in

Islamic Fashion Festival Beri Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Kedah

Sumbangan kepada mangsa banjir Kedah daripada Islamic Fashion Festival XI

Amal jariah bermula di rumah dan bagi mangsa banjir Kedah, sumbangan daripada Islamic Fashion Festival muncul pada masanya. Cek berjumlah RM50,000 itu disampaikan kepada YMM Sultanah Kedah Sultanah Hajah Hamimah Hamidun oleh Pengasas dan Pengerusinya, YM Dato’ Raja Rezza Shah dalam satu majlis sederhana di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan.

DSC_3146

Majlis turut dihadiri Ahli Kounsel IFF, antaranya YAM Tengku Hajah Aishah Binti Sultan Haji Ahmad Shah Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, YBhg Datin Cindy Lim dan YBhg Puan Sri Zainun FD Mansor, ahli jawatankuasa IFF YBhg Datin Zurina Fadhil dan YBhg Datin Sri Marina Abid, serta pereka fesyen terkenal Malaysia, YBhg Dato’ Tom Abang Saufi.

Altruisme sentiasa menjadi kekuatan IFF; pendekatannya ialah untuk mendapatkan penajaan penuh bagi kos produksi – daripada dekor ke pereka fesyen, model, penghibur serta penataan lampu dan bunyi. Badan-badan NGO diundang bagi menghoskan sebuah acara dan mengumpul dana dengan menjual meja. Mereka cuma perlu menampung kos hidangan, dan mengambil keseluruhan baki daripada hasil kutipan tanpa perlu membayar sesen pun kepada IFF.

Islamic Fashion Festival XI telah berlangsung daripada 7 hingga 12 November 2010 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Bertema “Moghul Splendour” sebagai meraikan keagungan serta kemewahan era pemerintahan Islam di India, festival berkenaan menyokong sebanyak 25 badan NGO Malaysia dan antarabangsa.

Persembahan yang diadakan bagi mengutip dana buat Mangsa-Mangsa Banjir Kedah telah berlangsung pada 8 November 2010 dan dihoskan sendiri oleh YM Dato’ Raja Rezza Shah. Ini bukan pertama kali IFF memberi sumbangan untuk tujuan kebajikan; di Jakarta, IFF memberi sumbangan bagi mengisi tabung mangsa Gempa Bumi Padang dan di Monaco, ia menyokong Yayasan Putera Albert yang bertujuan melindungi alam sekitar dan menggalak pembangunan.

IFF dicetuskan Dato’ Raja Rezza yang bekerjasama dengan Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) untuk menganjurkan festival itu buat julung-julung kalinya pada 2006. Idea untuk bekerjasama dengan Indonesia pula timbul hasil perbincangan antara Dato’ Raja Rezza dan delegasi Indonesia, Yenny Wahid dari WAHID Institute dan Christine Barki, Pengarah Presiden Metro Indonesia.

Dubai disertakan ke dalam kalendar KL-Jakarta Islamic Fashion Festival menyusuli kerjasama dengan Paris Gallery pada 2008. Kehadiran Dubai di dalam IFF mencerminkan kesungguhan pengasasnya, Dato’ Raja Rezza dalam membawa pereka tempatan ke peringkat global.

Ikut memainkan peranan utama dalam IFF ialah Style Council yang ditubuhkan bagi membantu IFF mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran untuk terbabit sama dalam projek ini, terutama memantau perjalanan program yang dianjurkan.

Ahli majlis termasuk Yth Ibu Tatty Aburizal Bakrie , Yth Ibu Titik Suharto, Yth Ibu Yenny Wahid, Yth Ibu Evy Sondakh, Yth Ibu Miranda Goltom, Yth Ibu Mien Uno, Yth Ibu Inti Subagio, Yth Ibu Estherida Sulaman dan Yth Ibu Tience Sumartini. Ahli Style Council Malaysia pula ialah YAM Raja Ashman Sultan Azlan Shah, YAM Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah , YBhg Dato’ Raziah Mahmud, YBhg Toh Puan Habibah, YBhg Puan Sri Faridah Idris, YBhg Dato’ Sri Khaled Mohd. Jiwa, YBhg Dato Yahya Jalil and Puan Noraza Yusof.

Sehingga kini, IFF sudah dianjurkan di Malaysia, Indonesia, Dubai, Abu Dhabi dan New York yang mempamerkan rekaan lebih 200 pereka dari pelbagai latar belakang budaya, agama, bangsa dan negara.

Bagi keterangan lanjut mengenai IFF XI, sila layari www.islamicfashionfestival.com

DSC_3156

DSC_3200

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siti Nurhaliza Dapat iPad Percuma dari Yes4G

IZ Sulaini Opening Act Konsert Wonder Girls