bawa watak pelajar kolej, tetapi pada saya ia tetap susah kerana ia bukan diri kita yang sebenar. Namun untungnya saya kerana bermula di pentas teater. Siapa pun tahu teater guru terbaik untuk menjadi pelakon bagus. Saya juga ‘kaki wayang’ tak kira wayang apa saya akan tengok termasuklah Bollywood. Saya peminat fanatik filem Hindi dan terlalu meminati Aishwarya Rai dan Aamir Khan, tetapi idola saya masih pelakon tempatan, Norlia Ghani dan Jalil Hamid. Mereka pelakon paling bagus yang hadir bersama bakat semula jadi tanpa mendapat pendidikan formal dalam bidang lakonan,” katanya.

Minat mendalam terhadap filem Hindustan juga menyebabkan Isma tiada masalah mendekati Sharifah Amani di lokasi Emil Emilda walaupun pertama kali bertemu.

“Waktu rehat kami menyanyikan lagu Hindustan. Pun begitu, Nanie tidak minat Aishwarya Rai, tetapi dia suka Shah Rukh Khan. Apabila bercerita mengenai Nanie dan Norkhiriah, saya memang gabra apabila dapat tahu dia akan berlakon dengan mereka. Kerdil betul diri ini dibandingkan dengan mereka berdua tetapi itulah kata orang, tak kenal macam mana hendak cinta. Mereka sangat baik dan tidak malu mengakui kelemahan diri meskipun mereka senior daripada saya. Jika saya bimbang sukar menjiwai watak Mac, rupanya Nanie dan Noorkhiriah pun risaukan perkara sama. Masing-masing khuatir tidak ‘terbawa’ watak yang diberikan,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Kekasih Serina Chef Wan, Ada Mirip Jimmy Shanley

Azean Irdawaty, Pelakon Datin Diaries Ada Kanser Payu Dara?